Rabu, 5 Oktober 2016 | 12:02am

"Burger" harga RM480 sebiji


KEPALA BATAS: Kebiasaannya apabila menyambut sesuatu majlis keraian sama ada hari lahir mahupun perkahwinan, sudah semestinya hidangan wajib yang perlu ada sekurang-kurangnya sebiji kek.

Namun, berbeza bagi pasangan suami isteri yang menetap di Permatang Rambai, Penaga di sini, apabila menghasilkan burger bersaiz besar berbentuk kek yang lain daripada lain.

Menjenamakan produk mereka sebagai 'MtCt' hasil gabungan nama pasangan berkenaan iaitu Muhamad Hasseni, 28, dan Siti Umairah Sabudin, 30, mula membuat kek burger terbabit sejak dua tahun lalu.

Siti Umairah berkata, minat mereka berdua terhadap perniagaan mendorong beliau mencari sesuatu kelainan pada produk yang ingin dijual memandangkan persaingan dan taraf ekonomi yang semakin mencabar.

"Apabila memikirkan perniagaan apa yang perlu dilakukan, saya melihat kepada kek dan secara tiba-tiba datang idea untuk membuat burger bersaiz besar yang berbentuk kek.

"Pada mulanya, kami berdua menghasilkannya secara suka-suka iaitu dengan menggunakan roti benggali dan hanya makan di rumah bersama keluarga," katanya kepada BH.

MUHAMAD Hasseni bersama isterinya, Siti Umairah sedang menyiapkan tempahan burger kek di kedainya di Permatang Rambai, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
MUHAMAD Hasseni bersama isterinya, Siti Umairah sedang menyiapkan tempahan burger kek di kedainya di Permatang Rambai, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

MUHAMAD Hasseni bersama isterinya, Siti Umairah mengakui perniagaan yang diceburi mereka sudah tidak menang tangan apatah lagi mendapat tempahan untuk membuat burger kek majlis perkahwinan luar dari Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
MUHAMAD Hasseni bersama isterinya, Siti Umairah mengakui perniagaan yang diceburi mereka sudah tidak menang tangan apatah lagi mendapat tempahan untuk membuat burger kek majlis perkahwinan luar dari Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

Beliau berkata selepas mengenali seorang rakan yang pakar membuat roti seperti yang dikehendakinya, dia mula menghasilkan burger bersaiz besar dan memuat naik ke dalam laman sosial Facebook miliknya dan suami.

Siti Umairah berkata, bermula detik itu, burger yang dihasilkan mereka berdua menjadi perhatian ramai dan mendapat permintaan tinggi dari penduduk sekitar kawasan utara sehingga dapat menyewa sebuah kedai tahun lalu.

"Roti dan daging yang digunakan untuk menghasilkan burger ini adalah seratus peratus menggunakan air tangan sendiri tanpa bahan pengawet, maka disebabkan itu membuatkan ia dapat menambat selera pelanggan yang mana ada individu sama yang menempah burger ini hampir setiap hari.

"Ditambah dengan dekorasi tulisan di atas burger seolah-olah seperti hiasan kek juga membuatkan sesiapa sahaja mahu bertukar selera dan hasilnya sangat mengagumkan apabila kami menerima tempahan secara tidak henti-henti dalam apa jua majlis," katanya.

Jelasnya, dia menerima tempahan mengikut pelbagai jenis bentuk dan saiz burger mengikut cita rasa pengguna yang harganya bermula dari RM15 hingga mencecah RM480.

SITI Umairah menunjukkan satu daripada pilihan burger kek yang ditempah pelanggan. - Foto Amir Irsyad Omar
SITI Umairah menunjukkan satu daripada pilihan burger kek yang ditempah pelanggan. - Foto Amir Irsyad Omar

gn4id:16574159

"Kami menghasilkan pelbagai burger berbentuk kek yang mana ia terpulang pada cita rasa pelanggan untuk membuat pilihan saiz, bentuk dan warna apa yang mereka mahu sebelum kita menentukan harga yang patut mereka bayar.

"Selalunya kita kerap menerima tempahan burger untuk satu lapis bersaiz tujuh hingga 12 inci yang harganya antara RM30 hingga RM80 mengikut cita rasa yang dikehendaki namun sekiranya mereka mahu burger yang rotinya mempunyai warna, kita akan mengambil bayaran tambahan sebanyak RM5," katanya.

Ibu kepada tiga orang anak berusia dua hingga tujuh tahun itu, berkata dia dan suami yang mendaftar sebagai ahli Gabungan Usahawan Burger Malaysia mengakui perniagaan yang diceburi mereka sudah tidak menang tangan apatah lagi mendapat tempahan untuk membuat burger kek majlis perkahwinan luar dari Pulau Pinang.

"Bayangkan, apabila sebiji kek yang disusun bertingkat-tingkat kita sudah terfikir bagaimana untuk membuatnya kini kami juga menerima cabaran seperti itu apabila perlu menghasilkan burger yang disusun bertingkat-tingkat seperti dikehendaki pelanggan.

"Namun, selepas pelbagai testimoni yang dibuat saya bersama suami akhirnya kami berjaya dan mula mendapat kepercayaan dari pelanggan," katanya yang mendapat tempahan antara lima hingga 30 biji kek burger pelbagai saiz setiap hari.   

TEMPAHAN burger kek untuk majlis pertunangan. - Foto Facebook
TEMPAHAN burger kek untuk majlis pertunangan. - Foto Facebook

Suaminya, Muhamad berkata, terdapat beberapa kenalan dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang menghantar mesej secara peribadi supaya pasangan itu dapat membuka franchais kerana keunikan burger yang dihasilkan mereka.

"Kami memang ada hasrat untuk melebarkan perniagaan ini namun buat masa ini hasrat itu ditangguhkan buat seketika memandangkan komitmen pada anak-anak yang masih lagi kecil disamping kekangan masa dan modal.

"Tambahan pula, kami tidak ada pekerja dan hanya dibantu ahli keluarga sekiranya mendapat tempahan tinggi pada sesuatu masa, maka disebabkan itu, perniagaan ini dijalankan secara kecil-kecilan dahulu," katanya.

Menurutnya, dia juga bakal mengalami kekangan untuk menghasilkan roti memandangkan rakan kenalan isterinya dan sepupu mereka tidak lagi boleh membantu disebabkan komitmen lain yang mana selepas ini mereka terpaksa membuatnya sendiri.

Berita Harian X