KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan warga asing, majoritinya rakyat Bangladesh, berikutan penahanan lebih 15 kakitangan Imigresen, dalam beberapa siri tangkapan.
Sindiket terbabit dipercayai mengeksploitasi sistem imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membawa masuk warga asing yang majoritinya dari Bangladesh, aktif antara tahun 2014 hingga 2015.
Dalam siri tangkapan terbaru sejak minggu lalu hingga kelmarin, beberapa kakitangan Imigresen ditahan bagi membantu siasatan.
Ia adalah susulan penahanan sekurang-kurangnya 15 kakitangan jabatan sama dalam serbuan berasingan pada bulan lalu.
Sumber berkata penahanan terbaru termasuk seorang kakitangan wanita berusia 30-an yang ditahan dalam operasi khas di pejabatnya di Putrajaya kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.
Katanya, kumpulan pegawai itu dipercayai menjadi 'pemudah cara' untuk menguruskan dokumen kemasukan warga asing ke Malaysia.
Mereka dikatakan berkhidmat di kaunter di KLIA dan dipercayai mengaut keuntungan besar sejak tahun 2014 hingga 2015 hasil kegiatan itu.
"Sindiket penyeludupan manusia berjaya memanipulasi sistem sedia ada dan bersekongkol dengan pegawai yang berkhidmat di KLIA untuk memudahkan membawa masuk ramai warga asing, khususnya Bangladesh ke negara ini.
"Sindiket penyeludupan warga asing ini juga mensasarkan kakitangan kerajaan yang bertugas di pintu masuk dengan menawarkan sogokan lumayan untuk bekerjasama dengan mereka ," katanya kepada BH.
Malah siasatan awal mendapati seorang suspek wanita disyaki bekerjasama dengan ejen penyeludupan manusia yang menggunakan pintu masuk utama negara dengan bantuan beberapa pegawai lain.
"Wanita itu dipercayai adalah antara pegawai yang berurusan terus dengan ejen sindiket dan menerusi aktiviti itu, dia memperoleh keuntungan yang tinggi," katanya.