Sabtu, 14 November 2015 | 12:32am
SUASANA di Kem Pelarian Yarmouk di Damsyik, Syria yang menjadi medan pertempuran.
SUASANA di Kem Pelarian Yarmouk di Damsyik, Syria yang menjadi medan pertempuran.
DUTA Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al Agha. - Foto Yazit Razali
DUTA Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al Agha. - Foto Yazit Razali

Pelarian Palestin sedia curah tenaga, kepakaran


MAJORITI pelarian Palestin dari Syria yang kini berlindung di Malaysia terdiri daripada profesional dan tenaga mahir yang hilang segala-galanya akibat pergolakan di Syria, sejak Mac 2011.

Golongan ini yang kehilangan harta benda, punca pendapatan dan kehidupan di Syria yang menjadi tempat mereka berlindung sejak 1948, jika diberi peluang, mampu menyumbang kepada negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran, berkata rakyat Palestin sebenarnya amat terhutang budi kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang menerima mereka.

Ketika negara lain ragu-ragu untuk menerima pelarian Palestin, Malaysia antara negara yang sentiasa membuka pintunya untuk warga Palestin dari segenap pelusuk dunia dengan visa ketibaan (VOA).

"Malaysia dan Palestin mempunyai hubungan akrab yang lama sebelum kemerdekaan (Malaysia). Hubungan ini terus berkembang dari semasa ke semasa.

"Dua dekad lalu, hubungan semakin kukuh. Malah, jumlah orang Palestin di sini bertambah begitu juga jumlah orang Malaysia ke Palestin. Ada pelajar Malaysia yang belajar di Gaza, begitu juga pelajar Palestin di Malaysia," katanya.

PENGERUSI Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PENGERUSI Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Rekod menunjukkan lebih 4,000 warga Palestin berada di Malaysia, termasuk 2,000 pelajarnya yang melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta.

Daripada jumlah itu, lebih 1,000 orang daripada 150 keluarga pelarian Palestin dari Syria yang mula memasuki negara ini sejak penghujung 2011 selepas negara itu dilanda konflik peperangan saudara.

Lebih setengah juta pelarian Palestin menetap di Syria sebelum konflik bermula di negara itu. Kebanyakan mereka adalah keturunan warga Palestin yang diusir pada 1948 ketika penubuhan haram negara Israel.

Muslim berkata, pelarian Palestin terseret secara langsung dalam kancah pergolakan di Syria, malah sehingga hari ini, lebih 3,200 pelarian Palestin terbunuh akibat konflik perang saudara Syria.

"Malaysia menerima tempiasnya apabila pelarian Syria dan pelarian Palestin (dari Syria) datang ke sini," katanya menegaskan Malaysia menjadi pilihan kerana sikap rakyat dan dasar terbuka kerajaan.

KEADAAN sekitar Kem Pelarian Yarmouk di Damsyik, Syria.
KEADAAN sekitar Kem Pelarian Yarmouk di Damsyik, Syria.

Muslim berkata, sekalipun sikap prihatin rakyat negara ini tinggi, kehidupan pelarian semakin sukar kerana mereka tidak mempunyai ruang serta hak untuk bekerja dan pendidikan kepada anak-anak mereka.

"Kebanyakan pelarian dalam keadaan 'parah', tiada kerja dan tiada cara untuk hantar anak mereka ke sekolah. Ada yang datang dengan menjual harta benda, tapi wang semakin hari semakin berkurangan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau amat berterima kasih dengan toleransi pihak berkuasa serta bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu rakyat Palestin meneruskan hidup.

"Jika mereka (pelarian Palestin dari Syria) dibenarkan mencari kerja secara sah, tentunya keadaan menjadi lebih baik, lagipun kebanyakan mereka adalah profesional dan tenaga mahir," katanya.

Kerajaan Malaysia mengumumkan akan menerima 3,000 pelarian dari Syria secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun dan memberi pekerjaan, pendidikan dan tempat tinggal sementara.

gn4id:10530600

Sementara itu, Kedutaan Palestin di Malaysia meminta pihak berkuasa di negara ini memberi pertimbangan khas kepada pelarian Palestin, khususnya dari Syria, berikutan keadaan Syria yang masih bergolak.

Berbeza dengan warga Palestin dari Gaza atau Tebing Barat, pelarian dari Syria tiada tempat untuk dituju kerana negara yang selama ini menjadi tempat mereka berlindung sejak 1948 dicengkam konflik peperangan.

Dutanya, Dr Anwar Al Agha dalam temu bual khas dengan BH berkata kebanyakan pelarian Palestin dari Syria menjadikan Malaysia tempat perlindungan sementara dengan sebahagian besar transit ke negara ketiga.

Rekod terkini Kedutaan Palestin di Malaysia menunjukkan lebih 4,000 warga Palestin kini berada di Malaysia dengan 2,000 darinya adalah pelajar. Daripada jumlah itu, lebih 1,000 adalah pelarian Palestin dari Syria.

"Proses (transit) pemindahan ke negara ketiga akan mengambil masa lama. Mereka akan hadapi masalah sebab sebahagian besar tidak berdaftar dengan UNHCR dan akan tinggal lebih masa di Malaysia.

PELARIAN Palestin menunggu bantuan di Kem Pelarian Yarmouk di Damsyik, Syria.
PELARIAN Palestin menunggu bantuan di Kem Pelarian Yarmouk di Damsyik, Syria.

"Kami merayu Kerajaan Malaysia, Jabatan Imigresen dan polis beri pertimbangan khas berdasarkan latar belakang ini," katanya menegaskan ramai memasuki negara ini kerana dasar Malaysia yang terbuka kepada Palestin.

Anwar berkata, Malaysia bukan satu-satunya destinasi tujuan pelarian Palestin, sebaliknya dijadikan sebagai transit untuk ke negara lain termasuk ke benua Eropah.

"Malaysia penyokong kuat Palestin dan beri warga Palestin masuk selama 30 hari (melalui visa ketibaan) serta boleh dipanjangkan. Hubungan baik di antara Malaysia dan Palestin menjadikannya pilihan," katanya.

Ketika ini, lebih 1,000 pelarian Palestin dari Syria berlindung di Malaysia dengan majoritinya belum mendaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Anwar mengakui situasi dihadapi pelarian Palestin itu merumitkan keadaan kerana Malaysia mempunyai undang-undang imigresennya yang tersendiri, selain bertindak tegas terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

KELUARGA pelarian Palestin berjalan ke Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang beribu pejabat di Islamabad. - Foto REUTERS
KELUARGA pelarian Palestin berjalan ke Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang beribu pejabat di Islamabad. - Foto REUTERS

"Kami hargai apa dilakukan Malaysia dan minta warga Palestin menghormati undang-undang tempatan. Kami hanya minta pertimbangan khas sehingga keadaan lebih baik untuk mereka (pelarian Palestin)," katanya.

Anwar juga meminta mana-mana pihak supaya berurusan dengan pihak kedutaan, satu-satunya badan sah yang mewakili rakyat Palestin di Malaysia, tanpa menolak fungsi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Berita Harian X