Ahad, 15 November 2015 | 12:01am
PENGGUNAAN rokok elektronik atau e-cigarette menjadi budaya baru dalam masyarakat malah ramai perokok beralih pada rokok elektronik. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
PENGGUNAAN rokok elektronik atau e-cigarette menjadi budaya baru dalam masyarakat malah ramai perokok beralih pada rokok elektronik. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Haramkan vape jika beri kesan buruk, wujud pembaziran


ISU penggunaan vape masih terus hangat diperbualkan orang ramai. Ada yang minta ia diharamkan penjualan kerana kesan terhadap kesihatan bagi jangka panjang, ada yang kata tidak perlu diharamkan kerana ia tidak mendatangkan mudarat.

Akan tetapi, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum membuat keputusan mengenainya. Wartawan BH Ahad AZRAN JAFFAR dan HASLIZA HASSAN mendapatkan penjelasan lanjut Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Abdul Shukor Husin dan Pakar Kesihatan Awam yang banyak terbabit dengan program berhenti merokok yang juga bekas Pengarah Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dr Sallehuddin Abu Bakar.

Abdul Shukor

S: Ada salah faham mengenai fatwa pengharaman vape kerana sebelum ini ada laporan mengatakan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan vape tetapi difahamkan isu vape belum dibincangkan dalam muzakarah fatwa. Boleh Tan Sri jelaskan keadaan ini?.

J: Ingin saya tegaskan bahawa isu vape dari sudut fatwa belum ada lagi sebarang muzakarah dibuat dan muzakarah terakhir baru-baru ini tidak membincangkan perkara itu kerana kajian kita mengenainya belum selesai lagi. Ada dua versi dalam laporan media ketika saya ditanya mengenai isu itu di Perak (baru-baru ini). Satu versi, saya mengatakan haram dan versi kedua, belum ada apa-apa kajian. Saya beritahu, jika boleh dikiaskan vape dengan kesan sama yang ada pada rokok dan shisha, tidak ada halangan untuk mengharamkan. Berdasarkan kajian kita, rokok dan shisha diharamkan kerana dari segi kesihatan, ia memudaratkan, memberi kesan kepada orang sekeliling serta alam sekitar selain wujud unsur pembaziran. Oleh itu, jika kajian yang kita lakukan terhadap vape nanti, wujud faktor yang sama, hukumnya juga sama. Bagaimanapun, Majlis Fatwa Kebangsaan belum membuat keputusan dan belum berbincang pun. Kajian sudah kita buat tetapi ia mengambil masa kerana seperti rokok, kita perlu dapatkan pandangan pakar serta pihak yang ada bidang kuasa. Jika berbahaya untuk kesihatan, apa bahayanya dan kita perlu menunggu laporannya. Dan kita juga nak kaji dari sudut syariah ...wujudkah unsur pembaziran atau kesan buruk jangka pendek dan panjang kerana kita bukan melihat kesan semasa sahaja. Pakar dari Kementerian Kesihatan ada memaklumkan kesan jangka pendek tidak nampak tetapi ada kesan jangka panjang pada masa depan. Jadi kita melihat kesan sekarang dan masa depan. Salah satu maqasid syariah ialah menjaga harta, nyawa termasuk kesihatan fizikal dan rohani. Wajib kita jaga salah satu daripada lima maqasid syariah. Jika berlaku perkara mendatangkan mudarat, kita perlu cegah. Tidak timbul saya menghalalkan atau mengharamkan kerana jika baca keseluruhan laporan, saya mengatakan jika kajian kita nanti ada persamaan mudarat seperti rokok dan shisha, jadilah hukumnya haram. Jelas, Majlis Fatwa Kebangsaan belum buat keputusan, belum muzakarah jadi belum ada lagi fatwa.

 

S: Apabila sesuatu fatwa dikeluarkan, kita sering mendapat maklum balas berbeza, ada yang menyokong tidak kurang yang membantah. Boleh Tan Sri jelaskan bagaimana sesuatu hukum atau fatwa ditetapkan supaya masyarakat memahami proses penetapan hukum itu?

