Isnin, 19 Disember 2016 | 12:01am

UniSZA perkenal enam produk makanan baharu

RF' Choc antara produk makanan baharu yang bakal dipasarkan kepada orang ramai.
RF' Choc antara produk makanan baharu yang bakal dipasarkan kepada orang ramai.

BESUT: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila di sini memperkenalkan enam produk baharu makanan berasaskan bahan tempatan yang bakal dipasarkan kepada orang ramai, tidak lama lagi.

Pengarah kampus itu, Dr Khamsah Suryati Mohd, berkata pembuatan makanan terbabit menggunakan hasil pertanian seperti keledek, kangkung, rambutan, labu dan sayur-sayuran yang diadun dengan perasa tidak beralkohol.

Beliau berkata, hasil daripada kajian pelajar tahun akhir universiti itu adalah setaraf produk makanan lain dalam pasaran, malah dijangka mendapat sambutan pengguna di negara ini.

"Kajian dijalankan oleh pelajar jurusan pemakanan sejak setahun lalu sehingga berjaya menghasilkan produk ini yang mampu bersaing dengan makanan lain seumpamanya.

Bantu petani tempatan

"Semua makanan diperkenalkan adalah yang pertama dikeluarkan oleh UniSZA sejak kampus ini beroperasi," katanya pada majlis pelancaran produk berkenaan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Khamsah Suryati berkata, fokus utama UniSZA melalui inisiatif berkenaan ialah memanfaatkan tanaman diusahakan petani tempatan, sekali gus membantu golongan itu menambah pendapatan.

"Kami mendapati banyak hasil pertanian tempatan dilambakkan kerana tidak laku dalam pasaran, justeru mengkomersialkannya dalam bentuk makanan ringan, ia akan lebih mudah diterima pengguna," katanya.

INFO Enam produk makanan diperkenalkan UniSZA

  • Gula-gula KMO
  • Mi Hijau
  • Pumpkin Hash Brown
  • Chew Nom
  • RF' Choc
  • Pumpito
Berita Harian X