Jumaat, 14 Oktober 2016 | 7:30am

Menepati jiwa 'racer'

RS150R memenuhi kehendak peminat kapcai.
RS150R memenuhi kehendak peminat kapcai.

PANTAS dan mengagumkan. Itulah yang dirasai BH Auto ketika melakukan tunggang uji kapcai berkuasa 150cc pertama keluaran Boon Siew Honda, RS150R.

Model kapcai berkapasiti tinggi ini menampilkan rekaan tersendiri yang cukup menarik mengikut keperluan semasa menjadikannya lebih moden selepas diterapkan dengan konsep rekaan baharu Honda yang dilengkapi lampu LED terang di bahagian hadapan.

Peluang BH Auto menunggang uji model ini cukup mengujakan kerana Honda terkenal dengan kapcai yang menawarkan gaya dan prestasi memberangsangkan dalam kelasnya.

ANTARA ciri menarik RS150R.
ANTARA ciri menarik RS150R.

Sebelum ini motosikal Honda di Malaysia tidak diwakili oleh mana-mana model yang enjinnya bersesaran 150 cc, namun kali ini dengan dua varian tersedia sebagai pilihan, motosikal yang dilengkapi enjin 149.7 cc, DOHC empat injap mampu menjana 15.6 hp kuasa pada 9,000rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500rpm.

Dipadankan enam kelajuan, prestasi RS150R mampu mencecah 140 km/j dengan mudahnya walaupun jalan raya yang sedikit lengang di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) pada waktu malam.

Penulis dapat merasakan pecutannya cukup berkuasa kerana dengan mudahnya mencapai tahap rpm 11,000 pada gear 1, 2, 3, 4 jika dikerah sebelum memasukkan ke gear maksimum.

Pengendaliannya sangat mudah, ringan dan selesa yang mana ketika mengambil selekoh sistem suspensi berfungsi dengan baik dan memberikan penyerapan yang meyakinkan.

Reka bentuk yang kecil juga walaupun saiz tayar depan agak besar iaitu 90/80 memudahkan lagi penulis mencilok kereta dengan penuh keyakinan.

Selain itu, ia turut menampilkan struktur rangka tiub berkembar, suspensi teleskopik di hadapan dan penyerap hentak tunggal di belakang serta cakera hidraulik hadapan dan belakang, dengan ukuran 296 mm dan 190 mm, yang disambungkan pada roda aloi.

Kelebihan RS150R sememangnya boleh dirasa terutama apabila mula memecut, yang mana tujahan lebih pantas dalam semua keadaan serta gear.

Malah, pulasan pendikit dan klac juga amat ringan sekali gus menyenangkan kepada penunggang yang kurang mahir dalam penggunaan motosikal berklac.

Dengan meter digital baharu yang diterapkan RS150R, anda juga boleh melakukan kira-kira penggunaan bahan api ini dengan lebih mudah kerana ia dilengkapi dengan kiraan tersebut.

Untuk tunggangan harian, anda perlu menambah kotak barangan di bahagian belakang bagi menempatkan baju hujan atau topi keledar kerana di bawah tempat duduknya tiada ruang simpanan.

EMPAT pilihan warna RS150R.
EMPAT pilihan warna RS150R.

INFO: Honda RS150R

- Enjin satu silinder empat lejang DOHC 149.16cc penyejukan cecair

- Kuasa maksimum: 11.5kW / 9,000rpm

- Tork maksimum: 13.5Nm / 6,500rpm

- Sistem bahan bakar: Suntikan bahan api terancang

- Muatan Tangki Petrol: 4.5 liter

- Jenis transmisi: 6 Kelajuan Jaringan Malar

- Jenis Kerangka: Rangka Tiub Berkembar

- Suspensi depan: Teleskopik

- Suspensi Belakang: Monosok

- Ukuran tayar: 17 inci 90/80 (Depan), 120/70 (Belakang)

- Harga jualan selepas GST tidak termasuk cukai jalan dan insurans RM8,213.94 (Biru, Hitam Merah), RM8,372.94 (Repsol)

Berita Harian X