Ahad, 11 Disember 2016 | 12:18am

Peter Rajah manfaatkan skil bola keranjang kawal gawang skuad kebangsaan

PENAMPANG: Mendiang Peter Edward Rajah, bekas penjaga gol kebangsaan yang turut menjulang kemenangan untuk skuad negara ke temasya Olimpik Moscow pada tahun 1980, adalah seorang legenda bola sepak dan ahli sukan yang hebat.

Beliau bukan saja dikenali sebagai penjaga gol 'kebal' berikutan ketangkasannya mempertahankan gawang daripada dibolosi, malah namanya dijulang sebagai pemain bola keranjang, boling padang dan golf yang disegani.

Sepanjang hayatnya, Peter pernah mewakili Sabah, Selangor dan negara dalam pelbagai kejohanan bola keranjang sebelum beralih ke bola sepak pada awal 1970-an hingga bersara sebagai jurulatih penjaga gol Sabah pada 1995 dan berkecimpung dalam boling padang serta golf.

Sejak awal pembabitannya dalam bola sepak, Peter lebih mengkhususkan diri sebagai penjaga gol kerana minatnya dalam posisi pertahanan akhir itu, selain kepercayaan diberikan untuk menggalas tugas menjaga gawang pasukan diwakilinya.

TRACIE Gom. - Foto Edmund Samunting
TRACIE Gom. - Foto Edmund Samunting

Berkongsi diari hidup Peter, balunya, Tracie Gom, 61, berkata mendiang adalah seorang penjaga gol yang tangkas menyebabkan lawan sering kecewa kerana gagal membolosi gawang.

"Pernah pemain lawan yang kecewa kerana gagal membolosi gawang, menarik Peter masuk ke dalam gawang dan mereka sama-sama terjatuh ke jaring.

"Peter memang amat menyukai posisi penjaga gol. Walaupun pernah bermain dalam posisi lain, tetapi itulah kepakarannya dan sebab itulah dia dipilih menyertai skuad negara," katanya.

Tracie yang ditemui BH Sukan di kediamannya di Kampung Togop, di sini, berkata, Peter dipilih bersama rakan sepasukan, Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani selepas aksinya ketika bermain untuk skuad Sabah berjaya memikat hati jurulatih Karl Heinz Weigang.

KERATAN akhbar menunjukkan aksi Peter Rajah menangkap bola dengan sebelah tangan. - Foto Edmund Samunting
KERATAN akhbar menunjukkan aksi Peter Rajah menangkap bola dengan sebelah tangan. - Foto Edmund Samunting

Jurulatih dari Jerman itu dikatakan terpikat dengan ketangkasan Peter menyelamatkan gawang Sabah dengan menangkap bola menggunakan sebelah tangan ketika perlawanan liga menentang Negeri Sembilan di Seremban pada tahun 1979.

"Dia tangkap bola sebelah tangan macam bermain bola keranjang. Saya rasa itulah kelebihannya menyebabkan ramai yang tertarik," katanya sambil menunjukkan gambar keratan akhbar aksi Peter menangkap bola menggunakan sebelah tangan.

Walaupun tidak diturunkan ketika aksi penentuan tiket ke Olimpik Moscow menentang Korea Selatan di Stadium Merdeka pada 6 April 1980 yang menyaksikan Harimau Malaya menang 2-1, Peter tetap kecewa apabila Malaysia memboikot temasya sukan terbesar dunia itu.

"Peter luahkan kekecewaannya kepada saya... katanya impian ahli sukan ialah beraksi hingga ke Olimpik, sedangkan impian skuad negara tidak kesampaian walaupun sudah berjaya.

PETER Rajah ketika menyarung jersi skuad kebangsaan. - Foto Edmund Samunting
PETER Rajah ketika menyarung jersi skuad kebangsaan. - Foto Edmund Samunting

"Saya sendiri tumpang kecewa. Ketika perlawanan itu, saya menonton siaran langsung di rumah dan cukup gembira apabila Malaysia menang kerana saya tahu suami saya bersama pasukannya berpeluang ke Moscow untuk mencapai cita-cita ke Olimpik," katanya.

Tracie berkata, Peter beberapa kali diturunkan secara berganti dengan dua lagi penjaga gol iaitu mendiang R Arumugam dan mendiang Ong Yu Tiang sepanjang aksi kelayakan Olimpik, termasuk mengalahkan Brunei 3-1 dan mengikat Jepun 1-1 pada 27 dan 30 Mac 1980.

Sebelum aksi penentuan kelayakan ke Olimpik pada 1980, Peter berdepan cabaran getir dalam hidupnya apabila ayahnya meninggal dunia, namun ia tidak melunturkan semangat untuk memastikan kemenangan Malaysia apabila bertemu Korea Selatan pada perlawanan akhir.

"Ketika itu, Peter dan anggota pasukan negara giat berlatih di Bukit Fraser di Pahang, dia sempat pulang pada hari pengebumian mendiang ayahnya sebelum bergegas balik ke Kuala Lumpur untuk meneruskan latihan pada hari sama.

"Itulah pengorbanan terbesarnya kepada pasukan kerana sanggup meneruskan latihan walaupun bersedih," katanya yang mengakui Peter sanggup berjauhan dengan isteri serta dua anak mereka, Elaine dan Amanda yang ketika itu berumur empat dan tiga tahun.

Mendiang Peter hanya tiga tahun bersama pasukan kebangsaan selepas dibawa masuk pada 1979 ketika berusia 29 tahun dan mencurah bakti hingga tahun 1981.

