Jumaat, 3 Februari 2017 | 12:01am

Buntu beli buku untuk si kecil

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Soalan 1; Saya suri rumah sepenuh masa dan ada dua anak berusia antara dua hingga empat tahun. Saya ketandusan idea membeli buku yang sesuai untuk anak. Mengajar anak kenali huruf atau pra nombor, ternyata membosankan kerana mereka langsung tidak menunjukkan minat.

Nur Amelia Razif
Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Jawapan;

Membeli dan membacakan buku untuk si kecil, bagus bagi memupuk minat membaca dan suka kepada buku. Jika sedari awal si kecil dipaksa mengenal pelbagai simbol abjad atau nombor bersifat abstrak dan sukar untuk difahami, ia akan mencantas tabiatnya untuk menghargai buku, minat membaca serta membudayakan ilmu apabila mereka melangkah masuk ke alam persekolahan dan remaja.

Kanak-berusia antara satu hingga dua tahun, sukakan buku bergambar tanpa tulisan kerana belum boleh mengaitkan perkataan (simbol) dengan gambar. Mereka suka mengenali dan memahami sesuatu maklumat dengan meneroka objek di persekitaran secara langsung.

Mencapai tiga hingga empat tahun, kanak-kanak suka mendengar cerita pendek dan tidak kisah cerita itu diulang-ulang penceritaannya. Apabila memegang buku kesukaannya, si kecil akan bertindak berpura-pura seolah-olah sedang membaca buku.

Buku bergambar

Buku bergambar atau berbentuk pop-up, buku yang apabila disentuh, akan terasa sesuatu; contohnya gambar arnab bila disentuh terasa berbulu, begitu sesuai untuk si kecil berusia bawah dua tahun.

Buku berbentuk fakta bergambar seperti, binatang, kenderaan, pergi bercuti dan sebagainya juga sesuai untuk kanak-kanak. Semakin membesar, si kecil akan mula sukakan buku terdapat di dalamnya elemen jenaka, kartun dan juga buku cerita.

Jika memilih buku untuk si kecil berusia lima tahun ke bawah, penting memikirkan bagaimana buku itu akan digunakan untuk dibacakan kepada si kecil BUKAN bagaimana kanak-kanak boleh membaca.

Kanak-kanak dalam usia sebegini sukakan buku terdapat di dalamnya perkataan atau frasa berulang-ulang. Mereka suka mengagak apa yang akan berlaku selepas sesuatu plot dan menyebut perkataan berulang-ulang bersama dengan orang dewasa.

Pastikan tenang dan selesa

Apabila membacakan buku cerita kepada si kecil, pastikan ia bersesuaian dengan usianya. Lebih baik membacakan dua cerita pendek dari membaca satu buku cerita panjang bagi anak yang masih kecil usianya.

Apa yang penting, si kecil perlu berada dalam keadaan tenang dan selesa sebelum buku dibacakan atau diceritakan kepadanya. Ibu bapa perlu menunjukkan sikap positif dan entusiastik semasa membacakan buku kepadanya dengan mempelbagaikan nada bunyi suara dan, memek muka dan gerak anggota badan yang pelbagai. Babitkan si kecil dalam pembacaan dengan bertanya kepadanya soalan dan memandang wajahnya.

Berita Harian X