J: Isu ini biasa berlaku. Majlis Fatwa Kebangsaan ada pandangan mengenai sesuatu hukum tetapi Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh membuat fatwa yang mengikat kerana itu hak negeri. Setiap keputusan yang disepakati, kita akan maklumkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Apabila dipersetujui, MKI akan mengangkat maklumat itu kepada Majlis Raja-Raja untuk makluman sebelum pandangan itu dihantar ke negeri. Setiap negeri ada Majlis Fatwa sendiri yang dipengerusikan oleh mufti untuk bersidang serta membuat keputusan. Tidak susah untuk menimbangkan pandangan itu kerana mufti adalah ahli Majlis Fatwa Kebangsaan bersama lapan ahli majlis yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja terdiri daripada pakar undang-undang, ahli ekonomi, kewangan Islam, saintis serta pakar farmasi. Namun, terpulang kepada negeri. Jika negeri berpandangan ia ada kaitan dengan negeri, maka keputusan itu dibawa kepada Majlis Agama Islam Negeri dan setelah mendapat perkenan Tuanku Sultan barulah boleh diwarta sebagai fatwa. Tetapi jika negeri rasa tiada kepentingan, negeri boleh ambil keputusan untuk tidak mewartakan hukum itu sebagai fatwa negeri. Berbeza pandangan ini adalah perkara biasa. Di peringkat persekutuan, fatwa sudah ditetapkan dan terpulang kepada negeri untuk menjadikan ia fatwa negeri atau tidak. Ada juga isu nasional yang diminta secara terus oleh Majlis Raja-Raja dan majlis fatwa akan bersidang. Bagi isu nasional ini, negeri hanya mengesahkan sahaja dan tidak boleh membuat perubahan. Negeri akan bersetuju dan diwartakan. Namun, jika isu itu tiada kaitan dengan negeri, maka negeri boleh untuk tidak mewartakannya.

S: Kembali kepada isu vape, banyak sudah kajian dilakukan dan Kementerian Kesihatan juga sudah mengeluarkan kenyataan, yang mahu vape diharamkan, berdasarkan kepentingan kesihatan?

J: Bagi Majlis Fatwa Kebangsaan, kita tidak memihak kepada mana-mana kerana kita menghormati pandangan yang ada. Kabinet kata boleh manakala Kementerian Kesihatan ingin mengharamkan. Kita tidak terikat dengan pandangan itu kerana majlis fatwa ada jawatankuasa penyelidikan terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang. Apabila timbul satu isu, kita akan minta pandangan adakah isu itu menyentuh masyarakat atau tidak. Jika ada isu yang boleh dijawab secara spontan, kita akan beri jawapan segera kerana kita ada Felo Fatwa di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Mereka boleh memberi jawapan untuk isu seperti puasa atau haji kerana hukum sudah ada. Tetapi untuk isu baru, jika perlu buat satu penyelidikan kita akan minta bantuan pakar luar seperti universiti atau badan penyelidikan berkaitan. Jika memerlukan kajian makmal, kita akan buat kajian di makmal. Berbalik isu vape, kita akan minta pihak yang ada autoriti. Penyelidikan makmal pun kita bukan buat di satu makmal sahaja, sekurang-kurangnya tiga makmal, kerajaan, swasta dan universiti. Contohnya, kajian dakwat untuk pilihan raya sama ada telap atau tidak dilakukan di makmal kerajaan selain dilakukan pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia. Kita temukan hasil kajian itu dan mendapati keputusannya sama, dakwat itu boleh telap. Selepas penyelidikan dibuat, kita akan nilai andai ada yang tidak mencukupi, kita minta mereka buat lagi kajian yang diperlukan. Selepas itu dibincangkan dalam jawatankuasa penyelidikan majlis fatwa. Seperti vape, jika kajian mengatakan ia merosakkan paru-paru, majlis fatwa akan panggil pihak yang buat kajian untuk beri penjelasan. Jika pakar ekonomi kata ada unsur pembaziran, kita akan minta ditunjukkan buktinya. Kita juga akan ambil pandangan syarak, jika ada dalil atau jika tidak kita akan gunakan kias. Hasil daripada itu baru kita timbang sama ada boleh, harus atau haram. Selepas itu prosesnya macam biasa dan kita akan umumkan pandangan kita. Bagaimanapun, sehingga sekarang belum ada keputusan mengenai vape.

gn4id:10544226

S: Bila agaknya Majlis Fatwa akan bersidang untuk menentukan hukum vape ini?