Sepanjang hayatnya, Peter turut dikenali sebagai seorang yang peramah dan pemurah kerana gemar menghadiahkan jersi, kasut atau peralatan bola sepak miliknya sebagai cenderamata.

Bukan 'tamaha' gelaran

KERATAN akhbar menunjukkan aksi Peter Rajah ketika bermain dalam skuad kebangsaan. - Foto Edmund Samunting
KERATAN akhbar menunjukkan aksi Peter Rajah ketika bermain dalam skuad kebangsaan. - Foto Edmund Samunting

"Saya sedih dan terkilan kerana sumbangan serta pengorbanannya dalam bola sepak khususnya di Sabah, tidak dihargai sewajarnya," kata Tracie mengenai sumbangan suaminya dalam dunia bola sepak negara.

Bukan kerana mahu mengungkit atau meminta supaya mendiang diberikan ganjaran atau anugerah, tetapi sekurang-kurangnya Tracie mahukan tanda kenangan yang boleh diberikan atas jasa baktinya kepada skuad Sabah.

Demikian luahan hati isteri bekas penjaga gol kebangsaan itu yang pernah mengharumkan nama Sabah dan Malaysia bersama dua pemain negeri itu yang menyertai skuad negara ketika menjuarai aksi kelayakan Olimpik Moscow 1980.

Dua lagi ialah 'lipas kudung' Datuk Hassan Sani dan 'King' Datuk James Wong, kedua-duanya menerima pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Oktober lalu.

"Peter lebih lama menyumbang bakti kepada pasukan berbanding Hassan dan James kerana dia pernah menjadi jurulatih penjaga gol sebelum bersara pada usia 44 tahun dan menjadi pengurus kompleks sukan.

"Ketika mendengar Hassan dan James bakal dapat anugerah 'Datuk' saya hanya diam tetapi jauh di sudut hati, terkilan dan tertanya-tanya kenapa suami saya tidak layak seperti mereka.

"Bukan saya 'tamaha' (tamak) itu gelaran, cuma saya terkilan suami saya seolah-olah dipinggirkan sedangkan dia juga banyak menyumbang kepada pembangunan sukan di negeri ini," katanya.

Sedangkan, di peringkat kebangsaan, suaminya pernah mendapat penghargaan beberapa pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) atas sumbangannya, namun Bola Sepak Sabah (SAFA) hanya berdiam diri, seolah-olah tidak mengiktiraf sumbangan Peter.

KERATAN akhbar menunjukkan aksi Peter Rajah ketika bermain dalam skuad kebangsaan. - Foto Edmund Samunting
KERATAN akhbar menunjukkan aksi Peter Rajah ketika bermain dalam skuad kebangsaan. - Foto Edmund Samunting

INFO - Peter Edward Rajah

Dilahirkan pada 1 April 1951

Meninggal dunia pada 14 November 2014 (63 tahun)

Isteri: Tracie Gom

Anak: Elaine, Amanda dan Reuben

Karier:

1972-1996 - Mewakili Sabah (liga Piala Borneo), Piala FAM, Piala Malaysia dan Piala FA

1974 - Mewakili Selangor dalam kejohanan bola keranjang kebangsaan

1974 - Mewakili Malaysia dalam pasukan bola keranjang kebangsaan

1971-1981 - Menyertai skuad bola sepak di kejohanan Piala Ovaltine, kelayakan Olimpik, kelayakan Piala Dunia, Piala Merdeka dan Piala Presiden

1980-1995 - Mewakili Sabah dan kejohanan bola keranjang, golf dan boling padang di peringkat kebangsaan

1980 - Juara kelayakan Olimpik Moscow

Kerjaya: Pengurus kompleks sukan di Likas, Keningau, Penampang, Tawau dan Sandakan.

Jurulatih penjaga gol Sabah: 1972-1996

PETER Rajah menerima pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) daripada bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai. - Foto Edmund Samunting
PETER Rajah menerima pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) daripada bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai. - Foto Edmund Samunting
FOTO perkahwinan Peter Rajah dengan Tracie Gom pada 1975. - Foto Edmund Samunting
FOTO perkahwinan Peter Rajah dengan Tracie Gom pada 1975. - Foto Edmund Samunting
LIPUTAN majalah sukan mengenai Peter Rajah ketika beraksi bersama skuad kebangsaan. - Foto Edmund Samunting
LIPUTAN majalah sukan mengenai Peter Rajah ketika beraksi bersama skuad kebangsaan. - Foto Edmund Samunting
TRACIE Gom dan Reuben melihat keratan akhbar mengenai pembabitan Peter dalam arena bola sepak negara. - Foto Edmund Samunting
TRACIE Gom dan Reuben melihat keratan akhbar mengenai pembabitan Peter dalam arena bola sepak negara. - Foto Edmund Samunting
PETER Rajah bersama rakan sepasukan, Datuk Hassan Sani (kanan), Datuk James Wong (kiri) dan bekas jurulatih Harimau Malaysia, Datuk K Rajagopal (dua kiri). - Foto Edmund Samunting
PETER Rajah bersama rakan sepasukan, Datuk Hassan Sani (kanan), Datuk James Wong (kiri) dan bekas jurulatih Harimau Malaysia, Datuk K Rajagopal (dua kiri). - Foto Edmund Samunting
MENDIANG Peter Edward Rajah. - Foto Edmund Samunting
MENDIANG Peter Edward Rajah. - Foto Edmund Samunting
HASSAN Sani (kiri) dan Peter Rajah.
HASSAN Sani (kiri) dan Peter Rajah.
Berita Harian X