Jumaat, 3 Februari 2017 | 12:05am

Syukuri nikmat, tabah hadapi ujian hidup

PENTADBIRAN Allah SWT terhadap urusan hidup manusia sebahagian daripada pentadbiran agung-Nya terhadap seluruh urusan alam. Apa yang kita punyai hakikatnya milik Allah SWT belaka. Segalagalanya berlaku dengan kuasa-Nya, boleh hilang dan bertukar dalam sekelip mata.

Manusia sepatutnya malu untuk mengaku dia mempunyai itu dan ini sedangkan semuanya milik Allah SWT. Mengingati hakikat inilah Nabi SAW berdoa: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon berlindung pada-Mu daripada hilangnya nikmat pemberian-Mu, berpalingnya afiat dari-Mu dan kejutan kemurkaan-Mu dan berhimpun kemarahan-Mu." (Riwayat Muslim)

Setiap mukmin hendaklah optimis dengan bala dan ujian yang menimpa, jangan sekali-kali berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Ada ketikanya Allah SWT tidak memberi sesuatu kepada hamba-Nya untuk melihat reaksinya terhadap ujian.

Ramai yang hari ini bergelar hartawan, esok menjadi orang miskin, di waktu pagi tahap kesihatannya baik namun di waktu petang dia jatuh sakit kemudian menemui ajalnya. Orang yang memahami hakikat ini tenang jiwanya, bahagia hidupnya.

Justeru, kita perlu bersyukur dengan nikmat dan bersabar terhadap ujian. Dunia ini milik Allah SWT, Dia memberi dan menarik balik, Dia mengangkat tinggi dan menghumban turun kerana sunnatullah serta peraturan alam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Ali-Imran, ayat 26)

Tiada yang mustahil

Al-Wahidiy meriwayatkan daripada Ibn Abbas dan Anas Ibn Malik, sewaktu Rasulullah SAW membuka kota Makkah, Baginda menjanjikan akan menguasai kerajaan Parsi dan Rom. Mendengarkan janji itu, golongan munafik berkata, "Mustahil! Mustahil! Bagaimana Baginda boleh menguasai kerajaan Rom dan Parsi, kerana mereka memiliki kekuasaan dan kelengkapan yang banyak. Adakah Nabi Muhammad SAW masih tidak berasa cukup dengan kejayaan menguasai Makkah dan Madinah, dan mahu ditambah lagi dengan menakluki Parsi dan Rom?"

Sebagai menjawab ejekan mereka itu, Allah SWT menurunkan ayat 26, surah Ali-Imran, yang menjadi penawar kepada Nabi SAW yang sedang menghadapi penderhakaan dan kesombongan mereka. Ayat itu juga mengingatkan Baginda, Allah SWT sahaja Yang Maha Berkuasa memberi pertolongan.

Kekuasaan Allah SWT meliputi hal kebendaan, kedudukan dalam masyarakat sampailah kepada urusan hidup dan mati. Bermula dari dunia sampai akhirat, semuanya bergerak dengan kuasa Allah SWT dan pada bila-bila masa boleh berubah kepada keadaan sebagaimana dikehendaki-Nya.

Bagi manusia yang diberi kuasa, kehilangan kuasa sesuatu yang tidak disukainya. Dimuliakan, diangkat darjat serta dipuji menjadi rebutan semua orang. Sebenarnya, yang baik dan buruk itu sangat relatif kerana ada keburukan yang membawa kebaikan, begitulah sebaliknya.

Ada yang kalah dalam sesuatu perkara lalu dia kembali kepada Allah SWT dan menyucikan dirinya dengan taubat selepas kekalahan itu. Maka kemenangan datang semula kepadanya yang bertaubat dan akhirnya berjaya bangkit daripada kekalahan.

Peringatan kepada manusia, segala yang dimiliki sama ada harta, kuasa atau cinta, ia hanyalah sementara. Allah SWT berhak mengekalkannya atau ditarik bila-bila masa. Oleh itu, sentiasa bersedia dengan hakikat kehidupan ketika mendapat nikmat atau sedang diuji oleh Allah SWT.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X