Selasa, 31 Mei 2016 | 12:06am
TEH batang sawit.
TEH batang sawit.
Dr Ida Idayu Muhammad.
Dr Ida Idayu Muhammad.

Batang kelapa sawit kaya serat pemakanan


KUALA LUMPUR: Batang kelapa sawit yang selama ini dibuang atau dibiarkan reput begitu sahaja sebenarnya kaya serat pemakanan atau lignin yang memberikan bermanfaat untuk kesihatan.

Serat lignin di dalam batang sawit yang dikisar halus seperti serbuk teh, didakwa baik untuk mengikat kolesterol, garam hempedu, lemak, karbohidrat dan toksin.

Pengambilan serat yang kaya dengan lignin juga membantu mengurangkan risiko kepada agen jangkitan dan penyakit yang paling kerap berlaku ke atas penduduk dunia iaitu barah.

Bagaimanapun, hanya batang sawit yang mencapai usia matang mengandungi banyak lignin, iaitu serat yang sangat bernilai dan diproses untuk dijadikan teh.

Khasiat itu ditemui oleh Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioproses dan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Prof Dr Ida Idayu Muhammad.

Inovasi ini membolehkan beliau memenangi Piala Emas kategori Bioteknologi pada tahun 2007.

SERAT batang pokok sawit yang kaya serat dan membantu kesihatan.
SERAT batang pokok sawit yang kaya serat dan membantu kesihatan.

TEH batang sawit juga berfaedah untuk mengawal kolesterol dalam darah.
TEH batang sawit juga berfaedah untuk mengawal kolesterol dalam darah.

"Serat boleh larut yang terdapat di dalam batang kelapa sawit akan mengikat kolesterol dan memudahkan penyingkiran melalui proses nyahtoksid daripada tubuh dalam bentuk pembuangan air besar.

"Kesannya, paras kolesterol dan tekanan darah menurun dalam jangkamasa panjang, masalah penyakit berkaitan darah tinggi seperti serangan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang dapat dikurangkan," katanya.

Katanya, mengamalkan minum teh daripada batang kelapa sawit mengurangkan masalah kegemukan atau obesiti, kandungan serat larut yang tinggi membuatkan mereka yang meminum teh batang kelapa sawit berasa kenyang dalam tempoh lebih lama.

Pengambilan serat memperkuatkan bahagian usus secara lebih berkesan yang boleh merangsang sistem penghadaman dan mengelakkan sembelit dengan melicinkan usus serta menyingkirkan bahan buangan.

Dr Ida Idayu mencadangkan jumlah pengambilan serat ditingkatkan setiap hari bersama kuantiti air yang diminum bagi melancarkan proses penyingkiran dari dalam usus.

TEH batang sawit juga mengenyangkan peminumnya kerana kaya dengan serat.
TEH batang sawit juga mengenyangkan peminumnya kerana kaya dengan serat.

Info

  • 20 tahun usia batang sawit mengandungi banyak lignin
  • 26 peratus kandungan serat tinggi dalam batang kelapa sawit

Berita Harian X