Ahad, 16 April 2017 | 7:01am
SETIAP kali pendikit dipulas, enjin triple-cam, V-twin Thunder Stroke 111 melonjak padu dan amat responsif, menghamburkan 161.6 Nm tork pada rpm 3,000. - Foto Effendy Rashid
SETIAP kali pendikit dipulas, enjin triple-cam, V-twin Thunder Stroke 111 melonjak padu dan amat responsif, menghamburkan 161.6 Nm tork pada rpm 3,000. - Foto Effendy Rashid

Model ikonik Indian Chief Classic

BAGAIKAN halilintar beriringan ledakan guruh, itu yang disuarakan oleh seorang daripada peserta konvoi mengenai Indian Chief Classic yang ditunggang penulis ketika menyertai program Kembara Amal Bermotosikal UDA Ride 2017 baru-baru ini.

BH Auto menggunakan peluang menunggang uji model ikonik ini, sumbangan pengedarnya Harmony Fabulous Sdn Bhd, dengan menyertai 148 motosikal lain dalam program konvoi tahunan pengurusan kanan UDA Holdings Bhd bersama pengamal media dari Kuala Lumpur ke Pekan, Pahang.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selama dua hari itu membolehkan BH Auto mendapat perbandingan jelas keupayaan Indian Chief ini dengan pelbagai model pesaing rapatnya iaitu Harley Davidson, kerana majoriti peserta konvoi berkenaan menunggang model popular itu.

Indian Chief atau "The Chief" ini sentiasa mendapat perhatian awam setiap kali ia berhenti atau ketika ia memotong kenderaan lain hinggakan ada yang berkata, mereka amat tertarik dengan dengan reka bentuk vintaj yang tak makan dek zaman serta ledakan bunyinya yang amat padu.

Indian Motorcycles memiliki sejarah yang amat panjang selaku jenama motosikal pertama keluaran Amerika Syarikat (AS) pada 1901, justeru ia kekal menampilkan seni kejuruteraan yang halus pada setiap sudut model ini. Ia terserlah dengan lambang kepala Ketua Red Indian atau 'War Bonnet' di atas madgad hadapan.

INDIAN Chief atau "The Chief" ini sentiasa mendapat perhatian. - Foto Effendy Rashid
INDIAN Chief atau "The Chief" ini sentiasa mendapat perhatian. - Foto Effendy Rashid

MODEL ini dipenuhi dengan keluli dan bahagian besi krom berbanding fiber atau plastik. - Foto Effendy Rashid
MODEL ini dipenuhi dengan keluli dan bahagian besi krom berbanding fiber atau plastik. - Foto Effendy Rashid

Lampu hadapan krom; tangki minyak dan kulit enjin yang memaparkan perkataan serta logo 'Indian'; bentuk retro pada bahagian hadapan dan fender belakang memang sinonim dengan rekaan motosikal era 1940-an.

Memang model ini dipenuhi dengan keluli dan bahagian besi krom berbanding fiber atau plastik.

Antara yang mencuri perhatian penulis ketika menunggang model adalah lambakan kuasanya yang seolah-olah tiada batasan.

Setiap kali pendikit dipulas, enjin triple-cam, V-twin Thunder Stroke 111 melonjak padu dan amat responsif, menghamburkan 161.6 Nm tork pada rpm 3,000.

Penukaran gear enam kelajuannya juga amat lancar, cukup mudah untuk kembali ke gear neutral. Memecut ke kelajuan selesa bagi cruiser seperti ini iaitu 140-150 kilometer sejam (km/j) amat mudah dan tidak terasa. Kelajuan maksimum model ini adalah 240 km/j.

Dari segi kawalan, meskipun beratnya mencecah 357 kilogram (kg), Indian Chief beraksi seperti yang dimahukan penunggang. Pengambilan selekoh pendek mahupun panjang adalah amat mudah, selain mampu menerjah bonggol dan lopak air di jalan raya dengan stabil, membuatkan penulis hampir terlupa ini adalah motosikal paling berat yang pernah ditunggang.

SENI kejuruteraan halus pada setiap sudut. - Foto Effendy Rashid
SENI kejuruteraan halus pada setiap sudut. - Foto Effendy Rashid

SINONIM dengan rekaan motosikal era 1940-an. - Foto Effendy Rashid
SINONIM dengan rekaan motosikal era 1940-an. - Foto Effendy Rashid

EKZOS krom.
EKZOS krom.

Suspensi yang lasak dan sistem brek cegah kunci (ABS) yang bergerak harmoni dengan pusat graviti reka bentuk menghasilkan kestabilan dan tunggangan yang meyakinkan.

Kesimpulannya, Indian Chief bukan cruiser biasa, ia umpama sebuah karya agung dari segi kejuruteraan motosikal untuk reka bentuk, prestasi, keselesaan dan keselamatan, sekaligus menjadikan penunggangnya sebagai sebahagian daripada lagenda.

Selepas enam hari bersama model ini, penulis menyedari mengapa ia sememangnya mengungguli kategori motosikal cruiser.

Spesifikasi:

Harga: RM168,000 (tidak termasuk GST)

Enjin: Thunder Stroke 111 V-Twin sejukan udara

Sesaran: 1,811 cc (111 inci padu)

Laju maksimum: 240 km/j

Berat: 357 kg

Suspensi depan: Fork katrij 46 mm, kelegaan 119 mm

Suspensi belakang: Penyerap hentakan tunggal, kelegaan 94 mm

Tork: 161.6 Nm pada rpm 3,000

Kotak gear: 6 kelajuan

Berita Harian X