Ahad, 5 Februari 2017 | 12:06am

Kerah kudrat selagi bernyawa

Soon Kit (kanan) bersedia menghadapi serangan balas lawan ketika Beng Kiang melakukan 'smash'.
Soon Kit (kanan) bersedia menghadapi serangan balas lawan ketika Beng Kiang melakukan 'smash'.

Imbauan Jejak Wira Piala Thomas 1992: Skuad badminton negara pernah berada di kemuncak kegemilangan dalam saingan berpasukan lelaki Piala Thomas. Rekod merangkul lima kali kejuaraan membuktikannya dengan kali terakhir piala keagungan itu singgah di tanah air pada tahun 1992.

BH Sukan memaparkan kisah perjuangan wira negara serta individu di belakang tabir yang berjuang memastikan kejayaan pada tahun 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Bagi minggu ini, wartawan BH Sukan, HAIKA KHAZI mendapatkan pemain beregu kedua negara, Cheah Soon Kit yang berpasangan dengan Soo Beng Kiang untuk berkongsi detik kejayaan skuad negara.

Kuala Lumpur: Semangat juang tinggi, enggan menyerah kalah dan bermain bermati-matian selagi ada kudrat untuk mengangkat raket menjadi azimat utama kepada pasangan beregu, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang, untuk mengutip mata penting bagi membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992.

Mengimbau detik itu, Soon Kit, 48, mengakui pemain negara menghadapi tekanan tinggi sebelum perlawanan peringkat separuh akhir bertemu China dan final (Indonesia).

Bagaimanapun, Soon Kit menegaskan berkat kesungguhan, kerjasama berpasukan dan semangat enggan menyerah kalah akhirnya pemain negara berjaya menukar tekanan emosi kepada motivasi terbaik untuk merangkul gelaran juara.

Malaysia juga bernasib baik dan mempunyai kelebihan apabila ramai jaguh badminton China ketika itu seperti Yang Yang dan Xiong Guobao; pasangan beregu Chen Kang/Chen Hongyong, sudah pun bersara awal.

CHEAH Soon Kit dan Soo Beng Kiang melompat kegembiraan meraikan kemenangan mereka selepas menewaskan pasangan Indonesia dalam saingan berpasukan lelaki akhir Piala Thomas 1992.
CHEAH Soon Kit dan Soo Beng Kiang melompat kegembiraan meraikan kemenangan mereka selepas menewaskan pasangan Indonesia dalam saingan berpasukan lelaki akhir Piala Thomas 1992.

Soon Kit (kiri) diserbu pegawai dan rakan sepasukan selepas beliau bersama pasangannya, Soo Beng Kiang memastikan Piala Thomas milik Malaysia.
Soon Kit (kiri) diserbu pegawai dan rakan sepasukan selepas beliau bersama pasangannya, Soo Beng Kiang memastikan Piala Thomas milik Malaysia.

Tambahan pula, pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terutama Datuk Punch Gunalan (mendiang), selalu berpesan kepada pemain supaya sentiasa melakukan analisis untuk melihat sejauh manakah pasukan Malaysia boleh menang setiap perlawanan.

"Sebagai contoh sebelum, perlawanan final Piala Thomas, kajian dan analisis kami mendapati Rashid Sidek dan beregu Razif dan Jalani Sidek mempunyai peluang cerah untuk menundukkan lawan masing-masing berdasarkan rekod pertemuan mereka terdahulu.

"Analisa kami juga mendapati pemain perseorangan kedua iaitu Foo Kok Keong, bakal tewas kepada pemain perseorangan Indonesia, manakala saya dan Soo Beng Kiang hanya mempunyai peluang tipis 55:45 peratus untuk menang ke atas pasangan Ricky Subagja dan Rexy Mainaky.

"Jadi apabila Rashid menang ke atas Malaysia, Ardy Wiranata dan berjaya mengutip mata pertama Malaysia, maka bertambah yakin mengenai peluang Malaysia jadi juara Piala Thomas 1992.

