Isnin, 12 September 2016 | 12:08am
Penyambung Lightning pada Apple iPhone 7 ditunjukkan pada paparan semasa acara media Apple di San Francisco, California, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
Penyambung Lightning pada Apple iPhone 7 ditunjukkan pada paparan semasa acara media Apple di San Francisco, California, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

Revolusi sederhana iPhone 7 dan iPhone 7 Plus

Apple iPhone 7 dan EarPods dipaparkan semasa acara media Apple di San Francisco, California, Amerika Syarikat.- Foto REUTERS
Apple iPhone 7 dan EarPods dipaparkan semasa acara media Apple di San Francisco, California, Amerika Syarikat.- Foto REUTERS

RABU lalu, Apple Inc melancarkan barisan produk pintar baharunya iaitu dua telefon pintar popular iPhone 7 dan iPhone 7 Plus, Apple Watch Series 2 dan model pertama aksesori fon telinga tanpa wayar AirPods.

Kehadirannya mendapat pelbagai maklum balas segera di seluruh dunia dan dikongsikan berjuta pengguna media sosial yang menanti peluang merebutnya bermula minggu depan di kebanyakan negara.

Bagi pengguna yang tidak berpeluang untuk menonton pelancaran dan pembentangan lebih satu jam di Auditorium Bill Graham Civic, San Francisco, maka CyberBH menyenaraikan ulasan ringkas iPhone 7 dan iPhone 7 Plus, peranti pintar terbaharu milik gergasi Amerika Syarikat itu.

Generasi baharu iPhone itu mewarisi beberapa persamaan estetika iPhone 6 dan iPhone 6 Plus khususnya dari segi panjang, lebar dan saiz skrin 4.7 inci bagi iPhone 7 manakala 5.5 inci bagi iPhone 7 Plus.

Namun, pasti ramai yang mudah mengecam beberapa perbezaan penting dalam spesifikasinya seperti butang 'home' yang sensitif tekanan, kualiti kamera lebih baik, prosesor yang dipertingkat, dan jangka hayat bateri lebih panjang.

Satu perbezaan paling ketara apabila model terkini itu tidak memiliki lubang 3.5 milimeter untuk sambungan kabel fon kepala seperti sebelum ini, dengan alasan untuk menjadikannya kalis air mengikut IPX67 pada kedalaman satu meter selama 30 minit selain kalis habuk.

Apple secara bijak menggantikannya dengan kepala kabel lightning untuk sambungan audio terus ke soket pengecas di bawah telefon, atau untuk lebih kepuasan pengguna boleh memiliki AirPods yang disambung secara tanpa wayar.

Berdasarkan laman rasmi Apple, iPhone 7 dan iPhone 7 Plus akan ditawarkan dengan tiga pilihan varian kapasiti storan iaitu 32GB, 128GB dan 256GB, dengan prosesor empat teras 64-bit A10 Fusion, dan platform iOS 10.

Bagi iPhone 7, kualiti resolusi adalah 1334 x 750, kamera depan 7MP, dan kamera belakang satu lensa 12MP di sokong format Raw, penstabil yang dipertingkat untuk bukaan lebih lama bagi menyerap lebih cahaya, pantas dan rendah penggunaan kuasa.

Manakala iPhone 7 Plus pula, memuatkan resolusi 1920 x 1080, kamera berkembar 12MP di bahagian belakang untuk lensa sudut luas dan lensa telephoto, kamera depan 7MP, f/1.8 aperture, dan empat lampu flash LED, selain turut menyediakan format Raw, dan penstabil.

Kedua-dua telefon keluaran Apple kali ini kelihatannya lebih anggun namun lensa kamera cukup ketara terkeluar daripada badan telefon agak merimaskan.

Secara keseluruhannya, penulis melihat Apple berjaya membawakan beberapa pembaharuan yang cukup mengagumkan, walaupun secara asasnya kecewa sedikit kerana terdapat beberapa teknologi yang tersedia tetapi bagaikan disimpan dahulu daripada digunakan dalam iPhone kali ini.

Info : iPhone 7 // iPhone 7 Plus
Skrin : 4.7" // 5.5"
Resolusi : 1334 x 750 // 1920 x 1080
Kamera : 12MP // 12MP (Lensa Sudut luas & Lensa telephoto)
Processor : A10 64 bit // A10 64 bit
Storan : 32GB, 128GB atau 256GB // 32GB, 128GB atau 256GB.

Berita Harian X