Jumaat, 19 Ogos 2016 | 5:29pm
HONDA Malaysia Sdn Bhd mengumumkan bahawa alat pengepam beg udara Takata di bahagian pemandu depan kini 100 peratus tersedia. - Foto Reuters
HONDA Malaysia Sdn Bhd mengumumkan bahawa alat pengepam beg udara Takata di bahagian pemandu depan kini 100 peratus tersedia. - Foto Reuters

Alat pengepam beg udara Takata tersedia - Honda

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia Sdn Bhd mengumumkan bahawa alat pengepam beg udara Takata di bahagian pemandu depan kini 100 peratus tersedia.

"Honda Malaysia secara berterusan menggesa pemilik kereta Honda yang termasuk dalam senarai panggilan semua supaya membuat temu janji di pengedar sah Honda pilihan mereka atau mana-mana Hab Perkhidmatan Berpusat atau Hab Mudah Alih bagi menggantikan pengepam beg udara yang terjejas," kata Honda dalam satu kenyataan, semalam.

Beg udara yang dibuat oleh pembekal alat automotif utama Takata Corporation, kebanyakannya dipasang pada kereta dari model tahun 2002 sehingga 2013.

Sehingga 17 Ogos 2016, Honda Malaysia telah menyelesaikan 45 penggantian pengepam beg udara Takata atau kira-kira 175,000 unit pengepam beg udara bagi kereta yang terbabit.

Honda Malaysia berkata, sejak tiga minggu lalu, ia berjaya menggantikan lebih 31,800 unit pengepam beg udara di pengedar sah, Hab Perkhidmatan Berpusat dan Hab Mudah Alih.

"Kami akan terus menggesa pelanggan yang terbabit supaya menukar bahagian yang terjejas bagi meningkatkan tahap penggantian sebanyak mungkin," katanya.

Honda Malaysia berkata, berikutan kekurangan di seluruh dunia alat ganti untuk pengepam beg udara Takata di bahagian penumpang hadapan, pihaknya tidak dapat menjamin 100 peratus ketersediaan stok alat ganti berkenaan.

"Pelanggan kenderaan Honda yang terjejas boleh menggantikan kedua-dua pengepam beg udara Takata untuk bahagian pemandu dan penumpang hadapan (berdasarkan ketersediaan bahagian) dengan membuat janji temu dengan pengedar sah Honda," katanya.

Honda Malaysia berkata, bagi membuat temu janji dengan mana-mana Hab Perkhidmatan Berpusat di Georgetown, Petaling Jaya dan Johor Bahru, pelanggan Honda diminta menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020.

Hab Perkhidmatan Berpusat itu katanya sudah beroperasi sejak 1 Ogos lalu dan akan beroperasi sehingga 30 September ini.

"Hab terbabit dibuka tujuh hari seminggu, kecuali cuti umum yang mana ia dibuka mulai 8 pagi hingga 7 malam," katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my.

Berita Harian X