Sabtu, 29 Oktober 2016 | 12:03am

Nadia Brian pernah ditolak kerana gemuk

KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Nadia Brian mengaku pernah berkali-kali gagal dalam sesi uji bakat untuk produksi drama dan telefilem gara-gara memiliki tubuh gempal.

Nadia atau nama penuhnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 25, memberitahu, demi mengejar cita-cita menjadi pelakon, dia bertungkus lumus menguruskan badan bagi mendapatkan tubuh ideal yang dimahukan penerbit.

"Dulu, saya sentiasa gagal untuk mendapatkan watak idaman. Setiap uji bakat yang saya hadiri akan gagal.

"Kebanyakan pihak yang menganjurkan uji bakat memberitahu saya memiliki wajah cantik tetapi gemuk, jadi tak sesuai dengan watak yang mereka cari.

"Tetapi saya tak pernah rasa rendah diri atau hilang semangat untuk mengejar cita-cita. Saya jadikan ia suatu cabaran dan berusaha untuk menguruskan badan," katanya kepada BH Plus.

Tambah Nadia, dia mengambil langkah pertama dengan bersenam di gimnasium.

NADIA mahu mengasah bakat lakonan menjadi aktres terbaik.
NADIA mahu mengasah bakat lakonan menjadi aktres terbaik.

AKTRES jelita, Nadia Brian.
AKTRES jelita, Nadia Brian.

Menurut graduan ijazah sarjana muda dalam bidang penyiaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, hampir setiap hari dia bersenam untuk mendapatkan badan ramping.

Hasilnya, Nadia mula menjadi pilihan seorang demi seorang penerbit.

"Apa yang saya lalui ini diharap menjadi inspirasi kepada sesiapa saja yang ingin mengejar cita-cita baik dalam bidang apa sekalipun.

"Apabila orang tegur kita, ada sebabnya. Usah berputus asa dengan teguran itu, sebaliknya, jadikan ia cabaran untuk mengejar matlamat hidup," katanya.

Nadia bersyukur selepas setahun bergelar pelakon, rezekinya belum putus.

Namun, menurut si jelita ini, disebabkan dirinya masih 'hijau' dalam dunia seni, dia tidak mahu mengejar populariti. Sebaliknya, Nadia mahu mengasah bakat lakonan menjadi aktres terbaik.

"Pernah pelakon senior beri nasihat, biar kita belajar lakonan sehingga berjaya dan populariti akan datang sendiri. Lagipun, saya baru setahun jagung bergelar pelakon. Biarlah karier naik secara perlahan-lahan," katanya.

NADIA menjalani sesi latihan bagi pementasan teater Mak Cun D'walei . - FotoAziah Azmee
NADIA menjalani sesi latihan bagi pementasan teater Mak Cun D'walei . - FotoAziah Azmee

 NADIA Brian di Istana Budaya. - Foto Aziah Azmee
NADIA Brian di Istana Budaya. - Foto Aziah Azmee

Beraksi dengan Mira Filzah

Sementara itu, Nadia sedang giat menjalani sesi latihan bagi pementasan teater Mak Cun D'walei yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 4 hingga 13 November ini.

Teater muzikal itu turut menampilkan pengarahnya, Erma Fatima, Datuk Rahim Razali, Datin Seri Umie Aida, Abam, Balkish Semundur Khan, Amy Search dan Fatiya Latiff.

"Walaupun hanya satu babak yang diberi untuk pementasan ini, semestinya saya mengambil peluang ini sebaik mungkin.

"Saya akan melakonkan watak wanita berbangsa India dan harap-harap saya mampu menjayakannya dengan baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, drama lakonan Nadia iaitu Sweet Nai sedang disiarkan di TV3. Selepas pementasan Mak Cun D'walei, Nadia akan sibuk dengan penggambaran Cik Serba Tahu bersama aktres Mira Filzah.

Sebelum ini, Nadia mula dikenali menerusi drama Akulah Balqis serta Rumi dan Jawi.

Nadia Brian di Istana Budaya. - Foto Aziah Azmee
Nadia Brian di Istana Budaya. - Foto Aziah Azmee
NADIA bertungkus lumus menguruskan badan.
NADIA bertungkus lumus menguruskan badan.
Berita Harian X