Isnin, 15 Ogos 2016 | 12:05am

Kuasa cip baharu HTC 10

SELEPAS agak lama menyepi, pengeluar elektronik Taiwan, HTC mengetengahkan model terbarunya di pasaran Malaysia, iaitu HTC 10.

Kehadirannya sedikit sebanyak mewarnai musim perayaan Aidilfitri lalu sekali gus memeriahkan pasaran model telefon pintar premium Malaysia dengan tawaran harga RM2,799.

Walaupun terlewat sedikit berbanding pesaingnya yang membuka tirai tahun ini dengan model peneraju masing-masing, HTC 10 tampil berani menggunakan kelebihannya menerusi cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 820 empat teras 64-bit 2.2Ghz.

Dalam bahasa mudah, ia adalah antara peranti berkuasa tinggi ditawarkan di pasaran ketika ini dengan keupayaan RAM 4GB manakala storan kapasiti 32GB yang boleh ditambah sehingga 2 TeraBait (TB) menggunakan kad SD Mikro.

Memanfaatkan kuasa besar cip pemprosesannya, HTC 10 menyertai pesaingnya mengetengahkan pengimbas jari sebagai pilihan sekuriti terpantas kepada pengguna untuk membuka kekunci telefon dalam selang masa masa 0.2 saat.

Kejuruteraan terbaharu HTC turut menambah baik prestasi HTC 10 dengan 4G LTE termaju, Boost+ dan sistem PowerBotics.

Elemen tepat itu membuka potensi baharu kepada aturan telefon yang lebih pantas, antara muka mesra pengguna, jimat tenaga, mengoptimum storan, capaian rangkaian dan kawalan pembebasan haba lebih baik.

Berbeza dengan prestasi kamera, bagi penulis yang memang menitik beratkan keupayaan rakaman gambar, HTC 10 memadai menyediakan imej gambar atau video yang baik namun belum menyaingi pesaingnya selain kamera belakang yang tertonjol agak merimaskan.

HTC melakukan banyak penambahbaikan ketara kepada kamera model HTC 10 menerusi bukaan lensa lebih luas f/1.8, dan teknologi penstabil optikal OIS di kedua-dua kamera depan dan belakang.
HTC melakukan banyak penambahbaikan ketara kepada kamera model HTC 10 menerusi bukaan lensa lebih luas f/1.8, dan teknologi penstabil optikal OIS di kedua-dua kamera depan dan belakang.

Jika menjejaki model HTC sebelum ini, pengeluar Taiwan itu kelihatannya sudah melakukan banyak penambahbaikan ketara kepada kamera model HTC 10 menerusi bukaan lensa lebih luas f/1.8, dan teknologi penstabil optikal OIS di kedua-dua kamera depan dan belakang.

Kamera utama menggunakan penderia 12MP HTC Ultra piksel f/1.8 dan laser dipadan dengan kamera selfie hadapan 5 MP f/1.8 sebenarnya mampu menghasilkan rakaman warna pada ketepatan dan ketajaman memuaskan sama ada malam atau siang.

Penulis bagaimanapun menggemari pratetapan set kamera dan video HTC 10 yang lebih ringkas dan kemas untuk menetapkan mod rakaman lebih pantas ketika rakaman selain kesediaan format RAW untuk rakaman seperti profesional.

Secara keseluruhannya, penulis melihat HTC 10 berupaya menjadi pilihan telefon pintar premium tepat kepada pengguna yang mahukan prestasi apatah lagi keupayaannya untuk menyokong peranti sokongan seperti lensa bluetooth sebenarnya menambah nilai kepuasan memiliki telefon itu.

INFO:

# Skrin: 5.2 inci Super LCD5 QuadHD (564 ppi), lengkung - Gorilla Glass

# Cip Pemprosesan: Qualcomm Snapdragon 820 QuadCore 64-bit 2.2Ghz

# Bateri: 3,000 mAh, pengecas pantas lebih 50% 30 minit

# Kad SIM: 1x Nano SIM

# Harga: RM 2,799

Berita Harian X