Selasa, 22 November 2016 | 12:07am

Hero kacak, sado punca bakat Kodi Rasheed tersisih

KUALA LUMPUR: Dua trofi dalam bidang lakonan yang diraih jejaka ini belum cukup membawa dirinya 'terbang' jauh dalam industri seni.

Umpama terkena 'badi' anugerah, Kodi Rasheed, 26, mengaku terpaksa 'tebalkan muka' bertemu penerbit bagi mencari tawaran berlakon selepas berbulan-bulan menganggur.

"Saya fikir selepas menang trofi pertama tahun lalu, saya akan menerima tawaran berlakon yang banyak.

"Namun, hakikatnya, saya masih bergelut. Pernah beberapa bulan tidak ada satupun tawaran diterima. Pada suatu tahap, saya 'tebalkan muka' bertemu beberapa pengarah untuk mengintai peluang berlakon.

"Namun, rezeki masih belum menyebelahi saya," katanya kepada BH Plus.

Kodi memberitahu, selepas beraksi dalam filem Ophilia yang menyaksikan dirinya menggenggam trofi pertama, pengarahnya menawarkan dia membintangi telefilem, Lorong Kecil Ke Syurga.

"Tak sangka, telefilem itu membawa tuah hingga saya dapat trofi kedua. Bagaimanapun, selepas itu, saya masih berdepan situasi sama apabila tawaran berlakon kian menyepi.

"Hakikatnya, hingga saat ini, saya masih bergelut apabila tawaran berlakon bagai menjauhi... Saya tak tahu di mana silapnya," luahnya.

Tahun lalu, Kodi atau nama sebenarnya, Mohd Shazmeer Mohd Rasheed memenangi trofi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik melalui filem Ophilia pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27.

Terbaharu, Kodi diangkat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Drama Terbaik bagi telefilem, Lorong Kecil Ke Syurga pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016. Kedua-dua karya itu dihasilkan pengarah terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

Nafi letak harga tinggi

Kodi memberitahu, dia ada mendengar dakwaan kononnya mengenakan kadar bayaran tinggi selepas meraih anugerah.

"Memang saya ada dengar cerita itu. Tapi, hakikatnya, tidak ada pula syarikat produksi yang menghubungi dan menawarkan saya peluang berlakon.

"Tiba-tiba timbul cerita yang menuduh saya mula letak harga. Namun, saya anggap ia suatu dugaan dan bukan lagi rezeki saya untuk terus menyerlah," katanya.

Enggan merungut atau mengeluh dengan situasi dihadapi, Kodi bagaimanapun hairan mengapa pelakon sepertinya yang gigih berusaha membuktikan kemampuan, tidak menjadi pilihan berbanding aktor kacak dan bertubuh sado.

"Saya bukan mahu merungut, jauh sekali mengeluh dengan situasi ini. Namun, saya pelik, ada pelakon yang berusaha membuktikan bakat yang ada tidak mendapat tempat.

"Namun, sebaliknya, pelakon kacak dan bertubuh sado, senang-senang mereka diberi peranan hero," katanya.

Bagi Kodi, hero berbadan sado dan kacak bagai sudah menjadi aliran baharu dalam penerbitan drama dan telefilem tempatan.

"Tapi bagi saya, bukan tak mahu membina badan. Jika ada karakter yang memerlukan saya berbadan sasa, pasti saya pertimbangkan.

"Tapi kalau tidak, saya tak melihatnya suatu keperluan. Soal membina badan itu terpulang kepada individu. Mungkin juga kita sudah disajikan dengan situasi hero perlu berbadan sado.

"Saya lebih realistik berlakon sesuai dengan watak yang diberi. Pihak produksi perlu ambil perhatian soal ini. Jangan hanya kerana dia popular dan berbadan sado, ditawarkan watak hero mentah-mentah," katanya.

Antara 'hero baharu' yang memiliki pakej bertubuh sado dan kacak adalah Fattah Amin, Nazrief Nazri, Nadzmi Adhwa, Idris Khan, Saharul Ridzwan dan Raja Afiq.

Enggan toleh ke belakang

Kodi menjelaskan luahan rasa kecewanya itu bukanlah bererti dirinya sudah hebat selepas memenangi dua anugerah.

"Saya tak cakap diri ini bagus. Saya masih belajar. Saya cuma mohon timbang rasa untuk diberi ruang berkongsi bakat.

"Saya tak menafikan setiap rezeki pelakon lain yang diberi peranan hero. Tapi saya tak akan putus asa. Saya akan tetap berusaha hingga apa yang diingini tercapai," katanya.

Menurut Kodi lagi, jika mahu disingkap sejarah lama, sudah banyak kali dia berputus asa dengan perjuangan seninya.

"Saya mula berlakon sejak tahun 2010. Tiada jalan mudah untuk saya. Sepanjang empat tahun pertama, saya menjadi pelakon tambahan sebanyak dua kali saja.

"Pada mulanya, saya fikir, inilah permulaan untuk berlakon secara serius. Namun, usahkan tawaran watak utama dan pembantu, peranan ekstrapun susah," katanya.

Kodi berkata, pertemuannya dengan Que Haidar mengubah segala-galanya. Que yang dianggapnya sifu, banyak memberi motivasi dalam menjadi anak seni.

"Saya pernah menjadi agen insurans untuk menyara diri selama setahun. Que akhirnya menghubungi saya untuk ajak saya berlakon teater.

"Lantas saya ambil cuti tanpa gaji selama sebulan untuk projek teater itu. Saya sanggup ambil teater yang bayar beratus ringgit daripada gaji beribu-ribu demi minat," katanya yang menjadi pembantu peribadi Que selepas projek teater itu.

Akui Kodi, biarpun berdepan cabaran getir, dia enggan menoleh ke belakang dan terus berusaha mencipta kejayaan. Apatah lagi, isteri tercinta, Nor Fatihah Mahad sedang hamil selepas mengalami keguguran, Mei lalu.

Tamat...

PELAKON, Kodi Rasheed atau nama sebenarnya, Mohd Shazmeer Mohd Rasheed. - Foto Munira Abdul Ghani
PELAKON, Kodi Rasheed atau nama sebenarnya, Mohd Shazmeer Mohd Rasheed. - Foto Munira Abdul Ghani
KODI mengaku terpaksa 'tebalkan muka' bertemu penerbit bagi mencari tawaran berlakon selepas berbulan-bulan menganggur. - Foto Munira Abdul Ghani
KODI mengaku terpaksa 'tebalkan muka' bertemu penerbit bagi mencari tawaran berlakon selepas berbulan-bulan menganggur. - Foto Munira Abdul Ghani
KODI pernah menjadi ejen insurans untuk menyara kehidupan selama setahun. - Foto Munira Abdul Ghani
KODI pernah menjadi ejen insurans untuk menyara kehidupan selama setahun. - Foto Munira Abdul Ghani
BAGI Kodi, hero berbadan sado dan kacak bagai sudah menjadi aliran baharu dalam penerbitan drama dan telefilem tempatan. - Foto Munira Abdul Ghani
BAGI Kodi, hero berbadan sado dan kacak bagai sudah menjadi aliran baharu dalam penerbitan drama dan telefilem tempatan. - Foto Munira Abdul Ghani
HINGGA saat ini, Kodi masih bergelut apabila tawaran berlakon. - Foto Munira Abdul Ghani
HINGGA saat ini, Kodi masih bergelut apabila tawaran berlakon. - Foto Munira Abdul Ghani
Berita Harian X