Rabu, 14 Disember 2016 | 12:04am
PENGARAH PULARA, Mohd Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenal sebagai Malim Ghozali Pk. - Foto Adi Safri
PENGARAH PULARA, Mohd Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenal sebagai Malim Ghozali Pk. - Foto Adi Safri

PULARA Pangkor tarik perhatian antarabangsa

KUALA LUMPUR: Sejak dimulakan pada 2010, Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) di Pulau Pangkor, bukan hanya mendapat sambutan daripada khalayak tempatan, bahkan semakin menarik perhatian penonton antarabangsa.

Penganjuran kali ketujuh yang bermula hari ini hingga Ahad, menyaksikan penyertaan 120 penggiat sastera dan seni dari 20 negara luar membabitkan keseluruhan 350 peserta.

Pengarah PULARA, Mohd Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenal sebagai Malim Ghozali Pk, berkata penyertaan peserta antarabangsa menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding kali pertama ia diadakan.

Penyair dari 13 negara

"Pada PULARA sebelum ini, hanya sekitar 70 penyair dari lima negara sahaja yang menyertainya berbanding kali ini membabitkan penyertaan daripada negara seperti Mongolia, Turki, China, India, Indonesia, Singapura, Thailand, Jepun, Argentina, Perancis, Republik Kosovo dan Maghribi.

"PULARA ini membawakan antara lainnya Blanco Salcedo dari Argentina; Bei Ta (China); Toshie Tai (Jepun) dan Mesut Senol (Turki) yang akan mendeklamasikan sajak, selain penyair dari negara jiran, Indonesia seperti Abdul Hadi WM, Free Hearty dan Maman S Mahayana," katanya kepada Sastera&Budaya di sini, semalam.

PULARA yang mengangkat tema Puisi Mengharmoni itu, dianjurkan bersama oleh Yayasan Kampung Karyawan Malim (YKKM) dan Tourism Perak serta ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Perak.

Peranan seni kepada masyarakat

Tegas Mohd Ghazali, PULARA antara lain bertujuan untuk menyedarkan masyarakat akan peranan seni dalam memantapkan jati diri bangsa serta sumbangannya terhadap perpaduan kaum, sekali gus diharap menjadi medan terbaik dalam meningkatkan kesedaran dan apresiasi seni dalam masyarakat terutama remaja.

Selain deklamasi puisi, PULARA juga dimantapkan lagi dengan wacana intelektual seperti seminar, bicara karya dan persembahan lagu rakyat.

PULARA turut menghargai penulis kelahiran Perak menerusi Hadiah Karya Darul Ridzuan (HKDR) kali kelima yang dibahagikan kepada 14 kategori antaranya novel, novel remaja, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, buku sastera selain kategori eceran selain empat anugerah khas iaitu Sasterawan Negeri Perak, Ilmuan Negeri, Pejuang Sastera dan Karyawan Sepanjang Hayat.

Berita Harian X