Rabu, 29 March 2017 | 9:00am

Naza Cruise 650SE mampu milik

MOTOSIKAL hebat, mampu pecut hingga 200km sejam. - Foto Mohd Yusni Ariffin
MOTOSIKAL hebat, mampu pecut hingga 200km sejam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

JIKA anda peminat motosikal Cruiser, tentu saja anda perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk memiliki model tersohor seperti Harley-Davidson, Victory dan Indian yang berharga sekurang-kurangnya RM50,000.

Anda tidak perlu khuatir kerana Naza Bikes ada menawarkan model Cruiser yang ditawarkan pada harga mampu milik RM26,888 tidak termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST), selain reka bentuk yang ditampilkan juga menarik.

BH Auto pasti jika memiliki Naza Cruise 650SE, anda tidak akan rasa kekok untuk berkonvoi dengan model Cruiser.

Ia boleh dijadikan pengganti kepada mereka yang ingin berjinak dengan motosikal Cruiser sebelum beralih kepada model lebih berkuasa dan mahal pada masa depan.

Peluang menunggang uji Naza Cruise 650SE selama lebih sebulan membuka mata penulis, bahawa jentera ini bukannya calang-calang motosikal berdasarkan pengalaman menunggangnya ketika menyertai konvoi motosikal berkuasa besar baru-baru ini.

NAZA Cruise 650. - Foto Mohd Yusni Ariffin
NAZA Cruise 650. - Foto Mohd Yusni Ariffin

BUNYI 'gempak' atau 'ngauman' boleh kedengaran dengan jelas apabila pendikit dipulas separuh. - Foto Mohd Yusni Ariffin
BUNYI 'gempak' atau 'ngauman' boleh kedengaran dengan jelas apabila pendikit dipulas separuh. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Meskipun ia menawarkan kuasa 650cc, sepanjang konvoi dari Kuala Lumpur ke Pekan, Kuantan, penulis mampu menunggang seiringan dengan jentera terkemuka lain dan tidak menjangka motosikal itu mampu memecut sehingga 200 kilometer sejam (km/j).

Naza Cruise 650SE dengan tempat duduk tunggal ini amat mudah dikendalikan yang mana meskipun penulis memiliki ketinggian sederhana, hanya perlu meluruskan sedikit kaki untuk menukar gear.

Kawalan ketika kelajuan tinggi juga tidak sukar, malah ketika mengambil selekoh, penulis amat berkeyakinan selain selesa dengan tunggangan Naza Cruise 650SE ini.

Boleh dikatakan model ini cukup ranggi untuk digunakan, lebih-lebih lagi apabila dikenakan dengan pakaian sesuai seperti seluar jeans biru, kemeja T, sepatu kulit serta topi keledar penuh atau separuh. Gayanya seperti pelakon, Awie dalam filem Sembilu.

Jarak antara 'handle' dan tangki minyak juga tidak terlalu 'jauh', sekali gus memudahkan penulis mengendalikan motosikal ini dalam apa jua keadaan, sama ada ketika trafik sesak atau tunggangan santai.

Warna hitam dengan pelekat kelabu pada tangki minyak dan 'ekor' Naza cruise 650SE ini menambahkan lagaknya menjadikan penampilan motosikal Cruiser mampu milik ini sangat menarik.

NAZA Cruise 650SE dilengkapi suspensi penyerap hentakan berganda hidraulik. - Foto Mohd Yusni Ariffin
NAZA Cruise 650SE dilengkapi suspensi penyerap hentakan berganda hidraulik. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Dari segi rangkaian kuasa, Naza Cruise 650SE ini didatangkan dengan enjin 4-lejang, DOHC, 8-injap 90 darjah selain dilengkapi dengan teknologi V-Twin 647cc penyejuk air.

Dengan kapasiti enjin sedemikian, ia mampu menghamburkan kuasa 74 BHP pada 9,000rpm dan tork puncak 62.1Nm pada 7,500rpm.

Penggunaan transmisi lima kelajuan Constant Mesh juga melancarkan penukaran gear, malah dengan berat 240 kilogram juga menjadikan model ini mudah ditunggang walaupun hakikatnya badan penuh tidaklah berisi atau sasa.

Sistem ekzos juga tidak mengecewakan, malah bunyi 'gempak' atau 'ngauman' boleh kedengaran dengan jelas apabila pendikit dipulas separuh sebagai isyarat kepada kenderaan lain untuk memberi sedikit laluan apabila berada dalam kesesakan trafik.

Sistem brek iaitu brek cakera berkembar (depan) dan tunggal pada roda belakang juga menjadikan cengkaman lebih baik apabila membrek pada kelajuan sederhana atau laju.

Suspensi Naza Cruise 650SE juga tidak mengecewakan, dengan bahagian depan menggunakan suspensi teleskopik dan belakang pula dengan suspensi penyerap hentakan berganda hidrolik.

SISTEM brek iaitu brek cakera berkembar (depan) dan tunggal pada roda belakang juga menjadikan cengkaman lebih baik. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SISTEM brek iaitu brek cakera berkembar (depan) dan tunggal pada roda belakang juga menjadikan cengkaman lebih baik. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Info:
Naza Cruise 650SE

  • Harga jualan asas tidak termasuk GST RM26,888
  • Enjin 4-lejang, DOHC, 8-injap 90 darjah, V-Twin 647cc penyejuk air
  • Kuasa 74 BHP @ 9,000rpm
  • Tork puncak 62.1Nm @ 7,500rpm
  • Transmisi 5-kelajuan Constant Mesh
  • Berat 240kg
  • Kapasiti tangki minyak 16 liter
  • Jaminan tiga tahun atau 30,000 km
Berita Harian X