"Kita juga begitu yakin Razif dan Jalani mampu menewaskan Gunawan-Hartono pada perlawanan kedua untuk memberikan mata seterusnya kepada Malaysia," katanya.

GAMBAR fail, penonton termasuk dari pemain pasukan Malaysia bersorak memberi semangat kepada regu negara. - Foto NSTP
GAMBAR fail, penonton termasuk dari pemain pasukan Malaysia bersorak memberi semangat kepada regu negara. - Foto NSTP

GAMBAR fail; Soo Beng Kiang (kiri), Rashid Sidek, Cheah Soon Kit dan Punch Gunalan meraikan kemenangan menentang Indonesia dalam perlawanan akhir Piala Thomas 1992. - Foto NSTP
GAMBAR fail; Soo Beng Kiang (kiri), Rashid Sidek, Cheah Soon Kit dan Punch Gunalan meraikan kemenangan menentang Indonesia dalam perlawanan akhir Piala Thomas 1992. - Foto NSTP

Namun, Soon Kit, berkata nasib tidak menyebelahi kem Malaysia apabila Razif-Jalani tewas selepas bermain tiga set, sebelum ditebus semula oleh pemain perseorangan kedua, Foo Kok Keong yang mencipta kejutan menewaskan Alan Budikusuma (15-12 dan 15-6).

"Saya rasa kunci utama kejayaan Kok Keong menewaskan Alan adakah kerana dia ada semangat luar biasa dan tidak mudah mengaku kalah, walaupun sebelum perlawanan analisis di atas kertas menunjukkan memang perkara mustahil.

"Apabila tiba giliran beregu kedua ...saya cakap kepada Beng Kiang kita hanya ada satu peluang iaitu bermain bermati-matian untuk menang atau kalah bermaruah. Jadi tekanan memang amat kuat.

"Jadi, saya katakan kepada Beng Kiang, kami mesti mempamerkan aksi terbaik, aksi sepenuh tenaga. Biarkan sehingga kejang otot, diusung keluar dari gelanggang. Selagi ada kudrat, kita tidak boleh mengaku kalah dengan mudah dan sentiasa fokus walaupun ketinggalan," katanya.

Soon Kit yang kini diberi tugas sebagai jurulatih skuad negara berkata, kejayaan Malaysia skuad 1992 juga didorong persiapan awal pemain, jurulatih dan BAM termasuk latihan intensif selama lima hingga enam jam sehari.

GAMBAR fail, Piala Thomas diserahkan di atas podium. - Foto NSTP
GAMBAR fail, Piala Thomas diserahkan di atas podium. - Foto NSTP

Soon Kit bersama pasukan badminton Malaysia meraikan kegembiran selepas berjaya memenangi Piala Thomas.
Soon Kit bersama pasukan badminton Malaysia meraikan kegembiran selepas berjaya memenangi Piala Thomas.

"Kita memang membuat persiapan awal bagi menghadapi situasi terburuk seperti pemain dipaksa bermain lebih dua jam atau set penentuan. Jadi apabila bermain di set ketiga, kami mempunyai sedikit kelebihan iaitu sorakan dan sokongan padu penyokong kerana Malaysia adalah tuan rumah.

"Sokongan penyokong yang menggamatkan Stadium Negara itu memberikan kami dorongan, motivasi dan semangat untuk terus berjuang dan mengutip mata demi mata," katanya.

Latih tubi 500 kali smash

Jika jurulatih menetapkan latih tubi 300 kali pukulan smash sehari, pemain biasanya akan mengambil inisiatif sendiri untuk melakukan latihan tambahan kepada 500 pukulan smash.

Hanya dengan cara itu, pemain skuad Piala Thomas 1992, mampu meningkatkan pukulan serta ketahanan diri dan diakui sendiri bekas pemain beregu nombor dua negara, Cheah Soon Kit.

SKUAD badminton negara meraikan kejayaan mereka dalam saingan Piala Thomas pada 1992.
SKUAD badminton negara meraikan kejayaan mereka dalam saingan Piala Thomas pada 1992.

