Isnin, 26 September 2016 | 12:01am
SEORANG wanita mencuba set VR untuk bermain permainan PlayStation pada Pertunjukan Permainan Tokyo di Jepun. - Foto Reuters
SEORANG wanita mencuba set VR untuk bermain permainan PlayStation pada Pertunjukan Permainan Tokyo di Jepun. - Foto Reuters

Penantian Berbaloi Set Kepala VR PlayStation Sony

SEORANG lelaki bermain permainan menggunakan set kepala VR PlayStation pada Pertunjukan Permainan Tokyo di Jepun. - Foto Reuters
SEORANG lelaki bermain permainan menggunakan set kepala VR PlayStation pada Pertunjukan Permainan Tokyo di Jepun. - Foto Reuters

PELUANG menguji teknologi realiti maya (VR) dibangunkan Sony Corp di Consumer Electrics Show beberapa tahun lalu memberikan sedikit sebanyak pandangan awal kekuatan dimiliki gergasi elektronik dunia itu dalam teknologi terbabit.

Seperti biasa pavilion Sony akan mendapat perhatian utama media antarabangsa, justeru penulis terpaksa beratur panjang untuk menguji cuba peranti set kepala Sony di salah satu stesen yang disediakan.

Walaupun setiap pengunjung diberikan peluang 10 minit menggunakan set VR untuk bermain permainan PlayStation yang disediakan, penulis agak teruja dengan perincian yang terpapar serta gerak balas tepat dengan setiap pergerakan penulis.

Apatah lagi permainan yang diuji memerlukan penulis untuk bertarung dengan gergasi besar dalam satu kawasan besar memang menyuntik adrenalin, terdetik di hati bilakah ia akan mula dipasarkan di Malaysia.

Persoalan yang sekian lama terbuku akhirnya dijawab Sony Corp di Chiba, Jepun, minggu lalu, yang memberi petunjuk rancangan memasarkan set VR bersama kandungan yang lebih meluas tanpa terlalu fokus kepada permainan PlayStation.

SET kepala VR PlayStation yang akan dikeluarkan bermula 13 Oktober. - Foto Reuters
SET kepala VR PlayStation yang akan dikeluarkan bermula 13 Oktober. - Foto Reuters

Berdasarkan Reuters, Sony Corp merancang memperluaskan kandungan VR ke pelbagai platform termasuk televisyen dan filem, menetapkan pendiriannya untuk tidak menyertai pasaran set kepala VR berasaskan telefon pintar.

Ketua Eksekutif Sony Interactive Entertainment Inc, Andrew House, berkata pihaknya kini berbincang dengan syarikat penerbitan media untuk meninjau potensi set kepala VR PlayStation yang akan dikeluarkan bermula 13 Oktober.

Bagi teknologi terbaharu VR Sony itu akan beroperasi bersama konsol PlayStation 4 dengan sasaran harga pasaran lebih rendah daripada VR keluaran Facebook Inc iaitu Oculus Rift; dan VR milik HTC Corp dikenali Vive yang mahal dikuasakan komputer peribadi.

Bagaimanapun, diakui lambakan set kepala VR menggunakan telefon pintar memang sudah lama meneroka pasaran dan lebih mudah alih kerana ia menggunakan skrin telefon pintar yang memiliki paparan piksel agak tinggi.

Tetapi jujur, bagi penulis yang pernah mencuba VR keluaran Sony dibandingkan dengan VR berasaskan telefon pintar keluaran syarikat elektronik terkemuka berpangkalan di Asia, kualiti paparannya memang jauh berbeza.

Tidak dinafikan cip prosesor telefon pintar popular dunia masih tidak berupaya menyaingi enjin prosesor grafik yang khusus dibangunkan bagi mencapai perincian tertinggi paparan VR secara khusus.

DARI kiri; PlayStation 4, PlayStation 4 Pro dan PlayStation VR. - Foto Reuters
DARI kiri; PlayStation 4, PlayStation 4 Pro dan PlayStation VR. - Foto Reuters

Kualiti bunyi juga berbeza walaupun terdapat pelbagai pendapat yang menyanggah perbezaan pandangan set VR itu serta menganggap VR telefon pintar memiliki kualiti yang serata dengan VR konvensional.

Mungkin bagi pengguna yang inginkan kandungan VR yang lebih pelbagai, VR jenis telefon pintar boleh menjadi pilihan kerana kini terdapat 100 telefon pintar yang mampu menyokong aksesori VR dibangunkan 65 pembangun di pasaran.

Bahkan Alphabet Inc, syarikat induk Google turut meneroka potensi pembangunan teknologi VR menerusi platform Daydream VR yang sangat sesuai dengan sistem operasi mudah alih Android.

Justeru langkah Sony bekerjasama dengan lebih 230 pembangun kandungan seluruh dunia adalah langkah bijak bagi meningkatkan kepelbagaian kandungan VR di pasaran.

Bahkan syarikat itu dilaporkan menjangkakan sebanyak 50 kandungan untuk VR miliknya akan diterbitkan menjelang akhir tahun termasuk kandungan bukan platform PlayStation seperti kartun, muzik, karaoke dan pemandangan

Info:

VR PlayStation Sony Mula Dipasarkan 13 Oktober.

Berita Harian X