Ahad, 11 September 2016 | 12:04am
PERAIRAN Tanjung Kupang yang kaya dengan hidupan marin.
PERAIRAN Tanjung Kupang yang kaya dengan hidupan marin.

Rumpai, kuda laut tarikan Tanjung Kupang

TAPAK Sulaiman
TAPAK Sulaiman

Siapa sangka perairan Tanjung Kupang di Johor terdapat kuda laut sedangkan suasana di sini hanyalah pemandangan biasa saja.

Menyedari hakikat itu, Country Garden Pacificview (CGPV) dengan kerjasama Kelab Alami menganjurkan lawatan ke beting Tanjung Kupang yang menjadi habitat dan warisan alam semula jadi, antaranya ialah rumput dan kuda laut.

Program yang disertai oleh wakil media ini adalah simbolik tanda sokongan terhadap inisiatif dan usaha Kelab Alami dalam memelihara kestabilan ekologi.

Aktiviti yang dirancang ini bertujuan untuk menikmati dan menghayati keindahan alam semula jadi, menggalakkan pemuliharaan alam sekitar, membawa kesan yang minimum serta membolehkan pembabitan masyarakat tempatan di dalam aktiviti sosio-ekonomi yang positif.

KAWASAN Tanjung Kupang kaya dengan hidupan marin.
KAWASAN Tanjung Kupang kaya dengan hidupan marin.

Mengenai kewujudan rumput dan kuda laut di Tanjung Kupang, Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Md Othman Yusof, berkata tumbuhan itu ekosistem yang berharga dan mempunyai banyak nilai positif untuk persekitaran pantai.

"Ia perlu dilindungi. Rumput laut boleh menjadi sebagai habitat bernilai, penstabilan pantai dan dasar laut. Ia juga turut menyumbang kepada ekosistem pantai yang sihat dengan kepelbagaian komuniti yang tinggi.

"Adalah wajar bagi CGPV untuk menyokong dan membabitkan diri secara langsung mahupun tidak langsung dalam merealisasikan usaha murni ini," katanya.

Didik belia jadi pakar habitat

Pengerusi Kelab Alami, Dr Serina Rahman, berkata program anjuran kelab ini dapat mengajar belia bukan sahaja mengenai alam semula jadi di kawasan mereka, tetapi juga bagaimana untuk menjalankan penyiasatan, pengurusan dan pemantauan terhadap spesis flora dan fauna, seperti rumput laut dan kuda laut.

LAWATAN ke beting Tanjung Kupang di mana projek kawalan ekologi sedang dilakukan.
LAWATAN ke beting Tanjung Kupang di mana projek kawalan ekologi sedang dilakukan.

"Matlamat utama penubuhan kelab ini ialah untuk menyokong pembangunan keupayaan pekerjaan penduduk tempatan melalui latihan dan program graduan Kelab Alami.

"Kekuatan kelab ini ialah kebolehan mendidik belia tempatan menjadi pakar habitat, pemerhati habitat secara saintifik dan jurupandu eko-pelancongan. Melalui program eko-pelancongan juga, orang awam dididik akan kepentingan memelihara serta memulihara alam sekitar," katanya.

Kerjasama bersama saintis marin

Dr Serina berkata, kajian berkaitan rumput laut yang wujud di Semenanjung ini dijalankan dengan usaha sama saintis marin.

KUDA laut di Tanjung Kupang
KUDA laut di Tanjung Kupang

Katanya, ia dapat menyediakan peluang kepada pelatih menjana pendapatan menerusi pembabitan sebagai jurupandu lawatan, tekong, pembantu lapangan dan tugas lain yang berkaitan eko-pelancongan.

Selain bekerjasama dengan Kelab Alami, CGPV menjalin kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam penyelidikan rumput laut. Ini akan membantu proses pemuliharaan rumput laut di sekitar kawasan pembangunan Forest City.

Kelab Alami pula menawarkan lawatan eko-pelancongan kepada orang awam yang berminat dengan aktiviti alam sekitar.

Antara aktiviti yang ditawarkan ialah lawatan ke beting rumput laut dan paya bakau. Lawatan ini memberi peluang buat Kelab Alami mendidik orang ramai kepentingan menjaga kestabilan ekologi demi kehidupan yang lestari.

Berita Harian X