Sabtu, 16 Julai 2016 | 1:19pm
J300 dibangunkan dengan kerjasama pereka skuter terkemuka, Kymco dari Taiwan. - Foto Effendy Rashid
J300 dibangunkan dengan kerjasama pereka skuter terkemuka, Kymco dari Taiwan. - Foto Effendy Rashid

Kawasaki J300 terbaik dalam kelasnya

JIKA anda mengutamakan keselesaan dan tunggangan mudah, J300 akan memberikan anda keseronokan. - Foto Effendy Rashid
JIKA anda mengutamakan keselesaan dan tunggangan mudah, J300 akan memberikan anda keseronokan. - Foto Effendy Rashid

BILA sebut Kawasaki, terlintas di fikiran model motosikal besar dengan kuasa kuda tinggi, daya pecutan yang mantap serta dengung ekzos yang mengujakan. Terbayang beberapa model popularnya - H2R yang kelajuannya mencecah 400 kilometer sejam (km/h); ZX-10; ZZR; GTR. Paling laju? Paling pantas? Digeruni di litar dan lebuh raya? Fikir sekali lagi.

Dunia motosikal beredar mengikut cita rasa penunggang yang pelbagai. Skuter yang diminati pada era 1960an, sepi seketika pada era 1980an dan 1990an, namun ia muncul kembali dengan limpahan model seperti Sym, Kymco, Modenas hingga kepada BMW, Yamaha, Aprillia dan sebagainya. Dengan kesesakan lalu lintas, skuter menjadi alternatif terbaik untuk pengangkutan di ibu kota mahupun sebagai jentera untuk kegunaan harian mahupun untuk aktiviti pengembaraan, khususnya bagi penunggang yang mahupun tunggangan yang mudah dikendali dan amat selesa.

Kawasaki juga tidak mahu ketinggalan, sehingga lahirnya model skuter sulungnya iaitu J300. Meskipun J300 dibangunkan dengan kerjasama pereka skuter terkemuka, Kymco dari Taiwan, model J300 yang mula dipasarkan di Malaysia pada Mac lalu, direka semula dengan gaya, ciri dan rupa bentuk Kawasaki sebenar. Kymco adalah syarikat Taiwan yang terbabit mengeluarkan komponen motosikal Honda, namun berpecah pada 1963. Syarikat berkenaan juga terbabit dalam pengeluaran skuter untuk BMW.

Penulis berkesempatan menunggang uji maxi skuter ini yang mana disumbangkan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd pada bulan lalu. Pada pandangan pertama, dengan garisan bersudut dan rupa bentuk agresif dengan lampu depan yang 'garang', terdetik di hati - Inilah Kawasaki.

Memandangkan bulan Ramadan, penulis memutus untuk mengujinya di laluan Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) melalui Lebuhraya Maju (MEX) dan kembali semula ke Bangsar, sejauh lebih kurang 80 kilometer.

Kawasaki J300 yang menggunakan enjin satu silinder 299cc penyejukan cecair, SOHC 4-injap, memberikan pecutan yang senyap dan lancar, susulan dilengkapi transmisi boleh laras berterusan (CVT). Penulis dapat merasakan sebalik sahaja pendikit dipulas, di sebalik penghantaran kuasa pecutan yang kuat, tiada tanda enjinnya bergelut dan tersekat-sekat meskipun ketika melalui jalan yang agak curam ataupun ketika mendaki.

J300 dibangunkan dengan kerjasama pereka skuter terkemuka, Kymco dari Taiwan. - Foto Effendy Rashid
J300 dibangunkan dengan kerjasama pereka skuter terkemuka, Kymco dari Taiwan. - Foto Effendy Rashid

J300 direka semula dengan gaya. - Foto Effendy Rashid
J300 direka semula dengan gaya. - Foto Effendy Rashid

Kemuncak pecutan J300 dengan 27.2 kuasa kuda (hp) ini adalah 160 km/j dan mudah dikendalikan ketika mencelah lalu lintas di laluan berkenaan dan terasa pendikitnya masih banyak berbaki sewaktu penulis memulas keras untuk memotong kenderaan lain. Kawasaki sebelum ini dilaporkan mereka mahu J300 menjadi motosikal yang menjimatkan, tetapi mereka juga mahu ia seronok untuk mengembara. Bagi penulis, kelajuan selesa bagi model ini adalah 110-120 km/j.

Dengan ketinggian 775 milimeter (mm) dan berat kering 191 kilogram, J300 tidaklah terlalu ringan, tetapi ia lincah dan mudah dikawal. Tangki petrol 13 liter yang terletak di lantai kaki merendahkan pusat gravitinya serta saiz roda 14 inci depan dan 13 inci belakang menjadikan maxi skuter ini lebih stabil. Digabungkan dengan fork depan teleskopik dan penyerap hentakan berkembar boleh laras di belakang, menjadi tunggangan J300 lebih 'sporty' dan selesa.

Bagi skuter, kuasa berhenti adalah paling utama kerana ia menggunakan transmisi CVT tanpa brek enjin atau 'engine braking'. Untuk itu, brek ABS dwi cakera kelopak di bahagian depan dan belakang berperanan dengan mantap, walaupun dalam situasi hujan lebat .

Paling menarik, kusyen yang empuk; posisi penunggang yang menegak serta skrin penghadang angin yang amat bersesuaian, menjadikan tunggangan tidak memenatkan.

Lazimnya, penunggang gemar mengepit peha pada tangki motosikal bagi memudahkan kawalan dan rasa selamat, namun elemen sebegini tiada pada skuter. Untuk itu Kawasaki menyediakan ruang untuk mengepit pada buku lali yang mana bersambung dengan lantai kaki motosikal ini yang juga dilengkapi getah cengkaman tapak kasut penunggang.

Kesimpulannya, J300 adalah model terbaik dalam kelasnya. Ia berupaya menghadapi semua situasi tunggangan, dari berulang-alik ke tempat kerja setiap hari hingga kepada tunggangan pengembaraan hujung minggu.

Jika anda mengutamakan keselesaan dan tunggangan mudah, J300 akan memberi anda keseronokan. Ia sebenarnya skuter yang boleh digunakan untuk keperluan serta pengembaraan.

KAKITANGAN Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melakukan cerapan anak bulan Ramadan mengikut kaedah rukyah dan hisab bagi penentuan awal Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir
KAKITANGAN Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melakukan cerapan anak bulan Ramadan mengikut kaedah rukyah dan hisab bagi penentuan awal Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

SPESIFIKASI: KAWASAKI J300

ENJIN:299cc, satu silinder, SOHC empat injap, suntikan bahan api

KUASA MAKSIMUM: 27.2hp pada 7,750rpm

TORK MAKSIMUM: 28.7Nm pada 6,250rpm

TRANSMISI: CVT

KAPASITI TANGKI: 13 liter

BREK HADAPAN: Cakera tunggal 260mm, angkup dua piston Brek belakang

BREK BELAKANG: Cakera tunggal 240mm, angkup dua piston

SUSPENSI HADAPAN: Fork teleskopik 37mm

SUSPENSI BELAKANG: Penyerap berkembar dengan larasan pra beban lima tahap

HARGA: RM31,489 (termasuk GST, tanpa insurans dan pendaftaran)

Berita Harian X