Ahad, 22 Januari 2017 | 12:22am

Saya tidak selesa hidup dikongkong - Atikah Suhaime

KUALA LUMPUR: Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitu suratan yang ditempuhi pelakon kelahiran Tampines, Singapura, Atikah Suhaime.

Ketika diri terpalit kontroversi yang hampir meranapkan masa depannya, Atikah, 26, terpaksa menerima kenyataan pahit apabila episod percintaan dengan seorang juruterbang berakhir dengan perpisahan.

Bukan episod kontroversi yang dilaluinya menjadi punca utama perpisahan mereka, sebaliknya Atikah enggan lagi membiarkan diri berterusan diasak luka dan kesedihan apabila keserasian yang dicari, perlahan-lahan menjauh.

Cukup dua tahun melaluinya, Atikah akur tiada guna meneruskan hubungan yang tidak lagi memberinya kegembiraan.

Perit menahan emosi hingga akhirnya pelakon yang mencipta nama menerusi drama Bila Hati Berbicara itu mengambil keputusan menyepikan diri. Bukan sengaja mengelak pelbagai persoalan yang belum terjawab, sebaliknya Atikah sedang bergelut mencari kekuatan diri.

PELAKON kelahiran Tampines, Singapura, Atikah Suhaime.. - Foto Aziah Azmee
PELAKON kelahiran Tampines, Singapura, Atikah Suhaime.. - Foto Aziah Azmee

"Semua yang berlaku bagaikan mimpi ngeri. Sudahlah ditimpa kontroversi, hubungan cinta saya pula berdepan masalah. Berbulan-bulan jiwa saya tidak tenteram. Kalau ikutkan hati, saya boleh jadi gila tetapi tiada guna terlalu mengikutkan perasaan.

"Saya berdepan dengan dua episod malang serentak. Sudahlah sarat menanggung malu gara-gara kontroversi silam, pada masa sama, hati saya dilukai. Untuk apa meneruskan hubungan cinta jika tiada lagi persefahaman. Kami akhirnya mengambil keputusan membawa haluan masing-masing pada Aidilfitri, tahun lalu.

"Kami berpisah bukan kerana kontroversi, malah bekas kekasih tetap bersama ketika saya dihimpit isu hangat. Dia tahu apa yang berlaku. Perpisahan kami berlaku kerana saya sudah putus asa. Untuk apa menyayangi seseorang separuh nyawa, tetapi saya sering makan hati," katanya.

Nekad potong rambut

Atikah yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama Seharum Bunga arahan Amie Maziah sebanyak 30 episod siaran RTM tampil dengan imej baharu apabila berambut pendek. Mengakui lebih bahagia tanpa kekasih, Atikah juga bebas menentukan jalan hidupnya sendiri.

ATIKAH kini sibuk di lokasi penggambaran drama Seharum Bunga arahan Amie Maziah sebanyak 30 episod siaran RTM. - Foto Aziah Azmee
ATIKAH kini sibuk di lokasi penggambaran drama Seharum Bunga arahan Amie Maziah sebanyak 30 episod siaran RTM. - Foto Aziah Azmee

ATIKAH tidak selesa jika hidup dikongkong. - Foto Aziah Azmee
ATIKAH tidak selesa jika hidup dikongkong. - Foto Aziah Azmee

"Saya tidak selesa jika hidup dikongkong. Tetapi, itu yang berlaku setiap kali saya menjalin hubungan cinta. Saya sentiasa dikawal hingga mahu memotong rambut juga terpaksa mendapatkan persetujuan. Sekarang, saya bebas melakukan apa yang saya selesa.

"Saya memotong rambut pendek bukan untuk mengusir malang, sebaliknya mahu melepaskan keinginan hati yang sudah lama terpendam," katanya.

Atikah yang pernah membintangi filem Lagenda Budak Hostel, Highlands Tower dan Gudang Kubur berkata, semua yang berlaku tidak membuatnya serik untuk bercinta. Cuma untuk 2017, cinta bukan fokus utamanya.

"Saya melalui episod malang yang bertimpa-timpa sepanjang tahun lalu. Hati juga masih belum sembuh sepenuhnya. Soal cinta, biar takdir yang menentukan. Saya mahu fokus kembali kepada kerjaya lakonan yang hampir ditinggalkan gara-gara kontroversi sebelum ini.

"Hampir empat bulan saya tidak berlakon, bukan kerana tiada tawaran tetapi saya menolaknya. Hati saya tidak tenteram dan ambil keputusan pulang ke Singapura untuk membantu keluarga menjalankan bisnes katering. Saya mengendalikan banyak acara dan majlis bersama ibu," katanya.

Terguris dilabel artis sampah

Atikah berkata, semua itu dilakukan kerana mahu masyarakat melupakan kontroversi yang berlaku. Akuinya, sebagai manusia biasa, hatinya terguris apabila membaca komen yang dilemparkan terutama di laman sosial. Paling mengesankan, apabila Atikah dilabel sebagai artis sampah.

HATI Atikah terguris apabila dilabel sebagai artis sampah. - Foto Zunnur Al Shafiq
HATI Atikah terguris apabila dilabel sebagai artis sampah. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Bagi meredakan keadaan, saya ambil keputusan berehat seketika dan hanya kembali apabila semuanya sudah tenang. Pernah juga saya rasa putus asa dan mahu meninggalkan dunia lakonan. Tetapi apabila melihat sokongan peminat, saya fikir semula.

"Saya bersyukur walaupun terpalit dengan kontroversi, tidak semua membenci saya. Masih ramai yang menyokong saya, malah jumlah pengikut di laman Instagram saya makin bertambah.

"Walaupun masih ada yang memberikan komen menyakitkan hati, tetapi sudah tidak lagi sebanyak dulu. Apa yang membuatkan saya kembali tenang apabila ramai yang memberi semangat untuk saya bangkit daripada episod malang itu. Saya akui, keluarga dan peminat menyelamatkan kerjaya saya," katanya.

ATIKAH akur tiada guna meneruskan hubungan yang tidak lagi memberinya kegembiraan. - Foto Aziah Azmee
ATIKAH akur tiada guna meneruskan hubungan yang tidak lagi memberinya kegembiraan. - Foto Aziah Azmee
Berita Harian X