Jumaat, 6 Januari 2017 | 12:07am

Keturunan baik lahirkan generasi mulia

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing)." (Surah ali-Imran, ayat 33)

Allah SWT memilih dan memberi keutamaan untuk melantik jawatan nabi daripada kalangan hamba-Nya yang terbaik. Antara mereka ialah Nabi Adam sebagai bapa umat manusia. Nabi Nuh sebagai Syeikh al-Mursalin dan keluarga Nabi Ibrahim yang terdiri daripada anak cucunya, iaitu Ismail, Ishak dan para nabi terakhir keturunan mereka, Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT juga memberikan keistimewaan dengan menyebut nama-nama mereka dalam ayat ini kerana nabi dan rasul itu adalah daripada keturunan mereka yang tersebut namanya di sini.

Keluarga Imran keturunan mulia

Menurut al-Alusi, Nabi Nuh dipilih menjadi nabi adalah kerana Baginda adalah bapa manusia yang kedua selepas Nabi Adam. Semua nabi-nabi yang dipilih di muka bumi ini adalah keturunan Nabi Nuh. Keluarga Ibrahim pula dipilih, iaitu menerusi Nabi Ismail dan Nabi Ishak serta nabi daripada keturunan mereka.

Kemudian dipilih pula keluarga Imran yang dianggap paling tinggi martabatnya kerana daripadanya lahir Nabi Isa yang diberi Allah kepadanya keterangan mukjizatnya dan diperkukuhkan pula dengan tiupan roh al-Quds pada ibunya, Maryam.

Menurut Sayyid Muhammad Tantawi, Imran adalah bapa Maryam iaitu Imran bin Yasyim bin Misya bin Hizqiya, nasabnya bersambung kepada Nabi Ibrahim. Dia bukan Imran bapa Nabi Musa dan Nabi Harun sebagaimana pendapat sesetengah orang. Kenabian ini diakhiri pada cucu Nabi Ismail iaitu Nabi Muhammad SAW.

Salasilah nasab yang panjang ini menunjukkan Allah SWT memilih nabi untuk memimpin manusia adalah bermula daripada Adam, bapa kepada semua manusia, kemudian berlalu ratusan abad yang tidak diketahui berapa lama masanya sehingga kepada nabi terakhir dan penutup para nabi iaitu Nabi Muhammad SAW.

Sayyid Qutb berkata, mereka adalah yang menjadi pasukan pertama dari angkatan iman di dalam pelbagai peringkat perkembangannya yang bersambung di sepanjang generasi dan abad.

Al-Quran menjelaskan bahawa merekalah zuriat keturunan yang berasal dari satu sama lain. Ia tidak semestinya zuriat dari segi keturunan, kerana keturunan mereka semua bertemu pada Adam dan Nuh, malah zuriat itu adalah hubungan pilihan Ilahi dan hubungan akidah yang bersambung di dalam angkatan iman yang mulia itu.

Allah SWT memilih mereka dan menjadikan mereka orang pilihan di atas dunia dengan memberikan kenabian dan kerasulan kepada mereka.

Rasul umpama duta besar

Rasul bagaikan duta besar yang ditugaskan sebagai pengantara dan penghubung antara sebuah negeri dengan negeri lain. Duta ini dipilih daripada orang yang mempunyai kebolehan yang istimewa, selain daripada berpengetahuan pada tahap yang tinggi, akhlak dan keperibadiannya juga mulia.

Ini kerana apa yang akan disuarakannya adalah suara rasmi negara dan kerajaan yang diwakilinya.

Umum mufassirin menyatakan bahawa Adam adalah insan pertama di muka bumi ini, Baginda dijadikan daripada tanah, dicipta oleh Allah SWT dan ditiupkan roh padanya, kemudian diperintahkan malaikat supaya sujud kepadanya. Baginda diajar nama-nama benda, kemudian ditempatkan di dalam syurga dan kemudian diturunkannya ke bumi kerana ada hikmah yang hanya diketahui oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Penting mencari pasangan baik

Justeru, ayat di atas memberi isyarat yang jelas kepentingan keturunan yang baik, apa yang pasti ia tidak lari dari konsep mencari pasangan yang baik dan berusaha memberi pendidikan kepada anak-anak.

Tanamkan perasaan takwa dalam jiwa anak termasuk membiasakan mereka solat, al-Quran, pendidikan akhlak serta rohani.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X