Isnin, 27 Februari 2017 | 12:01am

Konsul Parti Nintendo Switch

PENGENALAN Nintendo Switch di pasaran pada 3 Mac ini akan menyaksikan evolusi baharu dalam dunia permainan video.

Jika dulu permainan video dijolok sebagai permainan 'anti-sosial', Nintendo Switch tampil dengan format berbeza menggalakkan pemain bermain beramai-ramai lebih-lebih lagi ketika di parti.

Bahkan Konsul terbaharu Nintendo itu bersifat hibrid sama ada boleh dinikmati secara peribadi sebagai konsul mudah alih, atau letak saja ke dalam slot yang disediakan untuk menyambung permainan di televisyen.

Secara asasnya, Nintendo Switch adalah tablet berskrin sesentuh 6.2 inci 720P menggunakan enjin pemproses Nvidia Tegra dan sokongan storan 32 Gigabait (GB) yang masih boleh dipertingkat menggunakan kad MikroSD XC.

Mengekalkan format katrij mini sebagai Game Card, pemain mengawalnya menggunakan Joy-Con - alat kawalan muda alih tanpa wayar berkembar boleh disambung di kiri dan kanan skrin, atau disatukan sebagai sebuah konsul bersama Joy-Con Grip, ataupun dipisahkan kepada dua pengawal konsul berbeza untuk dikongsi rakan.

Sambungan pengawal Joy-Con itu akan menentukan mod permainan yang diingini sama ada mod TV apabila konsul dislotkan ke Switch-Dock dan pengguna menikmati sepenuhnya permainan di kaca TV menggunakan kedua-dua Joy-Con yang disatukan kepada Joy-Con Grip.

Mod kedua adalah Handheld Mode, membolehkan pengguna menyambungkan kedua-dua Joy-Con kepada skrin NIntendo Switch dan memainkannya sebagai konsol mudah alih mirip Nintendo DS.

Tabletop Mode adalah mod ketiga yang sesuai dimainkan ketika berparti apabila Joy-Con diasingkan menjadi dua pengawal permainan mini untuk permainan multiplayer dan skrin Nintendo Switch ditongkatkan di atas permukaan rata.

Kekuatan Nintendo kali ini terletak kepada Joy-Con yang unik sebagai alat kawalan yang mampu mengesan pergerakan pengguna dibantu penderia terbina seperti NFC, Kamera infra merah (IR), Accelerometer, dan Girometer.

Butang Capture pada Joy-Con juga membolehkan pengguna merakam dan berkongsi gambar serta video untuk dikongsi terus ke media sosial manakala HD Rumble adalah inovasi baharu yang mencetuskan getaran bagi memberikan pengalaman sebenar permainan.

Berbeza dengan sebilangan konsul permainan video di pasaran, Nintendo mengetengahkan Switch sebagai konsul yang tidak menetapkan halangan kod kawasan.

Ciri-ciri itu membolehkan permainan dari rantau seperti Jepun atau Amerika yang sebelum ini jarang dipasarkan keluar kini boleh dikongsi dan dimainkan oleh mana-mana  pengguna di lokasi lain dunia ini.

Berdasarkan laman web Nintendo Switch, konsul itu akan ditawarkan pada harga AS$299.99.

INFO: Antara komponen kotak Nintendo Switch:

  • Skrin Nintendo Switch
  • Nintendo Switch Dock
  • Dua Joy-Con
  • Joy-Con Grip
  • Dua tali gelang Joy-Con
  • Kabel HDMI cable
  • Kabel kuasa

Web: www.nintendo.com/switch/

Berita Harian X