Jumaat, 8 April 2016 | 12:03am

Wasiat jamin kehidupan baik zuriat

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anaknya) katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam." (Surah al-Baqarah, ayat 132)

Nabi Ibrahim adalah pejuang akidah tauhid dan lambang penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Baginda menyeru manusia kepada-Nya dan berjuang menegakkan agama Allah SWT. Inilah agama Nabi Ibrahim dan agama sebenar yang diikuti oleh anak cucu serta keturunannya.

Nabi Ibrahim Bapa Tauhid

Allah SWT memilih Nabi Ibrahim untuk dicontohi dan dijadikan ikutan sepanjang zaman. Baginda dipilih Allah SWT untuk dijadikan ikutan umat Islam yang menyerahkan dirinya kepada Allah SWT. Oleh itu, Nabi Ibrahim dikenali sebagai Bapa Tauhid pada sepanjang zaman.

Nabi Yaakub pula ialah anak kepada Nabi Ishak dan cucu kepada Nabi Ibrahim. Al-Quran menjelaskan, Baginda adalah Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah SWT dengan membawa sejumlah syariat dan menjadikannya termasuk dalam kumpulan hamba Allah SWT yang terpilih.

Terdapat satu kesan yang amat mendalam pada ayat ini merujuk kepada anjuran berwasiat. Wasiat seperti ini penting dan semestinya setiap bapa mewasiatkan seperti mana wasiat Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub kepada anak mereka.

Hubungan yang rapat antara anak dan bapa menjadikan wasiat memberi kesan yang amat kuat dalam jiwa anaknya. Sesungguhnya, semahal-mahal pusaka yang ditinggalkan seseorang itu adalah wasiatnya yang baik sehingga dengan wasiat itu dapat memastikan anak cucu mendapat nikmat mati dalam keadaan beriman.

Wasiat Nabi Ibrahim supaya anak cucunya berpegang teguh dengan agama Islam menggambarkan Baginda sangat mengambil berat dan merasa bertanggungjawab terhadap masa hadapan anak cucunya. Nabi Yaakub seperti datuknya, Ibrahim, tidak bimbangkan soal makan minum anak cucunya, tetapi bimbangkan agama serta pegangan mereka.

Didik anak terikat dengan agama

Menurut Sheikh Abdullah Nasih Ulwan, anak sejak dari kecil perlu diberi kefahaman pendidikan mengenai iman serta ajaran Islam supaya anak terikat dengan agama dan akidah. Kefahaman mengenai iman yang bersifat syumul diilhamkan daripada pesanan Rasulullah SAW bagi mengajar anak usul keimanan, rukun Islam dan hukum-hukum syariat.

Sabda Rasulullah SAW: "Bukalah (ajarkanlah) anak kamu kalimat pertama dengan `la ilaha illa Allah` (tiada Tuhan melainkan Allah)." (Riwayat Hakim)

Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub sangat dibanggakan oleh anak cucu mereka, namun keturunan yang dihubungkan kepada Nabi tidak memberi apa-apa makna tanpa Islam. Dengan kata lain, jalan Nabi Ibrahim dan Yaakub ialah jalan Islam yang menyerah diri kepada manhaj Allah SWT.

Wasiat mereka, `janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam' memberi maksud hendaklah kamu berserah kepada Allah SWT tanpa melepaskannya walaupun sebentar. Orang pernah menyimpang daripada kebenaran tidak perlu berputus asa, sebaliknya wajib bersegera kembali kepada Allah SWT.

Islam satu-satunya cara hidup yang dipilih oleh Allah SWT untuk hamba-Nya di dunia ini. Islam maknanya menyerah diri kepada Allah SWT, benar-benar tunduk, patuh serta menerima segala syariat Allah SWT yang dibawa oleh Rasulullah SAW seperti diwasiatkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub kepada anak cucunya.

Wasiat agama untuk anak cucu

Inilah sebenarnya agama yang dibawa oleh Ibrahim, Islam yang tulen dan terang. Nabi Ibrahim tidak merasa cukup dengan dirinya sahaja, malah Baginda meninggalkan agama ini kepada zuriat keturunannya. Baginda mewasiatkan agama ini kepada anak cucunya.

Mula-mula Baginda mewasiatkan kepada anaknya sebagaimana cucunya Nabi Yaakub mewasiatkan kepada anaknya. Keturunan Bani Israel daripada keturunan Nabi Yaakub tidak menyebut pun wasiat Nabi Yaakub, Nabi Ishaq (datuknya) dan Nabi Ibrahim (moyangnya).

Nabi Ibrahim dan Yaakub masing-masing mengingatkan anaknya terhadap nikmat Allah SWT yang telah dikurniakan kepada mereka iaitu nikmat agama Allah SWT yang telah dipilih untuk mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati? Mereka menjawab: Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepada-Nya sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)." (Surah al-Baqarah, ayat 133)

* Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X