Ahad, 31 Januari 2016 | 12:04am

Penyair wanita generasi muda tidak tandus

BUKU puisi, Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau, karya Muhammad Haji Salleh.
BUKU puisi, Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau, karya Muhammad Haji Salleh.

MENGUTIP kata pengantar kumpulan puisi, Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau, karya Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh atau turut dikenali sebagai Muhammad Haji Salleh, 'Jika seseorang penulis berharap untuk mencari kekayaan material menerusi penulisan puisi, penulis berkenaan akan menemui jalan yang penuh kesia-siaan.'

Menulis puisi di negara ini bukanlah lubuk kekayaan tetapi puisi tetap saja ditulis oleh penyair kita. Malah jumlah kumpulan puisi yang diterbitkan semakin bertambah dari bulan ke bulan, sekali gus sudah menjawab penulisannya bukanlah semata-mata mencari pulangan material sama ada penyair itu lelaki mahupun wanita.

Justeru melabelkan penulis wanita dari kalangan generasi muda tidak berminat untuk menulis puisi kerana tidak memberi pulangan yang lebih besar tidaklah boleh dijadikan satu-satunya alasan.

Pada suatu tahap dalam kesusasteraan Malaysia sekitar tahun 2000 sehingga 2010, jumlah penyair wanita benarlah tidak begitu menyerlah jika dibanding dengan lawan mereka. Tidak ramai yang menerbitkan karya dalam bentuk kumpulan, sebaliknya memilih untuk menghantar karya ke akhbar dan majalah sebagai eceran.

Secara tidak langsung. ia 'menghilangkan' nama mereka jika tidak benar-benar konsisten melarik pena dan mencipta karya.

Dalam tempoh ini, peluang untuk menerbitkan kumpulan puisi tidak menarik rumah penerbitan kerana kurang memberi pulangan besar daripada segi pendapatan. Tambahan pula jika membabitkan penyair wanita yang baru mencipta nama. Oleh itu, tidak banyak nama baharu dapat ditangkap pemerhati ranah kesusasteraan kita, sekali gus mampu bertahan sehingga kini.

FYNN Jamal. - Foto Nik Hariff Hassan
FYNN Jamal. - Foto Nik Hariff Hassan

Sinar baharu kelompok indie

Namun menjelang tahun 2007, kelompok indie memberi sinar baharu kepada penulis dan penyair wanita tempatan. Menerusi pelbagai aktiviti seperti baca puisi dan naskhah, nama baharu mula mendapat tempatnya tersendiri dalam kalangan golongan muda. Perkumpulan ini kemudian menerbitkan buku menerusi label perkumpulan mereka sehingga muncullah nama seperti Fynn Jamal, Wani Ardy, Fazleena Hishamddin dan Mimi Morticia.

Selain nama yang dilahirkan menerusi kelompok indie itu, penyair wanita juga dilahirkan menerusi bengkel dan perkumpulan seperti Minggu Penulis Remaja (MPR) dan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Nama penyair baharu dari kumpulan ini antaranya Nasriah Abdul Salam, Rasyidah Othman, Ainunl Muaiyanah, Nissa' Yusuf, Wardah Puteh, Adnie Bahiah, Ida Munira, Raehan Intisor, Balqis Azhar dan Nur Shazmira Amira.

Golongan penyair yang lahir ini kemudian membina nama menerusi karya eceran di media cetak dan juga peluang menerbitkan kumpulan puisi menerusi penerbitan sendiri yang didanai perkumpulan masing-masing mahupun bergabung dalam penerbitan indie.

Setelah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bertukar kepada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), peluang menerbitkan kumpulan puisi semakin baik. Di sini penyair wanita muda yang berpotensi diberi peluang untuk melihat kumpulan puisi sulung mereka lahir. Malah, tidak keterlaluan menerusinya ramai penyair baharu yang nampaknya mampu memberi saingan seperti Ainunl Muaiyanah, Wardah Puteh, Teratai Abadi dan Adnie Bahiah dikenal pasti.

BUKU puisi, Perempuan Yang Patah Hati karya Rasyidah.
BUKU puisi, Perempuan Yang Patah Hati karya Rasyidah.

Selesa terbit jenama indie

Bagaimanapun, penyair wanita muda yang menulis di penerbitan indie nampaknya lebih selesa untuk bersama rumah penerbitan indie barangkali disebabkan banyak faktor. Antaranya sifat lebih terbuka rumah penerbitan mengenai konsep, tema dan pemikiran yang hendak dibawa menerusi puisi mereka.

Boleh dikatakan begitu ramai sekali penyair muda wanita menulis puisi tetapi kerana mereka ini menulis di penerbitan yang bersifat lebih indie, mereka tidak dikenali secara lebih meluas oleh pemerhati kesusasteraan arus perdana.

Tidak boleh dinafikan penyair indie seperti Rasyidah yang menghasilkan tiga kumpulan puisi, Perempuan Yang Patah Hati pada tahun 2011; Toska (2012) dan Sajak Perempuan Yang Dilupakan (2015). Dalam Katamula Toska, penyair Rahimidin Zahari menyatakan puisi Rasyidah (selain Wardah Puteh) memberi kesan berbeza daripada pengucapan puisi liriknya.

Namun, penyair ini dalam temu bual saya dengannya, masih setia untuk menerbitkan puisi secara indie lalu sehingga karyanya tidak menemui pembaca kesusasteraan Malaysia dengan lebih meluas.

