Khamis, 15 Disember 2016 | 12:06am

Penyanyi baharu sekadar jual rupa - Saleem

KUALA LUMPUR: Ibarat serangan virus yang boleh memusnahkan industri hiburan perlahan-lahan, begitulah diumpamakan keghairahan sesetengah pihak melahirkan penyanyi yang hanya bersandarkan paras rupa, bukannya bakat semula jadi mereka.

Asalkan memiliki wajah cantik atau kacak biarpun kemampuan vokal sekadar 'jeritan' di pusat karaoke, itu sudah memadai untuk mereka bergelar penyanyi. Sedap atau tidak nyanyian mereka, itu semua boleh dibantu dengan penggunaan mesin.

SALEEM kesal apabila belantara muzik tanah air dipenuhi penyanyi yang hanya 'menjual' muka, bukannya suara. - Foto Munira Abdul Ghani
SALEEM kesal apabila belantara muzik tanah air dipenuhi penyanyi yang hanya 'menjual' muka, bukannya suara. - Foto Munira Abdul Ghani

Justeru, tidak hairanlah penyanyi seperti ini tidak panjang jangka hayatnya. Situasi ini berbeza dengan penyanyi yang benar-benar mempunyai bakat asli kurniaan Tuhan. Apatah lagi mereka yang bermula dari bawah dan tidak tahu apa-apa mengenai teknik suara mahupun industri muzik.

Datanglah penyanyi baharu dari ceruk manapun, artis sejati tetap berada dalam liga tersendiri dan sukar ditumbangkan.

Antara mereka yang masih bertahan sehingga hari ini adalah bekas vokalis kumpulan Iklim iaitu Saleem.

Bukan berhasad dengki atau mempunyai masalah peribadi dengan penyanyi baharu, namun apa yang dikesalkan Saleem adalah apabila belantara muzik tanah air dipenuhi penyanyi yang hanya 'menjual' muka, bukannya suara.

"Disebabkan itu, kalau kita dengar radio, deejay masih lagi memutarkan lagu lama atau muzik retro. Ini kerana kami diambil menyanyi kerana bakat, bukannya rupa.

"Saya pun bukannya lawa tapi disebabkan kami ada bakat dan boleh menyanyi dengan baik, maka kami mampu bertahan lama.

PENYANYI, Saleem kini sedang sibuk dengan proses rakaman album terbaharunya. - Foto Munira Abdul Ghani
PENYANYI, Saleem kini sedang sibuk dengan proses rakaman album terbaharunya. - Foto Munira Abdul Ghani

"Penyanyi sekarang kebanyakannya tidak ada apa-apa yang hendak diketengahkan. Mungkin sekadar nak tambahkan kuota sebagai penyanyi saja atau sekadar batu loncatan untuk menjadi pelakon atau pengacara," kata Saleem penuh sinis.

Mengulas lagu-lagu lama yang masih lagi digemari ramai termasuk generasi baharu yang belum lahir ketika dendangan itu mengecap populariti, anak jati Terengganu ini berkata, perkara itu ada kaitan dengan magis penyanyi sejati.

"Apabila kita menyanyi dengan jiwa, jadilah sesebuah lagu itu sedap didengar. Disebabkan itu, kebanyakan lagu lama masih mampu bertahan sehingga hari ini," ujar penyanyi berusia 55 tahun ini.

Lancar album baharu, bulan depan

Saleem atau nama penuhnya, A M Salim Abdul Majeed ditemui pada majlis Anugerah Melodi 2016 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu. Pada acara meriah itu, Saleem menyampaikan lagu popularnya, Di Pintu Mahligai.

Mengulas kehilangannya daripada radar industri nyanyian, Saleem berkata, dalam situasi sekarang, dia lebih selesa bersikap low profile.

SALEEM (kiri) bersama Sahara Yaacob (tengah) dan Mus May (kanan) ketika membuat persembahan pada malam Anugerah Melodi 2016. - Foto Zunnur Aal Shafiq
SALEEM (kiri) bersama Sahara Yaacob (tengah) dan Mus May (kanan) ketika membuat persembahan pada malam Anugerah Melodi 2016. - Foto Zunnur Aal Shafiq

"Kalau tak ada cerita, saya lebih suka duduk di rumah sambil membantu isteri berniaga. Kebetulan isteri saya berniaga kecil-kecilan terutama pada bulan Ramadan. Jadi, saya tolonglah mana yang mampu.

"Sekarang ini bukan lagi zaman untuk saya mengharapkan publisiti murahan. Kalau tak ada cerita menarik, biarlah saya berdiam diri. Tak mahulah jaja cerita yang bukan-bukan, kalau tak ada keperluan," jelasnya.

Beralih kepada perkembangan kerjaya nyanyian, dalam nada teruja Saleem memberitahu, dia sedang sibuk dengan proses rakaman album terbaharunya.

"Album ini mengandungi 1o lagu. Lima lagu baharu dan lima dendangan lama. Saya sudah merakamkan tiga lagu. Ada tujuh lagu yang menanti.

"Lagu lama yang saya pilih adalah Trilogi Cinta, Bunga Emas dan beberapa lagu popular lain. Untuk lagu lama, ia akan digubah semula dengan susunan muzik yang lebih segar dan cara nyanyian berbeza," katanya.

Saleem berkata, sesekali menerbitkan album, dia mahu menawarkan produk penuh kepada peminat.

"Saya mahu album ini dimuatkan dengan 10 lagu. Biarlah berbaloi kerana bukan senang nak buat album. Itupun selepas saya berbincang dengan pihak pengurusan dan peminat.

"Insya-Allah, album ini sudah 80 peratus siap dan akan dipasarkan bulan depan," katanya.

INFO:

  • Nama penuh : A M Salim Abdul Majeed
  • Nama komersial: Saleem
  • Tarikh lahir : 31 Ogos 1961
  • Asal: Setiu, Terengganu
  • Lagu popular: Suci Dalam Debu, Satu Kesan Abadi, Hakikat Sebuah Cinta, Sandiwara Cinta Semusim, Tinggal Kenangan, Trilogi Cinta dan Bukan Niatku

Berita Harian X