Khamis, 11 Ogos 2016 | 12:06am
SAHARA berpindah di pangsapuri Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Sungai Besi, di Kuala Lumpur.
SAHARA berpindah di pangsapuri Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Sungai Besi, di Kuala Lumpur.
SAHARA di depan pintu kediaman barunya.
SAHARA di depan pintu kediaman barunya.
SAHARA meninjau kawasan dapur kediaman baru miliknya.
SAHARA meninjau kawasan dapur kediaman baru miliknya.
SAHARA mengemas sebahagian barangan untuk dibawa ke rumah baharunya dekat PPR Seri Alam, Sungai Besi.
SAHARA mengemas sebahagian barangan untuk dibawa ke rumah baharunya dekat PPR Seri Alam, Sungai Besi.

Sahara Yaacob akhirnya pindah ke rumah baharu


Kuala Lumpur: Selepas lebih 10 tahun menghuni stor dan mengasingkan diri daripada dunia hiburan, penyanyi era 1980-an, Sahara Yaacob, akhirnya berpindah ke kediaman lebih selesa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam dekat Sungai Besi di sini, semalam.

Hasil pendedahan BH yang membongkar derita hidup penyanyi yang pernah berimej seksi itu bulan lalu, Sahara mendapat pembelaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bersetuju membantunya mendapatkan kediaman yang lebih selesa.

Kira-kira seminggu selepas kisah Sahara atau nama sebenarnya, Zaharah Mohd Yaacob didedahkan, DBKL memberi kebenaran kepada penyanyi terbabit mendiami PPR Seri Alam yang terletak di kawasan strategik iaitu kira-kira lima minit dari pusat bandaraya.

Kelulusan menyewa berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu. Namun, Sahara hanya mampu menjelaskan bayaran sewa bulan pertama, cagaran sewa dua bulan, bekalan air dan elektrik serta dokumen perjanjian sebanyak RM464.70 dua hari lalu.

SAHARA bergambar di depan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Sungai Besi, di Kuala Lumpur.
SAHARA bergambar di depan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Sungai Besi, di Kuala Lumpur.

Sahara berkata, hanya perkataan syukur mampu diluahkan sebaik menjejak kaki ke syurga baharunya itu, yang terletak di tingkat empat perumahan berkenaan.

"Inilah kali pertama saya menjejak kaki ke kediaman ini. Saya tidak pernah bermimpi dapat tinggal di kediaman yang lebih besar dan selesa. Dulu, saya fikir hidup dan mati saya dalam bilik stor itu," katanya kepada BH di sini, semalam.

Kesengsaraan penyanyi kontroversi yang pernah digelar Tina Turner Malaysia itu mendapat perhatian meluas apabila kisah hidupnya yang sebatang kara menghuni stor di rumah arwah kakaknya di Kampung Melaka, Hulu Langat, didedahkan BH pada Ramadan lalu.

Sahara berkata, untuk permulaan, beliau hanya membawa pakaian berikutan masih banyak kelengkapan seperti lampu dan kipas belum siap dipasang di rumah baharunya itu.

"Saya akan berpindah secara perlahan-lahan, lagi pun tiada apa yang nak dibawa, melainkan pakaian, perabot lama dan pinggan mangkuk. Ada perabot yang tidak boleh lagi diusung kerana sudah mahu roboh.

SAHARA bergambar di ruang tamu kediaman baru miliknya.
SAHARA bergambar di ruang tamu kediaman baru miliknya.

"Paling penting, saya dapat membina hidup baharu. Tidur di atas lantai beralaskan selimut pun saya tidak kisah kerana sudah biasa hidup susah sebelum ini," katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sahara Blues itu, berkata dia berterima kasih pada BH kerana mendedahkan kesengsaraan hidupnya sehingga mendapat perhatian meluas.

"Terima kasih kerana mendedahkan realiti hidup insan bernama Sahara Yaacob sehingga mendapat pertolongan DBKL, banyak persatuan dan masyarakat.

"Kepada sesiapa yang membantu sama ada disedari atau tidak, saya juga mahu ucapkan terima kasih atas pembelaan ini. Saya tidak bermimpi dapat semua ini dalam masa yang singkat," katanya.

SAHARA melihat pandangan di luar tingkap Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Sungai Besi, di Kuala Lumpur.
SAHARA melihat pandangan di luar tingkap Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Sungai Besi, di Kuala Lumpur.

Info:

  • Sahara dikenali dengan imej liar dan rambut bagai terkena kejutan elektrik pada zaman kegemilangannya
  • Popular dengan genre lagu blues dan rock
  • Mula menyanyi sejak era 1970-an malah pernah berkongsi pentas dengan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee
  • Menghasilkan empat album (Sahara Blues, Sahara, Jawapan dan Wings Superfriends) sebelum 'lenyap' hampir 20 tahun daripada dunia seni
  • Kes ditetak individu yang dikenalinya mendapat liputan meluas akhbar tempatan pada awal 1990-an
  • Merancang mengadakan konsert istimewa bagi membalas jasa dan sokongan peminat tahun depan

Berita Harian X