PENYAIR wanita muda indie, Wani Ardy.
PENYAIR wanita muda indie, Wani Ardy.

Promosi karya, tahap selebriti

Meskipun golongan penyair wanita muda indie ini tidaklah dikenali oleh pemerhati sastera arus perdana, tidak dapat dinafikan golongan ini mempunyai kelompok pengikut yang besar. Promosi karya menerusi laman sosial yang besar-besaran menjadikan penyair ini mencapai tahap selebriti.

Fynn Jamal sebagai contoh mula menulis dan menyampaikan puisinya menerusi acara yang dikendalikan kelompok indie. Kini, Fynn memiliki album sendiri daripada puisinya. Begitu juga dengan Fazleena Hishamudin dan Wani Ardy yang tidak hanya terkenal dengan kumpulan puisi mereka yang dicetak berulang kali tetapi turut 'memuzikalisasikan' puisi mereka bersama band sendiri.

Tidaklah saya menyatakan penyair wanita muda yang dikenali arus perdana perlu muncul dengan persembahan menyanyikan puisi. Bagaimanapun, promosi yang baik menerusi media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram mampu meningkatkan penjualan buku mereka, sekali gus wajar diikuti.

Peranan pengiktirafan adalah antara faktor yang baik untuk seseorang penyair wanita muda dikenali masyarakat. Pertandingan seperti Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 1 yang mengehadkan penyertaan penulis bawah 45 tahun memperkenalkan penyair wanita muda seperti Raihani Mohd Saaid dan Ramlah Abdul Rashid. Kemenangan itu mampu membuka mata pemerhati dan peminat kesusasteraan tempatan tentang penyair wanita tempatan.

Begitu juga dengan pengiktirafan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) mahupun majlis pengiktirafan pada peringkat negeri setidak-tidaknya membolehkan 'permata' ini dilihat, manakala karyanya dicari masyarakat.

LAPORAN BH pada 9 Januari 2015.
LAPORAN BH pada 9 Januari 2015.

Sarjana sastera tidak pandang

Penyelidikan berkaitan pembabitan penyair wanita dewasa ini tidaklah diberatkan oleh sarjana sastera tempatan. Seolah-olah keberadaan penyair wanita hanya terhenti setakat dekad 1980-an. Nama besar seperti SN, Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Dr Siti Zainon Ismail, Siti Zaleha Hashim, Zaihasra dan Noraini Mohd Yusof saja yang terus disebut-sebut sebagai penyair wanita tempatan.

Tidaklah dinafikan mereka memberi sumbangan dalam cara mereka tersendiri kepada ranah kesusasteraan tempatan tetapi seolah-olah tiada nama baharu lain nampaknya dapat meneruskan legasi mereka ini.

Justeru, di sinilah sarjana berperanan mengetengahkan, berdiskusi dan membedah malah secara tidak langsung mempromosi golongan penyair wanita tempatan. Tidak kiralah aspek penyelidikan ini dilakukan menerusi skala yang besar mahupun sekadar diskusi menerusi bengkel ataupun persidangan.

Menerusi cara ini, penyair wanita khususnya generasi muda dapat mengetahui dan memperbaiki karya mereka. Di samping itu, tidaklah tuduhan mudah mengenai karya penyair wanita muda tempatan hanya dikategorikan sebagai luahan perasaan tanpa melihat potensi mereka yang sebenarnya.

Masyarakat pula tidaklah nanti hanya mengulang nama penyair wanita yang sama saja yang dilihat trampil dalam kalangan pemerhati sastera tempatan, sebaliknya mempunyai pilihan nama yang lebih rencam.

Tenggelam, tiada bimbingan

Kita sebenarnya memiliki golongan penyair wanita muda yang ramai. Namun, nama ini sama ada tenggelam begitu saja kerana kegagalan dalam penulisan mereka ataupun tidak mendapat bimbingan sepatutnya. Sifat putus asa itu timbul kerana payah menerbitkan karya pada mulanya dan tidak diterima masyarakat pada awalnya, selain enggan 'masuk' ke medan arus perdana yang lebih besar saingannya.

Selaras dengan taraf pendidikan yang semakin baik dalam kalangan wanita masa kini, apa yang dapat dilihat adalah golongan penyair wanita muda semasa membawa kelainan dalam pengucapan puisinya. Penggunaan diksi yang pelbagai, bersifat lirikal dan rasa yang lebih menujah pembaca.

Bagaimanapun, saya tidak katakan semua karya yang dihasilkan penyair wanita yang disebutkan di atas tidak mempunyai cacat celanya. Malah ada juga yang tanpa segan silu mengangkat sesuatu yang agak taboo mahupun bernada keras penuh amarah dan bernada kesat penuh kata-kata makian atau pengisian puisi dipenuhi sekadar luahan perasaan saja.

Namun, peluang perlu diberikan secara berterusan kepada golongan itu berkarya kerana kematangan dan keelokan penulisan juga akan datang selaras dengan peningkatan umur serta pembacaan.

PROFIL

Penulis ialah penulis muda yang menghasilkan kumpulan puisi Tentang Pertanyaan dan Secangkir Seduhan Hujan. Beliau baru menyelesaikan pengajian kedoktoran (PhD) dalam bidang komunikasi dan media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berita Harian X