Selasa, 30 Ogos 2016 | 12:02am
ANTARA babak didalam filem Pete.
ANTARA babak didalam filem Pete.
BRYCE Dallas Howard memegang watak Grace, Wes Bentley sebagai Jack dan Oona Laurence sebagai Natalie i dalam filem Pete.
BRYCE Dallas Howard memegang watak Grace, Wes Bentley sebagai Jack dan Oona Laurence sebagai Natalie i dalam filem Pete.

Kisah si naga berhati mulia

JIKA sebelum ini khalayak dihiburkan dengan dua judul yang menceritakan bagaimana manusia dibesarkan sekumpulan haiwan di hutan, masing-masing menerusi The Jungle Book dan Tarzan, kini sebuah lagi karya dengan tema hampir sama menemui bakal penonton mulai 31 Ogos.

Menerusi naskhah yang dibikin semula daripada sebuah filem muzikal terbitan 1977 ini, kisahnya bagaimanapun diubah agar menjadi lebih kontemporari.

Ia mengisahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Pete, yang terperangkap di dalam hutan selepas kereta dinaiki bersama ibu bapanya terbabit dalam kemalangan. Lebih menyedihkan, kedua-dua orang tuanya meninggal dunia dalam kejadian itu.

Sukar mencari arah tuju, kanak-kanak itu melarikan diri semakin jauh ke dalam hutan tebal bagi menyelamatkan diri daripada dibaham serigala. Namun, nasibnya baik apabila dia diselamatkan seekor naga yang menghuni belantara berkenaan.

Seakan-akan menyedari kesedihan Pete, makhluk itu membawa budak lelaki berkenaan tinggal di hutan bersama-samanya. Enam tahun Pete dijaga oleh naga yang diberi nama Elliot itu, sehinggalah hutan yang didiami mereka diceroboh dua beradik, Gavin dan Jack. Mereka masuk ke kawasan hutan itu bagi menebang pokok yang meliar tumbuh di dalamnya.

Kelibat Pete yang cuba bersembunyi daripada orang luar, disedari anak perempuan Jack, Natalie, yang sebaya dengannya. Natalie mengejar Pete sehingga ke dalam hutan.

Cuba melarikan diri dengan memanjat pokok, akhirnya Pete terjatuh, lalu dibawa oleh Gavin, Jack dan teman wanitanya, Grace, yang juga seorang renjer hutan, ke bandar bagi mendapatkan rawatan. Menyedari kehilangan Pete, Elliot kini keresahan cuba mencarinya.

Sejak itu, konflik membabitkan watak utamanya semakin dirasa. Elliot, bagaikan manusia, sangat berasakan kehilangan kanak-kanak yang sekian lama dalam jagaannya. Kasih-sayang yang terjalin antara mereka tiba-tiba bagai direntap dengan kemunculan sekumpulan manusia.

Saat itu, perasaan penonton pastinya turut terusik melihat Elliot yang berdepan dengan kehilangan.

Risau dengan keadaan Elliot, Pete melarikan diri dari hospital untuk kembali ke hutan. Namun, dia ditahan dan ditempatkan di rumah Jack. Elliot pula cuba menjejaki Pete sehingga ke kawasan bandar sebelum menemuinya di kediaman lelaki berkenaan.

Kewujudan Elliot kemudian disedari oleh Gavin yang mengarahkan pekerja-pekerjanya memburu makhluk berkenaan. Kerana ingin menjadi popular, Gavin menangkap Elliot dan mendakwa haiwan itu miliknya.

Pete's Dragon sememangnya sebuah karya yang mengingatkan kita semua mengenai nilai kasih sayang, walaupun digambarkan menerusi dua spesies berbeza. Pertalian yang wujud antara si naga dan kanak-kanak lelaki itu cukup kuat sehingga tiada apa yang mampu memadamkan rasa yang wujud dalam diri mereka.

Lakonan Oakes Fegley sebagai budak lelaki yatim piatu pula seharusnya diberikan pujian. Pada usia masih muda, bakat ini mampu memberikan persembahan yang sangat menyentuh rasa. Dia ada kala membuatkan khalayak tertawa melihat gelagatnya bersama si naga, dan pada waktu lain dada terasa ketat menahan sebak, terutama apabila dirinya terpisah dengan makhluk yang selama ini menjaganya.

Sentuhan menarik Bojan Bazelli dari sudut sinematografi juga membuatkan Pete's Dragon sebuah filem yang mempesonakan. Babak Pete terbang bersama Elliot, umpamanya, selain hutan rimba yang digambarkan sangat menawan membuatkan penonton bagai hilang sebentar di dunia khayalan. Apatah lagi dengan bantuan teknologi imejan janaan komputer (CGI) yang baik, persembahan menjadi lebih meyakinkan.

Lebih utama, filem arahan David Lowery ini sarat dengan pesanan berguna. Di samping nilai kasih sayang, ia menyeru kita semua untuk sentiasa menjaga dan memulihara alam sekitar demi kebaikan bersama.

INFO:

  • Judul: Pete's Dragon
  • Pengarah: David Lowery
  • Pelakon: Bryce Dallas Howard, Oakes Fegley, Wes Bentley, Karl Urban, Oona Laurence, Robert Redford
  • Genre: Fantasi / Pengembaraan
  • Durasi: 1 jam 40 minit
  • Tarikh tayangan: Mulai 31 Ogos 2016

Berita Harian X