Jumaat, 15 April 2016 | 12:02am

Pengadil juga perlu diadili secara adil

PEMAIN Terengganu (jersi putih) membantah keputusan pengadil Saiful Mohd Rodzali yang tidak memberikan tendangan penalti apabila Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain lawan ketika menentang PDRM pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat.- Foto BERNAMA
PEMAIN Terengganu (jersi putih) membantah keputusan pengadil Saiful Mohd Rodzali yang tidak memberikan tendangan penalti apabila Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain lawan ketika menentang PDRM pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat.- Foto BERNAMA

MEREKA sering dimaki, dicerca dan dikecam habis-habisan. Mereka juga sering menjadi punca penyokong merusuh dan bertindak ganas angkara keputusan yang tidak menyebelahi pasukan.

Mereka tidak sepopular dan semewah pemain bola sepak. Namun mereka tetap meneruskan tanggungjawab untuk menjadi orang terpenting di dalam dan tepi garisan padang. Mereka ialah pengadil, insan yang tidak pernah mengeluh dilayan sedemikian rupa oleh sesama manusia.

Mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) sering mendapat tindak balas negatif dan kritikan daripada penyokong. Liga M 2015 belum masuk ke separuh jalan, namun sudah timbul beberapa pertikaian keputusan perlawanan.

Untuk rekod, secara kasarnya, seramai 2,000 pengadil berlesen berdaftar dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Daripada jumlah itu, 203 pengadil layak mengadili perlawanan dalam Liga M.

FAM pada 2013 pernah menyuarakan hasrat untuk mengupah pengadil profesional dari luar negara untuk mengurangkan rungutan terhadap masalah mutu pengadilan. Walau bagaimanapun, hasrat itu dibatalkan setelah mengambil kira bahawa pembangunan pengadil bola sepak Malaysia harus dititik beratkan.

Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sebelum ini mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan sistem pengadil semi profesional bertujuan menarik lebih ramai golongan muda menjadikan bidang ini sebagai satu alternatif kerjaya dalam bola sepak jika gagal menjadi seorang pemain atau jurulatih.

Walaupun belum terlambat, pengumuman ini yang sepatutnya sudah lama dilancarkan, disifatkan oleh pengadil Piala Dunia pertama Malaysia, Subkhiddin Mohd Salleh sebagai langkah terbaik pembuka ruang kepada kerjaya profesional seperti pengadil di Eropah pada masa hadapan.

Bagaimanapun, usaha ini belum tentu dapat mengubah mutu pengadilan bola sepak negara kita.

Menurut Subkhiddin, FAM tidak pernah berdiam diri dan sering bekerjasama dengan Konfiderasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengadakan seminar dan kursus untuk memantapkan standard pengadil kita.

PEMAIN Selangor, Hafiz Kamal dilayangkan kad merah oleh pengadil MAsaaki Toma ketika menentang kelab Bangladesh Sheikh Jamal Dhanmondi pada perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC 2016 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - Foto Osman Adnan
PEMAIN Selangor, Hafiz Kamal dilayangkan kad merah oleh pengadil MAsaaki Toma ketika menentang kelab Bangladesh Sheikh Jamal Dhanmondi pada perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC 2016 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - Foto Osman Adnan

Persepsi bahawa FAM tidak pernah ambil berat mutu pengadil bola sepak Malaysia adalah tidak benar kerana pada masa kini FAM berjaya membentuk satu pasukan yang terdiri daripada Referee's Instructor dan Referee's Physical Instructor yang berperanan sebagai penyelaras kepada pengadil dalam latihan fizikal atau teknikal di setiap negeri.

Subkhiddin berkata, `understanding football' adalah sangat penting kepada seorang pengadil untuk menilai sesuatu situasi agar ia seiring dengan penilaian masyarakat untuk menikmati bola sepak dalam pemahaman yang lebih mudah.

Tapi ini tidak bermakna pengadil perlu ada alasan untuk mengabaikan undangundang hanya untuk memuaskan kehendak sesetengah pihak.

Kefahaman pada orang kebanyakan tidak seharusnya berpandukan kepada keputusan pada perlawanan yang pernah mereka lalui. Keputusan tersebut sering dijadikan panduan atau `benchmark' untuk menentukan keputusan pada masa akan datang sedangkan situasi dan senarionya berbeza.

Memang tidak dapat dinafikan sukar untuk memastikan pemain dan pegawai pasukan sentiasa mentelaah dan memahami undang-undang permainan kerana itu bukanlah elemen utama dalam bidang mereka.

Namun persepsi negatif terhadap pengadil boleh diubah andai penyokong, pemain dan pegawai pasukan memahami tentang undang-undang bola sepak secara total. Apabila pertikaian dapat dikurangkan emosi akan secara langsung mudah dikekang.

Tanggungjawab untuk menambah baik mutu pengadilan bola sepak Malaysia tidak seharusnya dilepaskan kepada FAM semata-mata. Kita sebagai salah satu entiti penting juga harus memainkan peranan. Hentikanlah tekanan terhadap mereka.

Sedar atau tidak, kita sering menjadikan pengadil sebagai mangsa buli bolasepak. Mereka bukan punching bag untuk kita melepaskan geram ekoran kekalahan pasukan kita. Adilkah mereka dimaki hamun sedangkan kita sendiri yang kurang mendalami undang-undang bola sepak berbanding dengan mereka?

Pengadil hanya insan biasa. Mereka mempunyai perasaan yang sama seperti kita. Hormatilah mereka nescaya mereka akan menjalankan tugas di padang dengan lebih efektif dan tanpa tekanan untuk sama-sama menaikkan standard bola sepak negara.

Berita Harian X