X
Sabtu, 18 Jun 2016 | 3:32pm

Ducati Scrambler atasi jangkaan

gn4id:14325159

LUAR jangkaan, agresif, ringkas, mudah dan seronok ditunggang. Itulah yang dapat disimpulkan selepas menunggang uji Ducati Scrambler Icon yang mula diperkenalkan di pasaran Malaysia pada Julai tahun lalu.

Ketika ia dilancarkan di negara ini, penulis beranggapan Ducati hanya memperkenal sebuah model klasik ringkas ala Cafe Racer yang sesuai untuk dijadikan koleksi dan ditunggang secara santai pada hujung minggu. Apatah lagi dilaporkan ia adalah pengenalan semula model retro ikonik 1970-an, cuma bezanya dahulunya enjin adalah satu silinder 250cc dan terkini ia diberi nafas baru dengan enjin L-Twin 800 cc penyejukan udara.

"Anda masih ragu. Cuba dahulu baru tahu," kata Ngo Yoke Kwang, rakan lama penulis yang menyumbang model berkenaan untuk ditunggang uji. Beliau juga adalah pemilik World Cycle Sdn Bhd di Sungai Buloh, Selangor iaitu ejen jualan motosikal Ducati di Malaysia.

Penulis mengambil peluang itu, bersama tiga rakan lain yang mana masing-masing menunggang Ducati Panigale 899; Ducati Monster 796 dan BMW K1300S, untuk mencuba di laluan Rawang-Cameron Highland sejauh 185 kilometer (km) pada hujung minggu lalu.

Pada mulanya, jelas terasa motosikal ini amat kecil dan `ramping' berbanding motosikal rakan lain, namun begitu keraguan penulis mengenai keupayaan motosikal ini mulai berubah sebaik saja klac dilepaskan.

Kelajuan maksimum 210km/h

Kombinasi berat kering motosikal yang hanya 170 kilogram (kg); enjin dua silinder berbentuk L dengan 75 kuasa kuda (cc) dan kuasa kilas (torque) tinggi pada rpm rendah, menghasilkan pecutan mengejut sebaik sahaja pendikit atau throttle dipusing.

Di laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Rawang -Simpang Pulai, Perak, terasa kuasa pecutan luar biasa 'si ramping' ini dengan kelajuan maksimum mampu mencecah 210 kilometer/sejam (km/h). Namun begitu, tanpa penghadang angin, menyebabkan tamparan langsung angin ke helmet penunggang, sekali gus menjadikan tunggangan pada kelajuan tinggi agak sukar.

Bagi penulis, kelajuan selesa bagi Ducati Scrambler adalah sekitar 140 km/h, namun begitu ia tetap mampu bersaing dengan motosikal lain yang lebih berkuasa.

Sesuai semua keadaan jalan

Turut menarik perhatian, motosikal ini amat mudah mencelah ketika mengharungi kesesakan lalu lintas.

Motosikal yang ringan, hendal yang panjang, roda hadapan besar iaitu 18 inci (belakang 17 inci) serta kuasa kilas yang tinggi, membolehkan ia pantas mencelah, memecut mendahului yang lain. Ia juga stabil di laluan berpasir, mahupun berlumpur di tebing jalan raya. Pastinya model ini juga sesuai untuk ditunggang ke tempat kerja setiap hari.

'Belang' Ducati Scrambler semakin terserlah ketika mengharungi lebih 200 selekoh pendek pendakian dari Simpang Pulai ke Brinchang.

Kombinasi sistem brek ABS Brembo; penyerap hentakan Kayaba; tayar Parelli MT 60 RS 3.0 x 18 inci (hadapan) dan 5.5 x 17 inci (belakang) yang direka khusus untuk model ini, membolehkan setiap selekoh diambil dengan penurunan sehingga 35 darjah dengan bersahaja.

Malah, ketika melalui selekoh berganda, ia bingkas ditegakkan dan diturun semula untuk berdepan selekoh seterusnya.

Ketika tiba di Cameron Highland, reka bentuk unik dan klasik Ducati Scrambler juga mencuri perhatian pelancong serta penunggang motosikal berkuasa tinggi yang turut mengunjungi destinasi peranginan berkenaan.

Selain daripada model berkenaan menjadi bahan bergambar oleh pengunjung dari dalam dan luar negara, penulis juga dihujani pelbagai pertanyaan berkaitan daripada peminat motosikal, khususnya mengenai pengalaman menunggang serta keupayaan sebenarnya Ducati Scrambler.

Jelas sekali, Ducati Scrambler dikeluarkan tidak hanya khusus untuk peminat motosikal yang mencari model bergaya serta klasik seperti pada era 1970-an, malah ia juga sesuai kepada mereka yang mencari kelainan, model berkuasa tinggi dan mudah ditunggang.

Ia juga antara model terbaik untuk penunggang yang baru berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa tinggi.

INFO

Ducati Scrambler Icon

  • Harga: RM59,433
  • Enjin: L-Twin 803cc, Pengagihan Desmodromic, penyejukan cecair Kuasa Kuda: 55 kW (75 hp) @ 8,250 rpm
  • Torque: 68 Nm (50 lb-ft) @ 5,750 rpm
  • Gear: 6 kelajuan
  • Suspensi Depan: Kayaba 41 mm fork
  • Suspensi Belakang: Kayaba, boleh dilaraskan mengikut muatan
  • Tayar Depan: Pirelli MT 60 RS 110/80 R18
  • Tayar Belakang: Pirelli MT 60 RS 180/55 R17
  • Brek Depan: 330 mm disc, 4-piston calliper dengan ABS
  • Brek Belakang: 245 mm disc, 1-piston calliper terapung dengan ABS
  • Tangki Minyak: 13.5 liter
  • Berat Kering: 170 kg
  • Berat Basah: 186 kg
Berita Harian X