Isnin, 25 Januari 2016 | 12:04am
BEBERAPA kandungan menarik dalam RainChemPro.
BEBERAPA kandungan menarik dalam RainChemPro.

Aplikasi mudah belajar subjek Kimia

MUHAMAD Azrin menunjukkan prototaip pek pintar RainChemPro.
MUHAMAD Azrin menunjukkan prototaip pek pintar RainChemPro.

SHAH ALAM: Kesukaran mengingati fakta dan menguasai subjek Kimia ketika berada di sekolah menengah mendorong pelajar Sarjana Muda Sains Kimia Gunaan (Kepujian) Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Muhamad Azrin Sajahan, menghasilkan inovasi RainChemPro.

Aplikasi pembelajaran asas kimia itu direka secara kreatif dan interaktif dalam usaha menyemai minat generasi muda termasuk pelajar sekolah dan mahasiswa terhadap subjek Kimia yang sering dianggap sukar.

Muhamad Azrin menyifatkan penghasilan inovasi berkenaan sebagai program tanggungjawab sosialnya untuk membantu pelajar memahami dan mengingati konsep asas kimia dengan mudah.

"Ramai berpendapat subjek Kimia sukar difahami kerana membabitkan banyak konsep, maksud, pengiraan dan persamaan kimia yang perlu dihafal.

"Tinjauan saya pula menunjukkan subjek berkenaan lebih mudah dipelajari melalui komputer atau internet, berbanding buku. Daripada situlah timbul idea untuk hasilkan inovasi RainChemPro," katanya.

Di bawah tunjuk ajar penasihat, Prof Madya Borhanuddin Ariffin, dan sokongan warga Fakulti Sains Gunaan, proses pengumpulan data, reka bentuk dan program dimulakan pada Mac 2014 dan siap pada pertengahan tahun lalu.

APLIKASI RainChemPro menampilkan fakta kimia dalam bentuk interaktif dan berwarna-warni.
APLIKASI RainChemPro menampilkan fakta kimia dalam bentuk interaktif dan berwarna-warni.

Bagaimanapun, kata Muhamad Azrin, aplikasi itu akan sentiasa diubahsuai dan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya pengguna memperoleh hasil maksimum.

"Aplikasi ini mengandungi modul penting dalam asas pembelajaran kimia seperti asid dan bas, persamaan kimia, makmal, jadual berkala, konsep mol dan unit penukaran selain tiga modul tambahan iaitu permainan jadual berkala, kuiz kimia serta jadual berkala pantas.

"Bagi mengelakkan pengguna cepat bosan, aplikasi ini dibuat menggunakan pemprograman asas visual yang mengandungi 90 peratus kandungan berwarna termasuk gambar, jadual dan perkataan," katanya.

Walaupun masih baharu, inovasi RainChemPro telah meraih beberapa anugerah antaranya johan Pertandingan Inovasi dalam Festival Sains, Teknologi dan Inovasi peringkat Kebangsaan 2015 (FESTASI) dan pingat emas dalam Pertandingan Invention, Innovation and Design On E-Learning (NUCEL) Peringkat Kebangsaan.

Muhamad Azrin bercadang menambah kandungan modul yang diklasifikasikan mengikut tahap pengajian, mengemukakan konsep dwibahasa dan dikomersialkan dalam bentuk pek pintar yang terdiri daripada aplikasi dan tutorial video, nota poket serta buku garis panduan interaktif.

Berita Harian X