J: Kita tidak mahu tangani isu ketika keadaan sedang kecoh kerana tidak mahu kajian dipengaruhi oleh keadaan sekarang di mana semua pihak ingin memberi pandangan masing-masing. Kita tidak mahu keputusan kita itu nanti tidak ada keadilan. Apabila siap nanti kita akan beritahu tetapi kita tidak tunggu sudah jadi masalah baru hendak selesaikan. Seperti isu lain contohnya GST, keputusan sudah dibuat pada Oktober 2014 ketika bersidang di Terengganu walaupun pelaksanaannya pada April tahun ini. Memang ada ulama memfatwakan haram tetapi kita putuskan GST harus dengan memberi tujuh alasan. Bagi isu vape, di peringkat majlis fatwa belum ada lagi perbincangan kerana kita hendak tengok tiga aspek iaitu kesihatan, alam sekitar, wujud unsur pembaziran serta dari segi budaya, baik atau tidak kepada umat Islam. Majlis Fatwa tidak terikat dengan pandangan pihak lain dan keputusan berdasarkan syariah. Keputusan ini hanya untuk orang Islam.

 

S: Apabila isu ini hangat diperkatakan, kita melihat masyarakat khususnya mereka yang menghisap atau menjual vape seolah-olah marah dengan tindakan itu?

J: Diharap masyarakat jangan terlalu esktrem sebaliknya dengar pandangan daripada semua pihak. Majlis Fatwa Kebangsaan pun membuat keputusan kerana perkara itu ada kaitan dengan kemaslahatan umum. Saya tertarik dengan kenyataan Kementerian Kesihatan yang dilaporkan bahawa kemungkinan besar penghisap vape mendapat penyakit ada, cuma lambat atau cepat. Ada satu kaedah dalam syarak iaitu menutup perkara tidak baik, walaupun tidak ada sekarang tetapi jika dibiarkan akan menyebabkan berlaku perkara tidak baik jadi kena hentikan sekarang. Dari segi budaya pula, adakah menghisap vape ini budaya baik atau tidak. Kita tidak mahu seperti rokok, selepas semua orang merokok baru kita nak katakan haram. Apabila jadi budaya, susah hendak berhentikan. Peningkatan jumlah penghisap vape yang ketara dalam tempoh setahun sehingga di peringkat remaja adakah baik atau tidak. Jika tidak, maka kena hentikan. Ia bermula dengan tabiat sebelum menjadi budaya. Jika tabiat setiap orang baik, budaya pun baik.

 

S: Selepas ini akan ada isu lain atau masalah baru yang memerlukan ketetapan hukum. Adakah semuanya perlu kepada fatwa?

J: Saya tidak setuju Islam itu dilihat hanya menghukum kerana ayat hukum pun sedikit berbanding ayat mendidik. Nabi Muhammad SAW pun mengambil masa 23 tahun untuk mendidik. Jadi pendidikan penting untuk mendedahkan masyarakat kepada sesuatu perkara dari segi kebaikan serta keburukannya.

DR Sallehudin Abu Bakar. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
DR Sallehudin Abu Bakar. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

 

S: Bercakap soal rokok elektronik atau vape, pengguna alat ini mengatakan ia adalah alat untuk mereka berhenti merokok. Sejauh mana pandangan ini benar?

J: Pada 2004, seorang ahli farmasi China, Hon Lik, mencipta gajet dikenali sebagai e-cigaratte bagi mengurangkan ketagihan bapanya terhadap rokok. Beliau kemudian menubuhkan syarikat dan mendapati ada penerimaan yang kemudian mengeksportnya. China yang memulakan industri ini. Kemudian apabila negara Barat mula menerima alat ini, banyak syarikat ditubuhkan. Pada masa ini alat ini berkonsep 'harm reduction' (pengurangan mudarat). Lazimnya kita mengetahui ketagihan rokok adalah amat berat dan setakat ini kejayaan orang yang berhenti merokok sama ada secara sendiri atau pun melalui rawatan perubatan dengan kaunseling, kejayaan adalah sekitar 25 peratus. Konsep 'harm reduction'... lantaklah mereka nak ketagih nikotin tetapi jangan sampai ada bahan membahayakan kesihatan seperti dalam asap rokok kerana ada tar, bahan kompleks yang ada macam-macam di dalamnya.

