Ahad, 20 November 2016 | 12:06am

Pizza rahsia sumber tenaga

Kuala Lumpur: Kesibukan menguruskan keluarga dan membesarkan tiga anak berusia 18 bulan hingga enam tahun pernah menghalang suri rumah Tahira Najmunissa Muhammad, 27, bergiat aktif dalam pelbagai sukan lasak termasuk Climbathon, Trailthlon, Sky Running dan Ultra Maraton.

Ibu berdarah campuran Inggeris-Melayu itu yang mempunyai tiga anak itu memang layak digelar "wanita besi" kerana menduduki ranking pertama sirkit Asia Trail Master.

Tahira mengakui meminati aktiviti sukan lasak sejak kecil namun kurang mendapat pendedahan dan hanya tahu mengenai kewujudan sukan lasak terutama maraton dan larian jarak jauh selepas menyaksikan atlit luar negara beraksi di televisyen.

TAHIRA, suami minat sukan lasak.
TAHIRA, suami minat sukan lasak.

Bermula dari situ, Tahira menyimpan impian untuk menjadi atlit sukan lasak terkemuka dunia dan selepas tamat persekolahan, dia berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki gunung, sebelum menyertai acara adventure run, climbaton, sirkit gunung, sky running dan ultra maraton.

Malah, Tahira bertemu jodoh dengan suaminya Abdul Rahman Abu Hassan, 33, selepas mereka menyertai acara maraton yang sama kira-kira tujuh tahun lalu.

Oleh itu, tidak hairanlah Tahira bukan hanya mendapat sokongan Abdul Rahman, malah mereka sering berpasangan ketika menyertai acara climbathon atau adventure run seperti Rembau Chellange, baru-baru ini.

Mereka juga pernah mengharumkan nama negara selepas menamatkan ekspedisi merentasi kawasan Greenland sejauh 550 kilometer (km) selama 35 hari bermula di Ammassalik dan berakhir di Sondre Stromfjord, pada 2014.

Bagaimanapun, Tahira menegaskan, dia perlu cekap menguruskan masa dan mendisiplinkan diri dengan bangun awal pagi sebelum subuh.

TAHIRA Najmunissa Muhammad, bergiat aktif dalam pelbagai sukan lasak termasuk Climbathon, Trailthlon, Sky Running dan Ultra Maraton.
TAHIRA Najmunissa Muhammad, bergiat aktif dalam pelbagai sukan lasak termasuk Climbathon, Trailthlon, Sky Running dan Ultra Maraton.

"Sebelum subuh, saya akan makan dan minum, dan uruskan diri sendiri terlebih dulu. Kemudian barulah saya kejutkan suami dan anak untuk bersiap.

"Sementara mereka bersiap, saya akan melakukan minimum 100 kali tekan tubi dan senaman bebas. Selepas menghantar anak ke rumah pengasuh dan anak sulung ke Tabika saya meneruskan latihan selama empat jam sebelum pulang untuk melakukan rutin harian sebagai suri rumah," katanya.

Tahira juga mengamalkan diet sihat seperti banyak makan buah-buah, sayur-sayuran, kekacang dan telur untuk memenuhi keperluan nutrisi, zat dan protein hariannya.

"Saya kurang makan nasi atau roti dan menggantikannya dengan buah-buahan seperti pisang dan mangga untuk mendapatkan karbohidrat. Saya makan kacang untuk mendapatkan protein, itu lebih cepat.

"Untuk mendapatkan sumber protein, saya makan telur antara lapan hingga 10 biji sehari yang dimasak menjadi pizza sebagai sumber protein utama setiap hari.

ANTARA sukan lasak dalam Trailthlon.
ANTARA sukan lasak dalam Trailthlon.

"Caranya memasaknya amat senang, pecahkan telur dan masukkan pelbagai bahan lain seperti bawang besar, bawang putih, cili, lada hitam Rosemarry, dan herba serta cili Benggala merah, hijau dan kuning dipotong dadu . Masukkan sekali tomato, biji zaiton serta garam dan dimasuk menjadi bentuk pizza kuali," katanya.

Tahira juga akan berpantang memakan daging merah (lembu atau kambing) dan daging putih (ayam) atau makanan terlalu kompleks kerana ia sukar dicerna usus dalam tempoh tiga hari sebelum menyertai perlumbaan.

"Saya hanya akan makan benda asas mengandungi kalori banyak nutrien tetapi cepat dicerna usus," katanya yang meletakkan sasaran mendapat tempat 10 terbaik di kejohanan Ultra-Trail du Mont-Blanc.

Beliau juga sedang membuat persiapan rapi termasuk menyertai pelbagai pertandingan maraton dan climbathon sebagai persiapan menghadapi kejohanan MSIG SkyRunning Hong Kong 2016, pada 4 Disember ini.

Antara risiko Sky Running paling ditakuti ialah penyakit akut gunung (AMS) yang berlaku apabila badan gagal menyesuaikan diri dengan kekurangan oksigen untuk dihantar ke otak. Ia biasanya berlaku apabila berada di lokasi melebihi 2,500 meter (m) dari paras laut dan boleh menyebabkan kematian serta merta.

"Setakat ini Alhamdulillah saya tidak pernah kena AMS lagi dan badan ini masih boleh sesuaikan dengan ketinggian dan suhu sejuk lagi," katanya.

Info

Tahira Najmunissa Muhammad,

Umur: 27 tahun

Asal: Lumut, Perak

Acara: Climbathon, Trailthlon, Sky Running dan Ultra Maraton.

Suami: Abdul Rahman Abu Hassan.

Anak: 3 orang

Tahira ketika menamatkan satu perlumbaan.
Tahira ketika menamatkan satu perlumbaan.
TAHIRA (kanan) antara tiga pelumba terbaik di Climbathon Gunung Kinabalu.
TAHIRA (kanan) antara tiga pelumba terbaik di Climbathon Gunung Kinabalu.
Berita Harian X