Rabu, 16 March 2016 | 12:03am
Pengarang yang turut tersenarai Rachel Elliott dengan Whispers Through a Megaphone.
Pengarang yang turut tersenarai Rachel Elliott dengan Whispers Through a Megaphone.

Belum ada pengiktirafan khusus pengarang wanita

- Foto ihsan Facebook Baileys Women's Prize for Fiction.
- Foto ihsan Facebook Baileys Women's Prize for Fiction.

KETIKA seluruh dunia meraikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2016 (HWA2016) semalam, penganjur Hadiah Wanita Bailey untuk Fiksyen 2016 mengambil kesempatan untuk mengumumkan 20 novel yang disenarai panjang.

Jumlah karya senarai panjang untuk hadiah yang sebelum ini dikenali sebagai Hadiah Orange bersempena nama penajanya itu, mempunyai signifikan kerana penganjurannya sudah masuk tahun ke-20.

Novel yang layak dalam saringan pertama itu ialah A God in Ruins karya Kate Atkinson; Rush Oh! (Shirley Barrett); Ruby (Cynthia Bond); The Secret Chord (Geraldine Brooks) dan The Long Way to a Small, Angry Planet (Becky Chambers); A Dictionary of Mutual Understanding (Jackie Copleton).

Pengarang yang turut tersenarai ialah Rachel Elliott dengan Whispers Through a Megaphone; Anne Enright (The Green Road); Petina Gappah (The Book of Memory); Vesna Goldsworthy (Gorsky); Clio Gray (The Anatomist's Dream); Melissa Harrison (At Hawthorn Time); Attica Locke (Pleasantville) dan Sara Novi (Girl at War).

Novel lain ialah The Glorious Heresies (Lisa McInerney); The Portable Veblen (Elizabeth McKenzie); The House at the Edge of the World (Julia Rochester); The Improbability of Love (Hannah Rothschild); My Name is Lucy Barton (Elizabeth Strout) dan A Little Life (Hanya Yanagihara).

Reaksi tiada karya wanita

Ada peristiwa signifikan yang mendorong penganjuran hadiah itu pada Januari 1992, iaitu senarai pendek Hadiah Booker 1991 tidak menyenaraikan satu pun karya pengarang wanita.

Justeru, sekumpulan wartawan, pengulas, ejen, penerbit, pustakawan dan penjual buku yang membuat pertemuan di sebuah pangsapuri memutuskan - selepas perdebatan yang panjang - untuk menganjurkan hadiah merayakan kreativiti wanita.

Pastinya idea feminisme kuat melatari perbincangan itu dengan mengambil kira - seperti dalam tulisan Kate Moss di blog rasmi hadiah berkenaan - kebingungan mereka apabila menyedari nisbah penerbitan buku antara wanita dengan lelaki ialah 60/40 tetapi 10 peratus saja karya novelis perempuan disenarai untuk Hadiah Booker sejak 1969 hingga 1991.

Justeru, perbincangan itu memutuskan untuk menganjurkannya kerana meyakini hadiah menjadi kaedah yang berpengaruh untuk mengemukakan pengarang yang penting kepada khalayak pembaca.

Apatah lagi sastera itu sendiri sudah lama dijadikan wahana ampuh dalam membawa pandangan alam dan pemikiran Barat seperti dalam Utopia karya Thomas Moore; Thus Spoke Zarathustra (Friedrich Nietzsche) atau yang lebih moden seperti Sophie's World (Jostein Gaarder).

Bermula daripada penajaan Orange, hadiah pertama dengan Piala The Bessie dianugerahkan kepada Helen Dunmore yang meraihnya melalui novel A Spell of Winter sehingga pada tahun 2012, ia ditaja oleh penyumbang persendirian dan diteruskan oleh Baileys Irish Cream pada 2014.

Helen Dunmore raih Piala The Bessie melalui novel A Spell of Winter.
Helen Dunmore raih Piala The Bessie melalui novel A Spell of Winter.

Latar falsafah di belakang hadiah

Sastera BH pernah melontarkan persoalan mengenai keperluan hadiah seumpama itu diperkenalkan di negara ini apatah lagi dunia sastera dan karya kreatif tanah air kononnya dikuasai oleh pengarang wanita.

Memang karya sastera sepatutnya tidak dinilai berdasarkan jantina atau senioriti penulisnya, tetapi penganjuran sesuatu hadiah dan anugerah tentu ada latar falsafah di belakangnya.

Sekiranya Hadiah Orange atau Hadiah Wanita Bailey untuk Fiksyen bertunjangkan semangat feminisme Barat dengan mengemukakan karya 'unggul' yang membawa nafas ideologi itu, mengapa tidak karya yang membawa hakikat kewanitaan yang tepat dengan roh Islam dan sesuai dengan adat ketimuran turut diangkat melalui anugerah?

Penganjuran hadiah atau anugerah itu bukan saja dapat memperkenalkan pengarang yang jelas dan karya yang tepat dalam pandangan alam Islam serta timur, bahkan menjadi mekanisme yang dapat melahirkan penulis yang berkelayakan.

Kesusasteraan sewajarnya menjadi sebahagian ketamadunan dan peradaban yang memerlukan perancangan yang teliti serta perancang yang pintar dengan memanfaatkan apa-apa saja bentuk dan kaedah yang tepat.

Berita Harian X