Selasa, 13 Disember 2016 | 12:06am
SETIAP rekaan beg kulit jenama Gwyneth mengambil masa sebulan untuk dihasilkan.. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
SETIAP rekaan beg kulit jenama Gwyneth mengambil masa sebulan untuk dihasilkan.. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Beg tangan dan wanita bagaikan sahabat.

BEG kulit Gwyneth dijual secara dalam talian dan menerusi media sosial. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
BEG kulit Gwyneth dijual secara dalam talian dan menerusi media sosial. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

KE MANA saja kaki melangkah, beg tangan akan dibawa ke hulu dan hilir.

Pelbagai saiz dan rekaan menjadi pilihan, malah beg tangan turut menjadi lambang status wanita. Beg tangan berjenama khususnya, menentukan status seseorang dan untuk berada dalam status itu, wang beribu ringgit perlu dihabiskan.

Persoalannya, berbaloikah berbelanja besar hanya untuk status? Jawapannya mungkin berbeza bagi setiap wanita, tetapi dalam pelbagai koleksi beg tangan, tidak salah kiranya anda mengangkat jenama tempatan.

Jenama tempatan seperti Gwyneth Leather Handbag cukup bergaya dan menyediakan pelbagai rekaan bagi menepati cita rasa anda.

HARGA beg Gwyneth antara RM70 hingga RM229. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
HARGA beg Gwyneth antara RM70 hingga RM229. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Rekaan tampil berbeza

Pengasasnya, Gwyneth Gui, 34, berkata pada asalnya beliau gentar untuk menghasilkan beg tangan sendiri kerana terdapat banyak jenama hebat dalam pasaran, namun rekaannya yang unik membuatkan koleksinya tampil berbeza.

Gui berkata, usaha reka bentuk dan penghasilan beg tangan mengambil masa yang panjang dan dalam tempoh sebulan, satu rekaan dihasilkan.

"Ia berbeza daripada beg tangan yang lain kerana semuanya dihasilkan sendiri. Daripada rekaan, material dan penghasilan akan diuruskan saya dan pasukan.

"Dalam menyediakan produk fesyen ini, kita perlu cepat dan menghasilkan beg tangan mengikut kehendak pengguna, khususnya mengikut aliran.

"Selain menjalankan kajian dengan melihat aliran terbaharu dalam dan luar negara, saya juga kadang kala bertanya kepada pelanggan, apa yang mereka mahukan," katanya ketika ditemui Aura, baru-baru ini.

Rekaan Gui ini direka bukan saja untuk wanita bergaya tetapi juga praktikal.

Antara jenis beg yang dihasilkan adalah beg tangan, beg silang, beg sandang dan beg genggam.

MODEL memperagakan beg kulit berjenama Gwyneth. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
MODEL memperagakan beg kulit berjenama Gwyneth. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Tembusi pasaran luar

Sesuai untuk semua peringkat umur dan warna yang ditawarkan juga pelbagai.

Jika sekali pandang, mungkin tiada siapa sangka ia buatan tempatan, tetapi yang boleh dikatakan jenama ini mempunyai masa depan yang cerah.

Beg tangan ini sudah berjaya menembusi pasaran luar iaitu di Singapura.

Gui berkata, beliau sendiri terharu dengan sambutan diterima.

"Bukan mudah untuk lihat orang tempatan menyokong barangan sendiri. Tetapi jika produk itu menepati cita rasa dan disuntik sedikit gaya eksklusif, ia pasti diminati ramai. Selain mengikut aliran, saya juga perhatikan wanita ini sukakan benda yang cantik untuk mereka bergambar. Jadi, saya hasilkan beg tangan yang bersesuaian dengan 'ootd' (outfit of the day) mereka.

"Fesyen yang mereka gayakan pasti akan dipamerkan dalam laman sosial seperti Instagram dan Facebook. Kriteria untuk dimuat naik adalah penampilan perlu sentiasa nampak menarik supaya ia mendapat pujian ramai. Justeru di situ juga saya mendapat inspirasi bagi menghasilkan beg tangan," katanya.

Gwyneth Leather Handbag cukup bergaya dengan pelbagai rekaan menepati cita rasa anda.- Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Gwyneth Leather Handbag cukup bergaya dengan pelbagai rekaan menepati cita rasa anda.- Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

INFO: Beg tangan jenama Gwyneth
- Dijual secara dalam talian dan media sosial.
- Perniagaan dimulakan pada 2013.
- Harga dari RM70 hingga RM229.

Berita Harian X