CHERAS: Bekas pemain tengah skuad kebangsaan Olimpik 1972, Che Hamzah Che Hussein, menegaskan faktor utama pasukan Malaysia boleh dibelasah 6-0 oleh Maghribi di peringkat Kumpulan A adalah kerana perbezaan fizikal dan ketangkasan pemain lawan.
Pada peringkat awal, Malaysia dijangka tidak mempunyai masalah untuk membenam skuad dari benua Afrika itu kerana mereka hanya seri 0-0 ketika menentang Amerika Syarikat (AS) sedangkan skuad negara membelasah AS, 3-0 pada perlawanan sebelum itu.
Bagaimanapun, Che Hamzah berkata, sebaik tiupan wisel perlawanan dibunyikan, skuad Maghribi menunjukkan kesungguhan luar biasa berbanding dengan ketika seri dengan AS.
"Mereka memang main bersungguh-sungguh dan sangat laju, sehinggakan belum sempat bola sampai ke kaki pemain Malaysia, mereka sudah merampasnya.
"Daripada segi fizikal, pemain Maghribi memang mempunyai kelebihan. Orang Arab-Afrika seperti mereka mempunyai kekuatan fizikal, tenaga serta stamina lebih kuat berbanding pemain Asia.
"Umpamanya, mereka adalah motosikal kelas 250, kita pula motosikal kelas 125 saja. Kita memang bukan tandingan mereka yang mempunyai kemahiran tinggi. Dalam masa beberapa saat saja mereka boleh merampas bola sepak yang berada di kaki pemain Malaysia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Cheras.
Pengalaman aksi Piala Dunia
Tambahan pula, sebahagian besar pemain Maghribi berpengalaman beraksi di Kejohanan Piala Dunia serta mempunyai kemahiran individu dan berpasukan lebih baik.
"Kita tidak sempat nak tahan bola mereka sudah sampai dan terus merampas bola. Sebab itulah kita boleh kalah sampai 6-0.
"Standard permainan mereka ketika itu memang setanding dengan kelab Eropah seperti PSV Eindhoven yang pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Malaysia sebelum Olimpik 1972. Mereka selalu menang pertarungan fizikal.
"Itulah kelebihan mereka kerana mengikut peraturan bola sepak, perlanggaran bahu ke bahu bukanlah satu kesalahan. Di situlah kelemahan kita kerana perbezaan saiz fizikal," katanya.
Pertembungan fizikal seperti itu memangnya sudah dijangkakan jurulatih Malaysia dan atas sebab itulah mereka menjalani latihan khas selama tiga bulan termasuk di Kem Terendak, Melaka sebelum berangkat ke Jerman Barat.
Namun, semua itu belum mencukupi untuk membantu pemain negara berdepan lawan yang sememangnya mempunyai kelebihan kekuatan fizikal serta skil yang baik.
Berlatih sendiri untuk sarung jersi kebangsaan.
Masa sama, mungkin ramai tidak mengetahui Che Hamzah sebenarnya tidak pernah dibimbing jurulatih profesional sehinggalah terpilih mewakili Kelantan dan skuad Kebangsaan pada 1969.
Baginya, resipi utama kejayaan adalah kesungguhan, bakat semula jadi serta kegigihan melakukan latihan keras termasuk berlari dan merentas desa minimum lima kilometer setiap hari untuk membina fizikal.
Sebelum terpilih mewakili Kelantan dan Malaysia, Che Hamzah serta rakannya menjadikan kawasan padang rumput (kini Stadium Hoki Kota Bharu), sebagai lokasi utama latihannya setiap hari.
"Dalam kamus hidup kami, hanya ada perkataan 'bola'. Saya akan berlatih setiap hari bersama rakan sekolah tanpa mengira penat lelah termasuk ketika cuti umum atau Hari Raya Aidilfitri sekali pun kerana mahu terpilih mewakili Kelantan.
"Setiap pemain mengidamkan peluang itu, apatah lagi jika dipanggil mewakili Malaysia. Itu satu penghormatan besar berbakti untuk negara," katanya yang bersara setahun selepas temasya Olimpik 1972 di Jerman Barat.
Apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan, beliau dan tiga lagi rakan lain sentiasa berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur (KL) menaiki bas ekspres yang perjalanannya memakan masa antara 10 hingga 12 jam menerusi Jalan Lama Gua Musang-Karak-KL.
Pada ketika itu, latihan skuad diadakan di Wisma FAM lama, di Jalan Birch, Kuala Lumpur (berhampiran Stadium Merdeka).
Mengimbau detik ketika itu, Che Hamzah mengakui corak latihan diterapkan jurulatih kebangsaan adalah jauh berbeza dengan kaedah kejurulatihan sekarang.
Jurulatih kebangsaan, Dave McLaren dan penolongnya, Jalil Che Din, menggunakan kaedah latihan membina ketahanan dan tenaga dengan cara mengarahkan pemain berlari sejauh mungkin sehingga penat.
"Ketika itu, belum ada gimnasium. Jadi, kami diarah mengangkat kawan secara bergilir, tekan tubi, merentas desa berpuluh kilometer, naik turun tangga di Wisma FAM. Semuanya untuk membina kekuatan fizikal.
"Usaha itu perlu kerana ketika itu, kebanyakan pemain dari Asia Tenggara termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina, Kemboja dan Vietnam tidak mampu menyaingi kekuatan fizikal pemain benua Eropah dan Afrika," katanya.
Profil: Che Hamzah Che Hussein
Tarik Lahir: 8 Ogos 1948
Posisi: Pemain Tengah
Pencapaian: Pemain
1969 - 1972 mewakili skuad Malaysia A
1971 mewakili pasukan Kelantan ke Piala FA
1972 -1974 mewakili pasukan Pahang ke Piala Malaysia
1972 mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Munich, German
Pencapaian: Jurulatih
Lesen B: Kejurulatihan dikeluarkan oleh FAM
Sijil Kejurulatihan Antarabangsa oleh FA England (1984)
1985-1987 - Jurulatih skuad Piala Presiden, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) di Piala Razak
1987, 1988, 1989 - Membantu KLFA menjuarai Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut
1994 - Penolong Jurulatih Kelantan (Piala FA)
2004 - Penolong Jurulatih KLFA (Piala Malaysia)
Info: Pemain Kelantan menyertai Skuad Olimpik 1972
Che Hamzah Che Hussein
Salleh Ibrahim
Wan Zaki @ Wan Zawawi Wan Yusoff
Fakta Nombor: Keputusan perlawanan Kumpulan A
Jerman Barat (3) - Malaysia (0)
Malaysia (3) - Amerika Syarikat (0)
Maghribi (6) - Malaysia (0)