Isnin, 17 Oktober 2016 | 2:46pm

Rustcare tawar aksesori Ironman

SHAH ALAM: Rustcare Sdn Bhd, pengedar eksklusif aksesori Ironman untuk kenderaan pacuan empat roda (4x4), meluaskan akses pengedarannya dengan menawarkan produk kepada jenama kenderaan lain di pasaran tempatan.

Pengarahnya, Nicholas Ling, berkata empat pakej ditawarkan untuk aksesori Ironman itu boleh didapati menerusi jenama 4x4 lain, termasuk Ford dan Isuzu dalam tempoh tiga bulan lagi.

"Kami percaya dengan memperluaskan aksesori ini untuk Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhd (TCEAS), ia menyediakan lebih banyak peluang kepada pelanggan untuk memiliki produk bertaraf dunia ini," katanya kepada media selepas melancarkan aksesori Ironman untuk 4x4 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Selepas Jualan, Alat Ganti dan Bengkel TCEAS, Michael Yao.

Aksesori dalam empat pakej iaitu Challenger Pack PRO, Challenger Pack, Suspension Pack PRO dan Suspension Pack itu kini ditawarkan untuk model Nissan Navara (NP300) dan Navara (D40), masing-masing pada harga RM5,159.55 hingga RM15,521.10 dan RM7,608.00 hingga RM17,688.75.

Nicholas berkata, buat masa ini 45 unit kenderaan pikap Nissan baharu sudah dipasang pakej aksesori Ironman dan pihaknya menjangkakan dua daripada 20 pelanggan akan dipasang produk terbaharu itu.

"Pelanggan kini boleh menghantar 4x4 untuk proses naik taraf suspensi di 38 pusat TCEAS, manakala perkhidmatan naik taraf bagi Ironman Challenger Pack dan aksesori lain boleh disiapkan di 12 pusat perkhidmatan TCEAS terpilih," katanya.

Ironman 4x4 menawarkan kit suspensi bersepadu - pegas gegelung dan penyerap hentak untuk meningkatkan keselesaan dan prestasi pemanduan Nissan Navara.

Bukan itu saja, bull bars turut meningkatkan sudut mendekat dan perlindungan bahagian depan trak pikap dengan signifikan, manakala pemijak sisi dan rail dengan saluran serbuk besi 4x4 yang memberi perlindungan kepada kenderaan.

Rear Protection Tow Bar Ironman 4x4 pula direka untuk memberi perlindungan terbaik dan gaya kepada Nissan Navara, selain pada masa sama menawarkan kemudahan 'high light jack points', penyangkut tunda bersepadu dan memaksimumkan jarak dari tanah.

Berita Harian X