Khamis, 16 Februari 2017 | 12:00am

Bahaya runtuhan salji

ANGGOTA penyelamat menjalankan misi mencari mangsa di bawah runtuhan di wilayah Nuristan. - Foto AFP
ANGGOTA penyelamat menjalankan misi mencari mangsa di bawah runtuhan di wilayah Nuristan. - Foto AFP

TRAGEDI runtuhan salji di Afghanistan baru-baru ini mendapat perhatian dunia selepas bencana itu meragut nyawa sekurang-kurangnya 137 orang.

  Wilayah Nuristan dan Badakhshan, di timur laut Afghanistan adalah yang paling teruk terjejas ekoran kedudukannya di kawasan banjaran pergunungan bersalji.

  Selain itu, ada juga mangsa lain yang maut tertimbus ketika berada di dalam kereta sementara 54 lagi mangsa di kawasan lain negara itu maut akibat suhu sejuk beku melampau.

  Hujung bulan lalu, seramai 27 kanak-kanak berusia di bawah lima tahun maut di daerah Darzab, wilayah Jawzjan, utara Afghanistan disebabkan salji lebat dan suhu beku sehingga -10 darjah selsius.

  Runtuhan salji sering berlaku di negara itu memandangkan ia mempunyai banyak banjaran gunung bersalji di wilayah timur laut dan utara. Ketika musim sejuk, timbunan salji di gunung bertambah dan menjadi tidak stabil.

  Runtuhan salji terburuk di Afghanistan berlaku, pada Februari 2015 dengan 40 runtuhan salji direkodkan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 310 penduduk sementara 129 lagi cedera.

  Difahamkan, runtuhan salji di Nuristan dan Badakhshan disebabkan ribut salji kuat ekoran musim sejuk luar biasa, sebahagian fenomena global iaitu musim panas lebih panas manakala musim sejuk lebih sejuk.

  Pakar kaji cuaca mengandaikan dua teori menjelaskan musim panas dan sejuk luar biasa ini iaitu pemanasan global dan kesan El Nino, namun sebahagian besar daripada mereka sependapat dengan faktor El Nino.

  Musim sejuk luar biasa turut berlaku di Eropah, hujung tahun lalu dari Poland sehingga ke Turki. Poland paling teruk terjejas, seramai 55 orang mati kesejukan.

 

Bencana runtuhan salji juga boleh berlaku akibat faktor pencetus lain seperti gempa bumi atau aktiviti manusia seperti letupan.

  Runtuhan salji bukan satu bencana 'popular' jika dibandingkan dengan banjir, taufan atau gempa bumi yang berlaku hampir di mana-mana negara dunia. Bencana itu hanya berlaku di negara yang mempunyai bentuk muka bumi bergunung dan mengalami musim sejuk, setiap tahun.

  Namun begitu, runtuhan salji amat merbahaya kerana ia berlaku amat pantas dan kebiasaannya penduduk di kawasan pergunungan tidak sempat melarikan diri ke tempat lebih selamat.

  Bencana runtuhan salji terburuk dalam sejarah dunia berlaku di Huascaran-Ancash di Peru, pada 1970 yang meragut kira-kira 20,000 nyawa. Gempa bumi 7.9 magnitud menyebabkan ais dan batu gunung runtuh.

  Serpihan salji dan batu gunung amat besar iaitu 1.6 kilometer panjang dan 910 meter lebar roboh dan jatuh pada kelajuan 280 hingga 335 kilometer sejam, semua dalam laluannya musnah.

  Runtuhan salji kedua terbesar dunia adalah di Alps, Marmodala, Itali pada 1916 ketika kemuncak Perang Dunia Kedua. Tindakan tentera kedua-dua negara cuba merobohkan timbunan ais gunung di bahagian musuh menyebabkan runtuhan salji yang meragut 10,000 nyawa kebanyakannya anggota tentera.

  Runtuhan salji ketiga paling teruk berlaku di Gunung Huascaran di kawasan pergunungan Andes, Peru pada Januari 1962. Ramai penduduk tempatan sudah membiasakan diri duduk di kawasan berisiko di Lembah Rio Santa.

  Mereka berjaya menyesuaikan diri dengan berlari ke tempat lebih tinggi untuk menyelamatkan diri, namun kali ini runtuhan salji turun pada kelajuan amat tinggi, tidak ramai yang sempat lari, seramai 4,000 maut.

INFO:

  • Runtuhan salji disebabkan timbunan salji di atas bukit dan gunung yang tidak stabil
  • Salji 'runtuh' jika ada faktor pencetus seperti tiupan angin, gempa bumi, letupan atau kandungan salji terlaku banyak
  • Bentuk muka bumi dan pokok memainkan peranan penting menstabilkan timbunan salji

10 insiden runtuh salji paling teruk dalam sejarah dunia

10 - Pangkalan tentera Gayari di Ghanche, Pakistan, April 2012:

138 maut

9 - Nuristan, Afghanistan, Februari 2017: 137 maut

8 - Runtuhan salji Salang di Hindu Kush, Afghanistan, Februari 2010:

172 maut

7 - Runtuhan salji Afghani di Badakhshan, Afghanistan, Mac 2012:

201 maut

6 - Lembah Lahual, India, Mac 1979: 254 maut

5 - Musim Sejuk Ganas di Apls, Austria dan Switzerland, Musim sejuk 1950 - 1951: 265 maut

4 - Runtuhan salji Afghani 2015 di Panjshir, Afghanistan, Februari 2015: 310 maut

3 - Runtuhan salji Huascaran, Januari 1962: 4000 maut

2 - Runtuhan salji Barisan Depan Alps di Marmolada, Italy, Disember 1916: 10,000 maut

1 - Huascaran-Ancash di Peru, Mei - Jun 1970: 20,000 maut

Berita Harian X