Penagih rokok, selagi tak nampak asap, tak sedut asap, dia tak puas. Sebelum ini ada 'nicotine inhaler'... tak ada asap, tetapi kadar kejayaan berhenti merokok tak memberangsangkan. Penerimaan tak popular dan perlukan preskripsi doktor. Kemudian syarikat rokok mengambil peluang kerana lihat ada penerimaan dan terbabit keluarkan rokok elektronik. Malah banyak pengeluar rokok elektronik di Amerika adalah syarikat pengeluar rokok. Di negara maju, mereka sudah buat ramalan rokok akan mula hilang populariti dan rokok elektronik akan ganti rokok. Ia jadi trend.

 

S: Bagaimana pula mereka yang terbabit dalam kesihatan awam memandang trend ini?

J: Timbul kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan awam, takut golongan remaja yang naluri mereka mudah terpengaruh, tambahan pula rokok elektronik dilengkapkan dengan perisa yang boleh menarik mereka. Ia tidak mengeluarkan bau tembakau yang busuk. Kita takut orang yang sebelum ini tak hisap rokok boleh tertarik dengan rokok elektronik. Pengeluar memberikan pula pandangan bahawa alat ini mahal yang tidak mampu dibeli golongan remaja. Bagaimanapun sekarang ada pula industri baru iaitu mengeluarkan rokok elektronik sub standard... yang murah. Ini yang menimbulkan kecelaruan. Kejadian kemalangan berkaitan rokok elektronik yang kita dengar puncanya adalah alat yang sub standard. Jadi alat ini perlu dikawal. Bercakap soal kesan, sebenarnya kita tidak tahu dalam jangka masa panjang walaupun ada mendakwa alat ini selamat. Biasanya kesan timbul seperti kerosakan tisu dalam tempoh 10 hingga 20 tahun, sama seperti rokok. Rokok elektronik fenomena baru, kesan terbentuk penyakit belum lagi timbul. Ini juga yang dirisaukan pakar kesihatan awam. Alat ini kita masih tidak tahu kesannya walaupun dari segi teori dikatakan lebih selamat berbanding rokok putih yang mengeluarkan lebih 7,000 bahan kimia toksik dan berkaitan barah. Sebenarnya rokok elektronik adalah inovasi, bagaimanapun akan berlaku penyalahgunaan oleh orang yang mengambil peluang dari alat ini untuk menjadikan ia satu perniagaan.

S: Dua minggu lalu, dalam keributan mengenai persoalan berkenaan rokok elektronik, Kabinet mengambil keputusan untuk tidak mengharamkan alat ini. Bagaimana Dr melihat perkara ini?

J: Mungkin mereka melihat alat ini berpotensi dari segi perniagaan... ada permintaan. Namun, sebagai orang yang terbabit dalam bidang kesihatan, kita kena seimbang. Kalau yang ideal, elok ia diharamkan. Pada masa sama, kita tengok kalangan perokok tegar, mereka tidak terlintas langsung hendak berhenti. Dia kena berterusan merokok tak kira di tempat awam atau tidak. Jadi bagi kumpulan begini, adalah lebih baik mereka bertukar kepada rokok elektronik, sebab kalau ada risiko dia seorang yang tanggung. Ini kerana, rokok elektronik adalah wap yang mana bila dihembus dalam masa pantas akan hilang berbanding asap rokok yang mana bila dihembus, ia tak akan hilang, berlegar-legar dan meresap ke permukaan yang akan membentuk 'third hand smoke'. Tetapi rokok elektronik adalah wap, tiada 'second hand smoke'. Risiko kepada orang sekeliling kurang, tetapi kemungkinan terbentuknya 'third hand smoke' masih ada. Bagi kalangan pengguna rokok elektronik, mereka dakwa vape tak ada nikotin, tetapi mereka boleh tambah. Itu yang kita risaukan... berlaku manipulasi. Begitu juga dengan kadar nikotin ada yang rendah, ada yang tinggi. Dengar cerita ada pula yang letak ganja. Di situ risikonya. Saya berpandangan, rokok elektronik sekiranya dikawal boleh menjadi satu jalan keluar kepada perokok tegar. Beberapa pesakit saya mendakwa, mereka berjaya berhenti merokok tetapi gunakan rokok elektronik, tetapi sedikit sangat yang bebas dari kedua-duanya. Ramai yang hanya bertukar. Saya melihat keputusan Kabinet itu ada rasionalnya. Kita bimbang bila haram, maka akan jadi bermacam-macam... yang underground, black market... lagi susah nak keluar. Benda ni kalau ada potensi perniagaan orang akan buat macam-macam. Sebaliknya kita kawal. Kementerian Kesihatan (KKM) juga berhasrat menjelang tahun 2020 nak kurangkan kadar perokok kepada 15 peratus. Sekarang ini jumlah perokok di negara ini adalah 23 peratus. Kawal bermaksud yang menjual harus mendapat lesen, pastikan apa dijual mengikut standard, kualiti dijaga. Selain itu kandungan cecairnya (bahan utama nikotin) dikawal dan ia hendaklah dipreskripsi. Jika dibuat ikut peraturan, saya yakin ia jadi alternatif membantu penagih rokok. Juga ada had umur seorang itu boleh menggunakannya.

