Sabtu, 11 March 2017 | 12:02am

BNO diserbu 'nelayan bermusim'

SABAK BERNAM: Sebut saja nama Bagan Nakhoda Omar atau lebih dikenali sebagai BNO, bermain di fikiran pengunjung akan keenakan makanan lautnya yang segar.

Namun, tanpa disedari BNO juga menjadi syurga pemancing sambilan dengan menjadikan beberapa 'lubuk ikan' di kawasan kapal pecah, lokasi pilihan memancing.

Bangkai kapal pecah yang terletak kira-kira tujuh batu nautika dari BNO, membuatkan pangkalan nelayan di situ menjadi pilihan ramai bagi mendapatkan perkhidmatan bot bagi membawa mereka ke kawasan berkenaan.

Kehadiran pemancing sambilan itu juga membawa rezeki tambahan kepada nelayan pesisir pantai dengan membawa 'nelayan bermusim' bagi menduga penghuni perairan utara Selangor itu.

Pengusaha bot, Zulkifli Ibrahim, berkata perairan Sabak Bernam terkenal dengan khazanah laut yang bernilai tinggi seperti kerapu, jenahak, gerut-gerut, senohong, tenggiri dan senangin terutama di kawasan kapal pecah berkenaan.

 PELBAGAI jenis ikan berkualiti tinggi boleh dipancing di kawasan tukun Kapal Pecah termasuk Jenahak, Kerapu, pari, gerut-gerut dan tenggiri. - Foto Mohd Shukor Amin
PELBAGAI jenis ikan berkualiti tinggi boleh dipancing di kawasan tukun Kapal Pecah termasuk Jenahak, Kerapu, pari, gerut-gerut dan tenggiri. - Foto Mohd Shukor Amin

"Kedudukan kawasan memancing kira-kira setengah jam perjalanan menaiki bot dari pantai BNO, menyaksikan pemancing lebih gemar turun dari jeti berkenaan, terutama apabila tiba musim tenggiri sepanjang Jun hingga Ogos.

"Dengan bayaran RM700 hingga RM1,000 satu bot yang dikenakan ke atas pemancing mengikut saiz bot, kapasiti dan lokasi yang dipilih dianggap sangat berpatutan. Apatah lagi bot dikemudi tekong berpengalaman untuk mencari lubuk ikan," katanya.

Bersesuaian dengan kehadiran ramai pemancing, jeti BNO dinaikkan taraf daripada jeti kayu ke konkrit, sekali gus memberi keselesaan kepada pengunjung.

Bagi Ripin Long, 53, setiap hujung minggu botnya ditempah kaki pancing sekitar Lembah Klang untuk memancing di kawasan kapal dan tongkang pecah di perairan berkenaan.

"Selain itu, saya juga diminta untuk membawa kaki pancing ke kelong yang jaraknya tiga batu nautika dari pantai BNO.

PENGUSAHA bot pemancing, Zulkifli Ibrahim (Kanan) bersama rakan nelayan menunggu kehadiran pemancing yang menempah perkhidmatannya di jeti Bagan Nakhoda Omar. - Foto Mohd Shukor Amin
PENGUSAHA bot pemancing, Zulkifli Ibrahim (Kanan) bersama rakan nelayan menunggu kehadiran pemancing yang menempah perkhidmatannya di jeti Bagan Nakhoda Omar. - Foto Mohd Shukor Amin

"Sudah empat tahun saya menjalankan aktiviti membawa pemancing ke kawasan kapal pecah dan hampir semua pemancing berpuas hati dengan hasil tangkapan masing-masing.

"Namun, akhir-akhir ini, hasil tangkapan agak berkurangan berikutan sikap nelayan pukat tunda yang menceroboh kawasan tukun kapal pecah menyebabkan habitat di situ musnah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap pihak berkuasa dapat membuat pemantauan selain mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu.

Berikutan bilangan nelayan sambilan yang ramai saban masa, Zulkifli berkata, kemudahan sedia ada tidak mencukupi untuk memberi keselesaan kepada pemancing yang datang ke kawasan itu.

Katanya, ketika ini hanya ada lima bot pancing yang menjalankan kegiatan membawa pemancing sambilan di BNO dan sememangnya tidak mencukupi berbanding permintaan yang tinggi.

Tambahan pula katanya, tidak ramai pengusaha atau nelayan pesisir pantai memiliki bot pancing yang menepati syarat serta sesuai bagi aktiviti berkenaan.

"Sebagai nelayan kecil, kami tidak mampu membeli bot yang berharga kira-kira RM50,000 hingga RM200,000 bagi memenuhi keperluan permit dan bayaran lesen membawa pelancong mahupun pemancing," katanya. 

Justeru, katanya, nelayan pesisir pantai berharap pihak berkuasa dapat memberi kelonggaran membenarkan menggunakan bot mereka bagi membawa pemancing dengan aspek keselamatan diutamakan.

"Kalau boleh, kerajaan bantulah nelayan pesisir pantai dengan pemberian bot pelancong kepada kami untuk digunakan bagi tujuan itu," katanya.

INFO:

  • - Bayaran RM700 hingga RM1,000 yang dikenakan ke atas pemancing mengikut saiz bot, kapasiti dan lokasi.
  • - Perairan Sabak Bernam terkenal dengan khazanah laut bernilai tinggi, antaranya kerapu, jenahak, gerut-gerut, senohong, tenggiri dan senangin.
Berita Harian X