Jumaat, 29 Julai 2016 | 12:06am
LALUAN penyeludup migran Bangladesh ke Malaysia.
LALUAN penyeludup migran Bangladesh ke Malaysia.
ANTARA warga asing yang ditahan anggota penguat kuasa Imigresen dalam operasi yang dilakukan di sebuah tapak pembinaan di Mukim Ayer Panas, Bemban, Jasin, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
ANTARA warga asing yang ditahan anggota penguat kuasa Imigresen dalam operasi yang dilakukan di sebuah tapak pembinaan di Mukim Ayer Panas, Bemban, Jasin, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
SINDIKET terbabit dipercayai mengeksploitasi sistem imigresen di KLIA bagi membawa masuk warga asing yang majoritinya dari Bangladesh. - Foto Saddam Yusoff
SINDIKET terbabit dipercayai mengeksploitasi sistem imigresen di KLIA bagi membawa masuk warga asing yang majoritinya dari Bangladesh. - Foto Saddam Yusoff
ANTARA warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam operasi di kawasan tapak pembinaan sebuah kondominium, Jalan Chain Ferry, Butterworth. - Foto Zulaikha Zainuzman
ANTARA warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam operasi di kawasan tapak pembinaan sebuah kondominium, Jalan Chain Ferry, Butterworth. - Foto Zulaikha Zainuzman

Warga Bangladesh bayar sindiket RM7,000 untuk ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Warga Bangladesh yang mahu bekerja di Malaysia, dipercayai sanggup membayar sekurang-kurangnya 134,000 Taka (kira-kira RM7,000) kepada sindiket, yang menguruskan kemasukan mereka ke negara ini.

Mereka yang menggunakan khidmat sindiket itu, dibawa masuk ke Malaysia sebagai pelancong, berbekalkan dokumen diperlukan untuk melewati pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semua warga Bangladesh terbabit, terus tinggal di negara ini, meskipun selepas pas pelancong tamat tempoh, sementara sindiket yang menguruskan perjalanannya mendapatkan majikan yang mahu menggajikan mereka.

Sumber berkata, taktik itu menjadi sebahagian daripada modus operandi sindiket yang menguruskan warga asing, khususnya dari Bangladesh, untuk masuk ke negara ini sebelum bekerja dalam pelbagai sektor secara haram.

"Mereka terbang ke Malaysia dengan visa pelancong dari Dhaka ke KLIA. Semua urusan dilakukan sindiket dan warga Bangladesh yang mahu di sini hanya perlu menyediakan wang yang ditetapkan.

"Walaupun kos itu tinggi, namun desakan hidup menyebabkan warga asing terbabit sanggup mengambil risiko menjual aset di negara asal atau berhutang kepada sindiket, asalkan berpeluang masuk ke negara ini," katanya.

PENDEDAHAN BH mengenai tindakan polis menahan lebih 15 kakitangan Imigresen, semalam.
PENDEDAHAN BH mengenai tindakan polis menahan lebih 15 kakitangan Imigresen, semalam.

Selain penerbangan terus dari Dhaka ke KLIA, ada juga warga Bangladesh dibawa menerusi negara transit seperti Indonesia, Singapura dan Thailand, sebelum meneruskan perjalanan ke negara ini, sama ada sebagai pelancong atau masuk secara haram.

BH semalam mendedahkan, tindakan polis menahan lebih 15 kakitangan Imigresen, termasuk yang bertugas di KLIA, kerana disyaki bersekongkol memudahkan kemasukan warga Bangladesh yang dibawa oleh sindiket terbabit.

Mereka yang ditahan, disyaki terbabit aktiviti haram itu sejak 2014 kerana sogokan bayaran yang besar oleh sindiket bagi memastikan tiada warga asing yang dibawa masuk, ditahan dalam pemeriksaan imigresen.

Sumber berkata, kegiatan membawa masuk tenaga kerja Bangladesh secara menyamar sebagai pelancong itu, mempunyai rangkaian di sini dan Dhaka.

"Sindiket di Dhaka mengenal pasti warga Bangladesh yang mahu datang ke Malaysia dan menguruskan visa pelancongan dan penerbangan di sana, manakala rangkaian di sini, menguruskan semua 'halangan' di KLIA serta mendapat majikan yang mahukan pekerja.

"Bayaran yang dikutip digunakan untuk menyogok pihak tertentu supaya perjalanan dan memastikan kemasukan warga Bangladesh terbabit berjalan lancar hingga sampai ke premis transit di negara ini," katanya.

ANGGOTA penguatkuasa Imigresen mengejar pekerja warga asing pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Pelbagai Jabatan 2016 anjuran CIDB Terengganu di tapak pembinaan Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias

Sumber berasingan pula mendakwa, penjawat awam yang bersekongkol dengan sindiket itu di KLIA, mampu mengumpul ratusan ribu ringgit hanya dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Dua penjawat awam yang bertugas di KLIA dan ditahan baru-baru ini, dikatakan memperoleh sehingga RM80,000 dengan hanya 'memudahkan' kemasukan 20 warga Bangladesh.

Malah, seorang pegawai imigresen yang ditahan, dikesan memperoleh sehingga RM70,000 dalam tempoh satu bulan membantu kegiatan sindiket itu.

"Jumlah itu adalah cukup besar bagi seorang penjawat awam pada kedudukan gred biasa hingga menimbul tanda tanya sumber wang berkenaan kerana tidak selari pendapatan dengan hanya bertugas di kaunter KLIA," katanya.

Setakat ini, seramai 28 penjawat awam sudah ditahan polis terbabit dengan kegiatan itu termasuk dua daripadanya sudah didakwa mengikut mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, baru-baru ini.

Seramai 15 daripada mereka ditahan bulan lalu, manakala tangkapan terbaharu membabitkan 10 penjawat awam pelbagai agensi.

Berita Harian X