Ahad, 3 Julai 2016 | 12:10am
 BEKAS penjaga gol skuad kebangsaan Olimpik 1972, Lim Fung Kee. - Foto Osman Adnan
BEKAS penjaga gol skuad kebangsaan Olimpik 1972, Lim Fung Kee. - Foto Osman Adnan
PASUKAN negara yang menyertai Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi
PASUKAN negara yang menyertai Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

Nasihat Ditter Cramer bunuh semangat pasukan olimpik 1972


PETALING JAYA: Bekas penjaga gol skuad kebangsaan Olimpik 1972, Lim Fung Kee, mendedahkan punca kekalahan Malaysia kepada Maghribi 6-0 dalam perlawanan ketiga kumpulan A adalah kerana perang psikologi dilancarkan oleh tuan rumah, Jerman Barat.

Fung Kee menjelaskan, secara umumnya skuad kebangsaan bermain dengan baik di Olimpik Munich, walaupun tewas 3-0 kepada Jerman Barat, tetapi kita menewaskan Amerika Syarikat 3-0, sebelum dibelasah Maghribi 6-0.

Bagaimanapun, sebelum perlawanan menentang Maghribi, kem Malaysia diberi taklimat oleh seorang penasihat teknikal skuad kebangsaan warga Jerman Barat yang digelar 'Ditter Cramer', kononnya pemain lawan akan menggunakan taktik kotor dan kasar.

Arahan Ditter Cramer supaya pemain Harimau Malaysia tidak bertindak balas jika diasak pemain Maghribi ternyata melemahkan semangat dan kesungguhan pemain negara untuk beraksi sepenuh hati kerana bimbang akan tercedera.

Keadaan itu menyebabkan pemain Malaysia takut dan bimbang untuk mendekati pemain Maghribi yang melakukan serangan bertali arus sehingga gawang skuad negara yang dikawal Wong Kam Fook dibolosi lima kali dalam tempoh 25 minit pertama perlawanan.

FUNG Kee memilih untuk merantau ke Hong Kong dan menyertai kelab bola sepak profesional Seiko Hong Kong, pada 1974. - Foto Osman Adnan
FUNG Kee memilih untuk merantau ke Hong Kong dan menyertai kelab bola sepak profesional Seiko Hong Kong, pada 1974. - Foto Osman Adnan

Fung Kee yang juga bekas penjaga gol utama Kelab Bola Sepak Seiko Hong Kong (Seiko Hong Kong) itu percaya penasihat teknikal pasukan sengaja bermain psikologi bagi menakutkan dan menjatuhkan moral pemain kebangsaan.

Ketika itu, wujud kebimbangan Malaysia akan layak ke pusingan kalah mati selepas menang 3-0 ke atas AS dalam perlawanan kedua, sedangkan Maghribi cuma seri 0-0 dengan AS dan keadaan itu mampu menggugat peluang mereka mara ke peringkat seterusnya.

"Sebab itulah dalam masa 25 minit, Malaysia sudah dibelasah 5-0 oleh Maghribi dan daripada aspek kekuatan fizikal dan taktikal, pemain skuad dari benua Afrika itu jauh lebih baik.

"Jurulatih, Jalil Che Din mengarahkan saya masuk menggantikan Wong Kam Fook dan meminta pemain bermain macam biasa, kalau kalah pun tidak mengapa. Sebab itulah saya menerima kad kuning oleh pengadil dari Brazil kerana menjatuhkan penyerang Maghribi di luar kotak penalti di depan pintu gol Malaysia selepas 10 minit dimasukkan.

"Kami berjaya menyaingi kekuatan fizikal pasukan Maghribi di babak kedua dan hanya bolos satu gol dalam tempoh 30 minit baki perlawanan," katanya yang hanya bermain satu perlawanan sepanjang kempen Malaysia di Olimpik 1972 dan kini menetap di Hong Kong.

PADA usia 20 tahun, Fung Kee adalah antara pemain paling muda dalam skuad Kebangsaan. - Foto NSTP
PADA usia 20 tahun, Fung Kee adalah antara pemain paling muda dalam skuad Kebangsaan. - Foto NSTP

Fung Kee menegaskan walaupun hanya berpeluang bermain selama 65 minit, namun perlawanan menentang Maghribi itu cukup bermakna dan memberikan banyak pengajaran kepadanya.

Beliau yang ketika itu berusia 20 tahun dan antara pemain paling muda dalam pasukan percaya pengalaman itu mengeratkan lagi hubungan antara jurulatih, pegawai dan pemain bahkan tanpa segan silu mengakui, mereka seperti satu keluarga.

Sedangkan sebelum itu (pusingan kelayakan), Fung Kee langsung tidak terbabit dalam aksi di Korea Selatan kerana mengetuai pasukan negara menyertai satu kejohanan bola sepak belia di Bangkok, Thailand.