"Pemain negara lain terutamanya China menjalani latihan lebih keras. Mungkin mereka lakukan latihan pukulan smash hampir 1,000 sehari.

"Kalau pemain tiada kesungguhan dan ada masalah disiplin atau sikap, mereka tidak boleh serap apa yang diajar jurulatih. Ajarlah bagaimana pun, akhirnya mereka akan cepat mengaku kalah...malas nak kejar hantaran lawan terutama ketika berdepan lawan yang sukar," katanya.

Soon Kit yang bergandingan dengan Soo Beng Kiang ketika Malaysia menjulang edisi Piala Thomas 1992 tetap yakin Malaysia berupaya mengulangi kejayaan 1992 jika semua pemain mempunyai kemahuan tinggi untuk menang dan menjadi juara.

Katanya, ketika ini, skuad negara mempunyai kelebihan kerana ramai jaguh badminton utama dunia terutama dari China seperti Lin Dan mengumumkan untuk bersara selepas Sukan Olimpik Rio 2016.

Jadi, peluang Malaysia untuk menang Piala Thomas pada edisi 2018 amat cerah jika Persatuan Badminton Malaysia (BAM), barisan kejurulatihan dan pemain membuat persiapan rapi.

GAMBAR fail, Wira Malaysia berkonvoi mengarak Piala Thomas 1992 sambil disambut pelajar sekolah di sepanjang jalan. - Foto NSTP
GAMBAR fail, Wira Malaysia berkonvoi mengarak Piala Thomas 1992 sambil disambut pelajar sekolah di sepanjang jalan. - Foto NSTP

Malaysia juga kelebihan kerana memiliki pemain badminton seperti, Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang kini menduduki ranking pertama dunia.

Apa yang perlu dilakukan sepanjang tempoh ini ialah BAM juga perlu memberi lebih banyak pendedahan kepada pemain muda seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, beregu lelaki Teo Eei-Ong Yew Sin supaya mereka tidak gugup ketika beraksi di gelanggang.

"Jika mahu menang Piala Thomas 2018 kita kena kenal pasti barisan pemain dan membuat persiapan rapi mulai sekarang.

"Kita juga meneliti, mengkaji dan membuat perbandingan antara prestasi pemain tempatan dengan negara lain seperti Korea Selatan, China dan Denmark yang sudah pasti sedang mengatur strategi untuk menang Piala Thomas, pada tahun depan.

Baginya, peluang masih terbuka kepada semua negara untuk menang Piala Thomas kerana masa masih lagi panjang.

Di atas kertas, Denmark adalah pasukan terkuat bakal untuk saingan Piala Thomas 2018 kerana mereka memiliki barisan pemain yang paling konsisten ketika Malaysia, China, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun, dalam proses pencarian pemain utama.

CHEAH Soon Kit. - Foto Osman Adnan
CHEAH Soon Kit. - Foto Osman Adnan

Profil:
Nama: Cheah Soon Kit
Tarikh lahir: 9 Januari 1968
Umur: 48 tahun
Asal: Ipoh
Acara: Beregu (Badminton)
Kerjaya sekarang: Jurulatih beregu BAM.

GAMBAR fail, Punch Gunalan (kiri) dan Rashid Sidek turun dari pesawat membawa Piala Thomas 1992. - Foto NSTP
GAMBAR fail, Punch Gunalan (kiri) dan Rashid Sidek turun dari pesawat membawa Piala Thomas 1992. - Foto NSTP
Soon Kit (kiri) sedang menjalani latihan bersama Rashid Sidek sebagai persediaan menghadapi Piala Thomas 1992.
Soon Kit (kiri) sedang menjalani latihan bersama Rashid Sidek sebagai persediaan menghadapi Piala Thomas 1992.
Soon Kit bersama Beng Kiang mengangkat tangan selepas berjaya menundukkan pasangan Indonesia pada perlawanan akhir Piala Thomas 1992.
Soon Kit bersama Beng Kiang mengangkat tangan selepas berjaya menundukkan pasangan Indonesia pada perlawanan akhir Piala Thomas 1992.
Berita Harian X