Ahad, 25 Disember 2016 | 12:10am

Ong Yu Tiang pantang menyerah kalah

KUALA LUMPUR: Walaupun bukan menjadi pilihan utama bagi mengisi posisi penjaga gol, mendiang Ong Yu Tiang langsung tidak pernah berputus asa untuk merebut kedudukan nombor satu skuad negara.

Apabila namanya dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan, ramai pemerhati mengatakan dia adalah seorang daripada himpunan pemain bintang pada ketika itu, tetapi Yu Tiang kekal dengan watak rendah diri kerana baginya, itu hanyalah sekadar tanggapan.

ONG Yu Tiang menangkap kemas bola daripada menerjah gawang pasukan yang dijaganya.
ONG Yu Tiang menangkap kemas bola daripada menerjah gawang pasukan yang dijaganya.

Ketika itu, Yu Tiang adalah tonggak utama skuad Pahang sehinggakan pernah ada jenaka di kalangan pemain dan peminat - jika beraksi menentang skuad Tok Gajah, mereka cukup sukar menjaringkan gol ketika ada 'Tiang' ketiga, iaitu penjaga gol.

Begitulah hebatnya Yu Tiang pada ketika itu. Namun, seperti diakui rakan sepasukan yang mengenali, mendiang cukup berpegang kepada prinsip betapa tidak ada jalan pintas untuk berjaya kecuali kekal dengan disiplin diri yang tinggi.

Bagi bekas pemain skuad Harimau Malaya, Datuk Bakri Ibni, Yu Tiang adalah pemain yang komited sepanjang bersama pasukan kebangsaan dan cukup dikenali dengan sifat 'ringan tulang' sekali gus disenangi semua pemain dalam pasukan ketika itu.

KELIBAT Ong Yu Tiang sering dibayangi penjaga gol legenda negara, R Arumugam.
KELIBAT Ong Yu Tiang sering dibayangi penjaga gol legenda negara, R Arumugam.

"Saya lama mengenalinya. Memang dia kurang dapat peluang beraksi apabila sering dibayangi seorang lagi penjaga gol, mendiang R Arumugam. Namun setiap kali dia beraksi, pasukan langsung tidak berdepan masalah.

"Dia berperwatakan sederhana. Ketika latihan juga dia adalah antara orang paling komited untuk mencapai kejayaan. Dia orang paling awal datang dan dia juga orang paling lambat pulang.

"Malah dia juga cukup rajin ketika luar padang. Setiap kali pasukan menjelajah, dialah orang yang sentiasa berada di saf depan mengangkat peralatan pasukan," kata Bakri.

WALAUPUN jarang berpeluang turun beraksi, namun dia sering kali tampil sebagai penyuntik semangat rakan sepasukan yang lain
WALAUPUN jarang berpeluang turun beraksi, namun dia sering kali tampil sebagai penyuntik semangat rakan sepasukan yang lain

Bagaimanapun, Bakri mengakui agak terkejut dengan berita kematian Yu Tiang yang cukup dikenali sebagai seseorang yang memiliki semangat setia kawan yang tinggi.

Yu Tiang meninggal dunia pada usia 45 tahun akibat menderita penyakit leukemia.

"Peribadinya tidak ubah seperti orang Melayu dan bercakap pun langsung tidak ada loghat bahasa cina. Sebelum itu, kami pernah bermain bersama dalam aksi persahabatan bekas pemain Singapura dan bekas pemain Malaysia.

"Dia kelihatan sihat apabila memanaskan badan dengan bersungguh-sungguh. Tetapi berapa lama kemudian, saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita kematiannya," katanya.

ONG Yu Tiang disifatkan sebagai penjaga gol yang tidak mudah menyerah kalah terhadap sebarang cubaan daripada penyerang lawan.
ONG Yu Tiang disifatkan sebagai penjaga gol yang tidak mudah menyerah kalah terhadap sebarang cubaan daripada penyerang lawan.

Pakar motivasi yang pendiam

Kelibat Yu Tiang nyata cukup penting buat pasukan bola sepak kebangsaan ketika memastikan slot ke Sukan Olimpik 1980.

Walaupun jarang diturunkan beraksi, namun Yu Tiang sering kali tampil sebagai penyuntik semangat kepada rakan sepasukan lain.

Semangatnya tidak perlu dipertikaikan dan kekal setia dengan pasukan ketika khidmatnya sering dibayangi rakan seposisi, mendiang R Arumugam.

Bagi bekas pertahanan negara, Kamaruddin Abdullah, mendiang Yu Tiang sebenarnya agak pendiam tetapi ia jelas berbeza ketika pasukan mengharungi sesuatu perlawanan.

"Kalau ikutkan dengan pemain lain, dia mungkin agak pendiam. Tetapi setiap kali kami ada perlawanan, dia selalu hadir beri kata-kata semangat.

"Bagi saya sebagai pemain, keseluruhan pasukan cukup mudah untuk bekerjasama dengannya dan tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan ketangkasannya," kata Kamaruddin.

ONG Yu Tiang dikenali sebagai seorang pemain yang komited dan ringan tulang dalam kalangan rakan sepasukan.
ONG Yu Tiang dikenali sebagai seorang pemain yang komited dan ringan tulang dalam kalangan rakan sepasukan.

Yu Tiang mengukir nama dalam sukan ini dalam pentas berbeza termasuk tersenarai dalam skuad kebangsaan pada kelayakan Piala Dunia.

Malah namanya bukan lagi asing buat peminat ketika itu dalam saingan Pestabola Merdeka ketika sering muncul dalam senarai pasukan.

Namun Kamaruddin menegaskan di sebalik sifat pendiam, Yu Tiang juga seorang yang kelakar dan sering mengusik rakan sepasukan lain.

"Walaupun dia agak pendiam, dia juga masih boleh bergurau. Secara tidak langsung suasana pasukan tidak terlalu serius.

"Diam-diam pun, ada kalanya dia juga suka usik rakan lain," katanya.

JARANG mendapat peluang beraksi, namun tanggungjawab yang diberi tidak pernah dihampakan oleh Yu Tiang dengan aksi kemas dan tangkas
JARANG mendapat peluang beraksi, namun tanggungjawab yang diberi tidak pernah dihampakan oleh Yu Tiang dengan aksi kemas dan tangkas

Tamat...

INFO: Ong Yu Tiang

# Tonggak utama penjaga gawang skuad Pahang

# Pilihan sebagai penjaga gol kedua selepas R Arumugam dalam Skuad Olimpik 1980

# Tidak pernah menolak sebarang panggilan menyertai latihan skuad negara

# Walaupun tidak beraksi, namun Ong Yu Tiang sentiasa menyuntik semangat pasukan

# Meninggal dunia pada usia 45 tahun kerana penyakit leukimia

Berita Harian X