Ahad, 13 March 2016 | 12:10am

Cepat percaya punca mudah tertipu


PUTRAJAYA: Tahap kecurigaan yang rendah dalam kalangan pengguna negara ini, menyebabkan kes penipuan membabitkan perniagaan atas talian meningkat sehingga 46 peratus sepanjang tahun lalu.

Sebanyak 129 penipuan perniagaan atas talian diterima TTPM sepanjang tempoh itu, meliputi 15 kategori tuntutan, berbanding 83 kes pada tahun sebelumnya.

Kecuaian pengguna yang terlalu mudah percaya dengan tawaran peniaga atas talian, disifatkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sebagai bukti kesedaran dan kepekaan pengguna negara ini kepada penipuan masih rendah.

Orang ramai didapati mudah terpengaruh dengan iklan tawaran harga rendah tanpa menilai risiko pembelian atas talian, diambil kesempatan sindiket atau individu yang mendalangi penipuan terbabit.

Selama tiga tahun berturut-turut, penipuan telefon bimbit direkodkan kes tertinggi berbanding tuntutan lain iaitu 32 kes pada tahun lalu, diikuti perkakasan teknologi maklumat (12), pakaian dan aksesori (12), hotel dan pakej pelancongan (10) serta sembilan kes tiket penerbangan.

Pengerusi TTPM, Reihana Abd Razak, berkata majoriti mangsa tidak mengambil berat status perniagaan ditawarkan, sama ada berdaftar atau tidak hanya kerana terpengaruh dengan iklan murah dipamerkan menerusi sesawang dan laman sosial.

PENGERUSI Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Reihana Abd Razak, berharap pengguna lebih berwaspada. NSTP/Rosela Ismail
PENGERUSI Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Reihana Abd Razak, berharap pengguna lebih berwaspada. NSTP/Rosela Ismail

Katanya, sebagai contoh barangan seperti telefon bimbit, emas, pakaian dalam atau tiket penerbangan, adalah antara barang yang tidak masuk akal dijual secara atas talian kerana tiada jaminan ketulenan dengan harga yang ditawarkan.

"Kebanyakan mangsa tidak pertikai apabila peniaga atas talian hanya memberi pilihan, penjualan hanya menerusi penghantaran menggunakan pos.

"Malah yang lebih teruk, mangsa tidak berasa curiga apabila nama pemilik akaun yang digunakan ketika transaksi pembayaran, berbeza daripada nama yang digunakan untuk berniaga.

"Sikap tidak berhati-hati pelanggan menjadi penyumbang peningkatan kes penipuan saban tahun," katanya kepada BH.

Reihana berkata, pengguna perlu bijak memilih peniaga berdaftar atau yang menawar pilihan kepada pelanggan, sama ada penghantaran menerusi pos atau mengambil sendiri di alamat tertentu.

"Peniaga jujur, tidak akan menyiarkan iklan mengelirukan seperti dakwaan penggunaan pakaian tertentu mampu menurunkan saiz badan seseorang.

"Dalam kes penipuan telefon, barang yang ditawarkan tidak wujud sebagaimana diiklankan atau dihantar kepada pembeli selepas bayaran dibuat," katanya.

REIHANA menyifatkan kecuaian pengguna menyebabkan mereka mudah tertipu dengan perniagaan atas talian. - Foto Rosela Ismail
REIHANA menyifatkan kecuaian pengguna menyebabkan mereka mudah tertipu dengan perniagaan atas talian. - Foto Rosela Ismail

Beliau berkata, hukuman boleh disabitkan ke atas iklan mengelirukan dan juga pembuktian menerusi transaksi bank atas talian berbanding transaksi secara mesin pendeposit wang automatik.

Katanya, TTPM kini sedang meneliti mekanisme perniagaan atas talian yang diamalkan beberapa syarikat terkenal untuk dijadikan panduan yang boleh diamalkan peniaga lain.

INFO: Antara penipuan atas talian dilaporkan tahun lalu

  • Beli 'powerbank' dapat bahan berisi pasir
  • Pesan telefon bimbit, terima lesung batu
  • Beli beg tangan berjenama, dapat bahan tiruan
  • Beli jongkong emas, dapat batu bata

INFO: 9 ciri-ciri akaun Facebook peniaga atas talian disyaki cuba menipu

  • 1. Dibuka kurang tiga bulan - semak berdasarkan kandungan dan paparan terdahulu

  • 2. Kandungan akaun FB lebih banyak kongsi maklumat orang lain berbanding diri sendiri.

  • 3. Jualan barangan tiada terma atau syarat jamin hak pengguna

  • 4. Bayaran pembelian menerusi perbankan internet dengan wang diminta masukkan ke dalam akaun bukan penama yang digunakan pada FB

  • 5. Enggan temui pembeli untuk belian secara bersemuka

  • 6. Enggan dedahkan alamat lokasi perniagaan

  • 7. Ungkapan kata-kata manis untuk tarik dan yakinkan pelanggan

  • 8. Senarai rakan FB tiada kaitan dengan latar belakang kerja atau peribadi pemilik akaun.

  • 9. Tetap had tempoh tempahan sebelum ditutup

    # Ciri-ciri ini dikenal pasti CyberSecurity Malaysia (CSM) hasil analisis 345 kes sejak 2013.

    # Salurkan maklumat penipuan kepada cyber999@cybersecurity.my

Berita Harian X