 

S: Jadi untuk rokok elektronik benar-benar berkesan sebagai alat berhenti merokok masih dipertikaikan?

J: Ketagihan sebenarnya adalah ketagihan nikotin. Kebarangkalian untuk seseorang itu berhenti daripada tidak menghisap apa-apa tidak banyak jika dibandingkan dengan kaedah yang terbukti berkesan, iaitu ubat dan 'Nicotine Replacement Theraphy'. Orang yang ketagih nikotin untuk hilangkan masalah ini dia ambil pil, tetapi kesannya seronok separuh daripada perokok. Ini yang menjadi isu besar. Jika kita lihat sejarah nikotin, ia sudah digunakan beribu tahun lalu. Pada satu masa ia digunakan sebagai ubat, tetapi apabila ia dikomersialkan ia ada unsur ketagihan, maka ada pihak yang melihat ia peluang perniagaan maka dicipta rokok. Pada masa ini ada 1.25 bilion perokok dan ia adalah satu industri besar. Timbul isu kenapa tak haramkan saja rokok. Masalahnya kita sudah terlanjur... dah tak boleh nak patah balik. Rokok menjadi isu sensitif kerana ia membabitkan semua golongan. Yang munasabah adalah kawalan undang-undang. Pada pandangan saya, KKM fikirkan yang ideal dan supaya tidak terlambat seperti apa yang sudah terjadi pada rokok. Bagaimanapun pada masa sama kita perlu terima realiti ketagihan nikotin bukan satu benda mudah untuk diatasi dan kerana itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia menerima kaedah 'harm reduction'. Rumusan saya, Electronic Nicotine Delivery Device (ENDD) adalah jalan keluar. Bagaimanapun, ada dua pandangan berhubung perkara ini. Singapura dan Australia misalnya tidak menyokong manakala England pula sudah menerima ENDD. Persoalannya juga, kenapa tidak gunakan ubat yang ada (untuk berhenti merokok). Bagaimanapun sesetengah ubat, perokok perlu berjumpa doktor, tetapi orang tak suka kaedah ini... tak suka pergi klinik. Kalau ENDD, boleh beli kat mana-mana. Kebanyakan perokok suka ambil jalan mudah dan nafikan mereka ketagih. 

S: Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan belum mengeluarkan kata putus berhubung penggunaan rokok elektronik tetapi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudah menfatwakannya sebagai haram. Bagaimana Dr melihat perkara ini?

J: Tidak ada masalah jika Mufti Wilayah Persekutuan untuk mengharamkan alat ini kerana beliau menyamakannya dengan rokok konvensional dan ia memudaratkan. Bagaimanapun, ia seperti arak yang sememangnya diharamkan, tetapi ada yang tetap mengambilnya. Fatwa sebagai satu panduan supaya mereka yang menggunakannya faham ia salah dari segi agama. Tetapi selagi ia tidak diwartakan, pihak berkuasa agama tidak akan mengambil tindakan. Ia terpulang kepada diri sendiri. Fatwa bertujuan supaya tuan punya badan menghormati hukum. Macam solat, hukumnya wajib, tetapi perlukah ia diwartakan. Serupa juga dengan rokok, hukumnya haram, jadi fikirlah sendiri. Pejabat agama tak tangkap orang yang merokok... tak ada upaya. Memadai dengan ia difatwakan. Bayangkan kalau rokok elektronik difatwakan harus... jadi bila difatwakan haram orang akan berfikir. Yang kuat agama akan usaha untuk berhenti. Itu gunanya fatwa. Dr Zulkifli bersama-sama saya dalam usaha mengajak orang ramai berhenti merokok, justeru saya melihat apabila beliau menjadi Mufti, beliau tidak mahu tunggu lama... keluarkan fatwa. 

Berita Harian X