Isnin, 11 Julai 2016 | 12:16am
PENGARAH APMM-DM5, Kapten Maritim Mazlan Mat Rejab. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PENGARAH APMM-DM5, Kapten Maritim Mazlan Mat Rejab. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PENYELUDUPAN rokok adalah antara kesalahan yang sering dikaitkan dengan pencerobohan rentas sempadan negara. - Foto Hazsyah Abdul Rahman
PENYELUDUPAN rokok adalah antara kesalahan yang sering dikaitkan dengan pencerobohan rentas sempadan negara. - Foto Hazsyah Abdul Rahman
PERGERAKAN pasukan APMM sentiasa diawasi tali barut sindiket penyeludupan. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PERGERAKAN pasukan APMM sentiasa diawasi tali barut sindiket penyeludupan. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PENCEROBOHAN rentas sempadan negara di Selat Melaka, menerusi perairan Negeri Sembilan dan Melaka, dikesan meningkat sejak awal tahun ini. - Foto Eizairi Shamsudin
PENCEROBOHAN rentas sempadan negara di Selat Melaka, menerusi perairan Negeri Sembilan dan Melaka, dikesan meningkat sejak awal tahun ini. - Foto Eizairi Shamsudin
BOT pancung yang dirampas oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM). - Foto Faiz Anuar
BOT pancung yang dirampas oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM). - Foto Faiz Anuar
BOT yang dinaiki lima lelaki warga Indonesia termasuk tekong dan seorang awak-awak berusia antara 20 dan 49 tahun ketika ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Linggi (DM5). - Foto Rasul Azli Samad

AGENSI Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 13 orang warga asing dalam operasi mencegah pencerobohan. - Foto Ihsan APMM
AGENSI Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 13 orang warga asing dalam operasi mencegah pencerobohan. - Foto Ihsan APMM

Pencerobohan meningkat, aset APMM perlu diperkukuhkan

PORT DICKSON: Pencerobohan rentas sempadan negara di Selat Melaka, menerusi perairan Negeri Sembilan dan Melaka, dikesan meningkat sejak awal tahun ini.

Dalam tempoh Januari hingga Mei saja, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Linggi (DM-5) sudah membuka sembilan kertas siasatan, berbanding enam kes sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Pengarah APMM-DM5, Kapten Maritim Mazlan Mat Rejab, berkata antara kesalahan itu termasuk penjenayah asing mencuri bot nelayan tempatan; pencerobohan pendatang tanpa izin, penyeludupan rokok, pencerobohan nelayan asing dan pelanggaran lesen oleh pemilik kapal di pelabuhan.

MAZLAN ketika ditemui di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Linggi (DM5). - Foto Iqmal Haqim Rosman
MAZLAN ketika ditemui di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Linggi (DM5). - Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata, APMM-DM5 mengenal pasti enam lokasi iaitu Kuala Sungai Besar, Lukut dan Tanjung Dahan di Negeri Sembilan; manakala Kuala Sungai Baru, Sungai Duyung dan Sungai Kesang di Melaka sebagai laluan sasaran pencerobohan.

"Kita memastikan rondaan di laut dibuat sepanjang masa, terutama waktu malam dan awal pagi yang dikenal pasti sering menjadi pilihan penjenayah untuk menjalankan kegiatan mereka.

"Kita juga dibantu radar Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) yang berpusat di Klang, Selangor dan Lumut, Perak, yang menyalurkan maklumat terus kepada APMM-DM5 untuk tindakan susulan," katanya kepada BH di sini.

Beliau mengulas pendedahan BH mengenai ancaman dihadapi pasukan itu dalam mengawasi perairan Selat Melaka di negeri ini dan Melaka, yang mampu direntasi penyeludup dalam tempoh 15 hingga 20 minit dari Pulau Rupat, Sumatera, Indonesia.

APMM-DM5 dilaporkan berdepan masalah kerana hanya tiga daripada enam bot dimiliki mereka mampu beroperasi ketika ini, selepas dua lagi mengalami kerosakan sejak awal tahun ini, manakala sebuah lagi terbakar baru-baru ini.

MAZLAN Mat Rejab (kiri) melihat keadaan bot yang dinaiki lima lelaki warga Indonesia termasuk tekong dan seorang awak-awak berusia antara 20 dan 49 tahun ketika ditahan pasukan APMM DM5. - Foto Rasul Azli Samad

Malah, kedudukan pangkalan APMM-DM5 di muara Sungai Linggi, juga terdedah kepada intipan tali barut sindiket penyeludupan yang mengawasi pergerakan bot pasukan itu.

Kekangan aset APMM-DM5, mendedahkan perairan Negeri Sembilan dan Melaka di Selat Melaka kepada aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk rompakan di laut dan penyeludupan migran.

Mazlan berkata, kekangan aset dan keanggotaan yang dihadapi, tidak menghalang pasukannya daripada berusaha sebaik mungkin menjaga keselamatan dan meningkatkan aspek penguatkuasaan.

"Ibu pejabat APMM sudah menyedari kekangan dihadapi pasukan ini secara keseluruhannya, termasuk APMM-DM5 dan sentiasa berusaha menambah keanggotaan dan aset dari semasa ke semasa.

Katanya, beliau difahamkan ibu pejabat pasukan itu juga dalam proses menggantikan bot dan kapal yang sudah berusia untuk jangka panjang, selain mengenal pasti tapak yang lebih sesuai untuk dijadikan pangkalan dan pejabat kekal pasukan itu.

Tinjauan BH mendapati, ketika ini pangkalan APMM-DM5 yang sebahagian besar adalah kabin zink dibina di atas tapak sewa, manakala kedudukan jetinya terdedah dan boleh dilihat dengan jelas dari jambatan Sungai Linggi.

Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata keupayaan APMM di Selat Melaka, terutama di perairan Negeri Sembilan dan Melaka, perlu dipertingkatkan segera bagi mengelak campur tangan asing.

Beliau berkata, Selat Melaka menjadi perhatian kuasa besar dunia terutama Amerika Syarikat (AS) dan China.

"Kita tidak boleh mengambil mudah sebarang kelemahan di Selat Melaka kerana AS dan China sentiasa mencari alasan untuk menguasai laluan perkapalan strategik itu kerana kepentingan perdagangan dan politik yang amat besar.

"Jika kawalan dan penguatkuasaan di Selat Melaka berada pada tahap yang tidak sepatutnya, kita bimbang keadaan itu membuka peluang kepada kegiatan jenayah yang serius hingga tidak berupaya menanganinya.

"Ketika itu, kedua-dua kuasa besar itu akan menggunakan pengaruh masing-masing untuk campur tangan. Konflik juga boleh tercetus kerana AS dan China akan merebut peluang untuk menguasai selat itu," katanya.

FAKTA: Bilangan kes disiasat APMM-DM5

# 2014 - 13

# 2015 - 15

# 2016 - 9 (setakat Mei)

# 1,306 - pemeriksaan di laut mulai Januari hingga Mei 2016

FAKTA:

# 80,959 kapal dagang guna Selat Melaka tahun lalu

# Selat Melaka laluan perkapalan ke-2 paling sibuk di dunia

FAKTA: Kes lanun dan rompakan di Selat Melaka:

# 2000 - 2005 > 186 kes

# 2006 - 2015 > 37 kes

Berita Harian X