Sabtu, 7 Mei 2016 | 12:04am

Salad sayur dan buah kawal berat badan

MENU Salad Habbatussauda di Restoran Warm-Warm Chicken Chop. - Foto Adi Safri
MENU Salad Habbatussauda di Restoran Warm-Warm Chicken Chop. - Foto Adi Safri

PENGAMBILAN salad sayur-sayuran dan buah dapat memberi banyak manfaat kepada badan seperti mengawal berat badan kerana kandungan kalori rendah serta mengenyangkan, selain sesuai untuk menggantikan manisan.

Kemewahan khasiat dan nutrisi yang terkandung dalam pelbagai jenis buah dan sayuran yang kaya dengan vitamin, mineral serta antioksidan selain air, ternyata penting untuk menjaga kesihatan badan.

Justeru, menyediakan hidangan salad yang ditambah dengan pelbagai jenis sayur dan buah yang berkhasiat antara cara mudah serta kreatif dalam mengamalkan diet seimbang.

Namun, terdapat cara betul membuat salad untuk memastikan setiap bekalan nutrien badan dapat dipenuhi. Caranya, dengan menambah pelbagai jenis buah dan sayuran berwarna mengikut sentuhan sunnah untuk membekalkan keperluan berlainan bagi kesihatan tubuh dan minda.

Gunakan kreativiti

Pengambilan sejumlah kecil buah dan sayuran tidak mendatangkan mudarat, tetapi berhati-hati jika ia diambil dalam saiz besar kerana ia boleh menjejaskan keadaan kesihatan individu tertentu.

Misalnya, pesakit diabetes sewajarnya mengelakkan pengambilan terlalu banyak tembikai kerana ini boleh melonjakkan paras gula. Bagi mereka yang tidak mengalami sebarang masalah kesihatan, gunakan kreativiti dan buat pilihan berasaskan kecenderungan.

   

Penambahan kuah atau sos ke dalam salad bukan saja membangkitkan selera, tetapi menambah tenaga. Oleh itu, untuk kuah kekal sihat, pilih minyak zaitun dan cuka kegemaran bersama tambahan buah-buahan kering serta kekacang.

Buah pilihan

Buah-buahan utama yang boleh dipilih daripada bar salad termasuk anggur, kiwi dan mangga, epal serta beri. Buah dimakan begitu saja membekalkan lebih banyak nutrien daripada jus apabila dilihat menerusi dua komponen iaitu kulit dan pulpa (isi).

Minggu ini, AURA mengetengahkan resipi salad mudah untuk disediakan dengan sentuhan bahan-bahan berteraskan sunnah yang dikongsikan oleh cef dan pemilik bersama, Warm Warm Chicken Chop, Wan Mohd Haidzar Wan Puteh.

Resipi yang disarankan bukan saja kaya dengan nutrisi tetapi menyelerakan. Anda juga harus mencubanya!

BAHAN-BAHAN untuk membuat Salad Habbatussauda di Restoran Warm-Warm Chicken Chop. - Foto Adi Safri
BAHAN-BAHAN untuk membuat Salad Habbatussauda di Restoran Warm-Warm Chicken Chop. - Foto Adi Safri

Bahan-bahan

Salad segar
* Lada benggala hijau - 1/2 biji (dihiris)
* Roman salad - 1 tangkai* Daun salad hijau - 1 tangkai
* Daun salad merah - 1 tangkai
* Tomato ceri - 4 biji (dibelah empat)
* Epal hijau - 1/2 biji (dihiris)
* Lobak merah - 1/2 batang (dihiris)
* Jeruk timun - 1/2 batang (dihiris)
* Buah zaitun - 3 biji (dibelah empat)
* Buah delima - dua sudu kecil (dikupas)
* Cuka epal - dua sudu kecil
* Habatussaudah - satu sudu kecil
* Keju chedar - dua sudu kecil
* Oregano - satu sudu kecil
* Serbuk lada hitam - satu sudu kecil
* Minyak zaitun - dua sudu kecil
* Garam secubit

Langkah demi langkah

1) Bersihkan salad dan masukkan dalam mangkuk dan letakkan daun salad roman, hijau dan merah.

2) Taburkan lobak sudah dihiris, campurkan juga tomato ceri, jeruk timun, buah zaitun dan lada benggala hijau sudah siap

dipotong.

3) Ambil mangkuk kecil dan campurkan cuka epal, minyak zaitun.dan kacau sebati.

4) Kemudian masukkan lada hitam, habatussauda, garam dan gaulkan kesemua bahan itu sebelum dituang atas salad tadi.

5) Taburkan buah delima dan keju cheddar mengikut kesesuaian kuantiti hidangan dan siap untuk dihidang.

Berita Harian X