Khamis, 26 Januari 2017 | 11:21am
INDIAN Scout yang digunakan pada Perang Dunia kedua.
INDIAN Scout yang digunakan pada Perang Dunia kedua.
METER analog yang klasik. - Foto Saddam Yusoff
METER analog yang klasik. - Foto Saddam Yusoff
BERKUASA, stabil, reka bentuk ikonik, selesa dan mudah ditunggang. - Foto Saddam Yusoff
BERKUASA, stabil, reka bentuk ikonik, selesa dan mudah ditunggang. - Foto Saddam Yusoff

Motor perang

MODEL ikonik Indian dilengkapi enjin moden berkuasa tinggi. - Foto Saddam Yusoff
MODEL ikonik Indian dilengkapi enjin moden berkuasa tinggi. - Foto Saddam Yusoff

INDIAN, motosikal jenama Amerika Syarikat, pada asalnya dikeluarkan dari tahun 1901 hingga 1953 di Springfield, Massachusetts. Pada era 1910-an, pengilangnya Indian Motorcycle adalah pengeluar motosikal terbesar dunia dengan model paling popular Scout (1920 hingga 1946), dan Chief (1922 hingga 1953).

Pada 2011, Polaris Industries mengambilalih operasi Indian Motorcycles dan mula mengeluarkan semula beberapa model lagenda Indian.

Scout, yang dikatakan model terbaik keluaran Indian Motorcycle, sememangnya terkenal sebagai 'motor perang' suatu ketika dulu kerana jentera ini digunakan secara meluas oleh tentera British dan negara komanwel serta Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua.

BH Auto mendapat peluang menunggang uji Scout 69ci, sumbangan Harmony Fabulous Sdn Bhd (HFSB), anak syarikat Naza World yang menjadi pengedar rasmi jenama berkenaan di negara ini.

Diperkenalkan semula di peringkat global pada 2015, model ini dari segi saiznya tampak agak sederhana, namun ia lebih besar daripada cafe racer. Penulis menguji jentera ini dengan tunggangan santai dari Kuala Lumpur hingga ke Taman Negara Kuala Tahan melalu Jerantut, sejauh 250 kilometer (km).

MODEL ikonik diperkenalkan semula pada 2015. - Foto Saddam Yusoff
MODEL ikonik diperkenalkan semula pada 2015. - Foto Saddam Yusoff

Boleh dikatakan ia adalah cruiser moden yang menggunakan casis Scout ikonik asal, tetapi dilengkapi enjin moden berkuasa tinggi dengan suntikan bahan api (EFI) di bawah tempat duduk gaya 'old school'.

Kedudukan penunggang atau pusat graviti yang rendah membuatkan Scout amat mudah dikendali.

Ia jentera yang lincah dan pantas, amat mudah mengambil selekoh. Apabila penulis cuba menurunkan badan motosikal sehingga 31 darjah ketika memasuki selekoh pendek secara mengejut, jelas ia jenis yang amat agresif meskipun reka bentuknya agak 'retro'.

Bahagian paling menarik pada Scout adalah seni kejuruteraan enjinnya yang halus. Namun begitu enjin 1133cc V-twin bukan sekadar nampak cantik, tetapi amat berkuasa setanding dengan model motosikal sport moden.

Enjin penyejukan cecair, dilengkapi pengimbal balas, 8-injap DOHC amat lancar dan meletuskan bunyi yang menyeronokkan setiap kali pendikit dipulas. Jika terlebih pulas, tayar belakangnya akan menjerit menggigit jalan meskipun dalam gear kedua.

Scout dengan berat kering 253 kilogram, ia amat lincah dalam mengharungi kesesakan lalu lintas serta stabil dan menenangkan ketika melalui jalan luar bandar sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

TEMPAT duduk selesa meskipun gaya 'old school'. - Foto Saddam Yusoff
TEMPAT duduk selesa meskipun gaya 'old school'. - Foto Saddam Yusoff

SENI kejuruteraan halus terpapar pada enjin. - Foto Saddam Yusoff
SENI kejuruteraan halus terpapar pada enjin. - Foto Saddam Yusoff

Pulas sahaja pendikitnya, anda akan dapati ia lebih laju daripada jangkaan, 140 kilometer sejam (km/j), malah 160 km/j amat mudah dicapai dan selesa.

Kiraan rpm adalah 3,400 pada kelajuan 100 km/j. Scout berkemampuan memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 4.5 saat.

Berkuasa, stabil, reka bentuk ikonik, selesa dan mudah ditunggang. Kesimpulannya, Scout adalah cruiser yang sempurna dan antara model wajar diberi pertimbangan jika anda bercadang memiliki motosikal dalam segmen ini.

Spesifikasi: Indian Scout 69ci

Enjin: 60-darjah V-Twin, penyejukan cecair

Daya sesaran: 69 kubik inci (1,133 cc)

Kuasa: 100PS@ rpm 8,000

Tork: 97.7Nm @ rpm 5,900

Had rev: rpm 8,300

Gear: 6-kelajuan

Injap: DOHC, 4 valve setiap selinder

Kelajuan maksimum: 193 km/j

Kapasiti tangki:12.5 liter

Harga: RM119, 362.20 (atas jalan)

Berita Harian X