Apabila dipanggil menyertai skuad negara, anak kelahiran Petaling Jaya ini cukup berbangga kerana mampu memberi saingan kepada pemain lain yang lebih senior dan berpengalaman.

"Dulu, ramai pemain hebat seperti (Datuk) Soh Chin Aun, (Datuk) Santokh Singh, (Datuk) M Chandran, Mohd Zulkifli Mohd Nobit, Shaharuddin Dollah, Wong Kam Fok, Hassan Sani, (Datuk) Namat Abdullah dan ramai lagi, sehinggakan jurulatih pening memilih kesebelasan utama.

"Kami semua bermain bermati-matian untuk layak ke Olimpik walaupun hanya menerima elaun latihan RM5 sehari," katanya.

AKSI penjaga gol skuad kebangsaan Olimpik 1972, Lim Fung Kee. - Foto NSTP
AKSI penjaga gol skuad kebangsaan Olimpik 1972, Lim Fung Kee. - Foto NSTP

Berkelana ke Hong Kong kerana tawaran lumayan

Selepas membantu skuad negara di temasya Olimpik 1972 di Jerman Barat, Fung Kee, memilih untuk merantau ke Hong Kong dan menyertai kelab bola sepak profesional Seiko Hong Kong, pada 1974 kerana tertarik dengan ganjarannya.

Anak kelahiran Selangor itu mengakui, Seiko membuat tawaran selepas melihat aksi ketika mengawal gawang Malaysia pada perlawanan persahabatan dengan Hong Kong di sana.

Fung Kee bersetuju menandatangani untuk beraksi di liga profesional Hong Kong selepas ditawarkan gaji lumayan dan jaminan masa depan lebih baik berbanding hanya menerima gaji kira-kira RM200 sebulan jika terus kekal bersama Selangor.

"Seiko menawarkan pelbagai faedah dan jaminan diberikan termasuk akan diberikan jawatan lain dalam syarikat itu selepas bersara," katanya yang menetap di Hong Kong sejak lebih 40 tahun lalu bersama isteri dan anak perempuan tunggalnya.

Selain, Fung Kee, pemain kebangsaan yang turut menerima tawaran itu ialah Datuk Soh Chin Aun dan Wong Choon Wah, Kam Fook, Chow Chee Keong, Yip Chee Keong dan Khoo Luan Khen.

Pada usia mencecah 64 tahun, Fung Kee turut rasa kecewa melihat prestasi skuad Harimau Malaysia sekarang yang tidak mampu bersaing dengan negara lain.

PASUKAN negara yang menyertai Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi
PASUKAN negara yang menyertai Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

"Dulu kita boleh menang dengan pasukan terkuat di Asia seperti Jepun dan Korea, tetapi sekarang standard pasukan Harimau Malaysia jauh ketinggalan.

"Malaysia perlukan 15 tahun lagi untuk bangkit dengan syarat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mempunyai perancangan rapi dan membangunkan akar umbi. Kajilah modul Jepun dan Korea Selatan.

"Setiap tahun FAM hantar ramai jurulatih ke Jerman, Brazil dan England, tetapi apa hasilnya. Mereka tidak bekerja sebagai jurulatih profesional dan lesap," katanya yang memuji Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana berani mengkritik kelemahan FAM.

"Baginda juga sanggup mengeluarkan wang saku sendiri membina stadium dan menubuhkan akademi latihan bagi melahirkan pemain muda berbakat untuk masa depan," katanya.

PROFIL

Nama: Lim Fung Kee

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Tarikh Lahir: 22 Februari 1952

Umur: 64 Tahun

Posisi: Penjaga gol

Kerjaya:

Juara Piala Burnley 1969 (Selangor); juara Piala Malaysia (Selangor) 1970 dan Piala Belia Asia di Tokyo, Jepun 1971 dan Juara Piala Malaysia (Selangor); Olimpik 1972 di Munich, Jerman Barat; Selangor dan Malaysia (1973); Kelab Bola Sepak Seiko Hong Kong (1974); juara Pesta Bola Merdeka 1974; pegawai pasukan remaja Seiko Hong Kong (1975-1981); Penolong Jurulatih kepada George Knobel (1982-1987); Pengurus bahagian promosi sukan, syarikat pengeluar pakaian jenama PUMA (1988-1997); Pengurus Pasukan Kelab Bola Sepak Happy Valley Hong Kong (2000-2005); Pengurus Pasukan Bola Sepak Hong Kong Rangers (2006-2007); Pegawai Pembangunan Teknikal Persatuan Bola Sepak Hong Kong (2008-2010) dan bersara pada 2015.

Berita Harian X