Ahad, 15 Januari 2017 | 3:11am

Honda MSX baharu lebih lincah

MODEL baharu sesuai untuk individu bertubuh kecil. - Foto Fariz Iswadi Ismail
MODEL baharu sesuai untuk individu bertubuh kecil. - Foto Fariz Iswadi Ismail

BOON Siew Honda meneruskan usaha untuk menawarkan lebih banyak model dengan memperkenalkan 'fun bike', MSX125 bagi pasaran Malaysia.

Honda MSX125 yang dibawa masuk ke pasaran negara ini adalah model yang dinaik taraf daripada model yang sudah diperkenalkan di Thailand awal tahun lalu.

Model terbaharu itu dikuasakan enjin satu silinder 125 cc SOHC penyejukan udara dan dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.

Ia mampu menghasilkan sehingga 9.7 kuasa kuda (hp) pada 7,000 rpm dan tork 11 Nm pada 5,250 rpm.

Lebih menarik, MSX125 didatangkan dengan tangki minyak berkapasiti 5.7 liter dan menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI bagi memastikan tahap kecekapannya.

Dengan kuasa yang ditawarkan itu, mungkin ramai yang berpendapat ia agak tidak mencukupi, namun berdasarkan reka bentuk dan badan kecil MSX125 yang hanya seberat 103 kilogram, ia mampu menawarkan tunggangan lebih mudah, lincah dan senang untuk 'mencilok'.

Ia berdasarkan ukuran motosikal itu iaitu 1,755mm panjang, 730mm lebar dan 1,000 mm tinggi, manakala jarak antara roda pula adalah 1,200mm, yang mana jelas menunjukkan motosikal itu amat senang dikendalikan termasuk bagi mereka yang bertubuh kecil.

MINI-MOTO terbaharu Honda di Malaysia. - Foto Fariz Iswadi Ismail
MINI-MOTO terbaharu Honda di Malaysia. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Bagi memastikan tawaran model baharu itu lebih menarik, Boon Siew Honda turut menampilkan MSX125 dengan fork hadapan 31mm jenis terbalik, manakala di belakang pula terdapat monoshock yang dipasang pada lengan ayun bagi menyerap hentakan dan meningkatkan kestabilan.

Ia turut dilengkapi dengan rim aloi 12 inci dan dipasang dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

Brek pula adalah set cakera 220mm dan angkup dua piston di hadapan dan cakera 190 mm dan angkup satu piston di belakang.

Honda MSX125 dijual pada harga RM11,128.94 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan tanpa insurans bersama jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

Ia ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Hyper Yellow dan Burning Red.

Info:
Honda MSX125

  • Harga termasuk GST, tanpa insurans RM11,128.94
  • Jaminan dua tahun atau 20,000km
  • Enjin satu silinder 125 cc SOHC berpenyejukan udara
  • Transmisi empat kelajuan
  • 9.7 hp @ 7,000 rpm dan tork 11 Nm @ 5,250 rpm
  • Sistem suntikan bahan api PGM-FI
  • Dua pilihan warna Hyper Yellow dan Burning Red
Berita Harian X