Isnin, 9 November 2015 | 12:01am
SZE Han bersama Dr Wan Rosli (kiri) ketika menyertai National InnoFest 2015 di Kampus Kesihatan USM, awal Oktober lalu.
SZE Han bersama Dr Wan Rosli (kiri) ketika menyertai National InnoFest 2015 di Kampus Kesihatan USM, awal Oktober lalu.

USM hasilkan biskut untuk penghidap diabetes

Biskut DiabeSmile sesuai kepada penghidap diabetes dan golongan yang mementingkan kesihatan.
Biskut DiabeSmile sesuai kepada penghidap diabetes dan golongan yang mementingkan kesihatan.

KESUKARAN mencari makanan ringan atau snek Glisemik Indeks Rendah yang biasa diambil oleh penghidap diabetes dan golongan yang mementingkan kesihatan mendorong pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Ng Sze Han, menghasilkan biskut DiabeSmile.

Inovasi baharu berkenaan dihasilkan daripada kombinasi serbuk kayu manis sebagai pengganti sebahagian gula dan serbuk cendawan tiram (Pleurotus Sajor-caju) bagi menggantikan sebahagian tepung gandum yang biasa digunakan dalam kebanyakan pembuatan biskut.

Pelajar ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kualiti Makanan dan Analisis itu berkata, serbuk kayu manis bertindak sebagai pemanis semula jadi, manakala cendawam tiram menjadi pilihan kerana sumber makanan berkhasiat yang mudah diperoleh di negara ini.

"Saya percaya, produk seumpama ini amat dinanti memandangkan terdapat permintaan tinggi terhadap makanan berfungsi yang semakin meningkat di Malaysia, terutama dalam kalangan penghidap diabetes.

"Dengan menjalankan kajian secara spesifik dan saintifik, produk inovatif ini ternyata tinggi dalam serat dietari iaitu lapan peratus dan rendah dalam Glisemik Indeks (GI>49).

SZE Han menunjukkan biskut DiabeSmile Cookies hasil ciptaannya menggunakan kombinasi serbuk kayu manis dan serbuk cendawan tiram.
SZE Han menunjukkan biskut DiabeSmile Cookies hasil ciptaannya menggunakan kombinasi serbuk kayu manis dan serbuk cendawan tiram.

Lambatkan penghadaman

"Glisemik Indeks Rendah bermakna melambatkan penghadaman karbohidrat dan tahap penyerapan glukosa ke dalam usus, seterusnya memperbaiki tindak balas glisemik serta mengelakkan keadaan diabetes menjadi lebih serius," katanya.

Selain itu, Sze Han berkata, kandungan serat dietari yang tinggi mampu memanjangkan tempoh kekenyangan dengan memperlahankan tahap kekosongan gastrik, sekali gus mampu mengatasi masalah makan berlebihan dan obesiti.

Inovasi biskut DiabeSmile juga berjaya memperoleh pingat gangsa dalam National InnoFest 2015 yang berlangsung di Kampus Kesihatan USM, awal Oktober lalu.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Prof Madya Dr Wan Rosli Wan Ishak, berkata biskut DiabeSmile berpotensi tinggi untuk dikomersialkan kerana memiliki keistimewaan dari segi aroma, rasa, penampilan dan tekstur.

Katanya, sumber serat dietari daripada serbuk cendawan tiram yang istimewa ini sudah pasti menjadi pilihan utama semua lapisan masyarakat yang mementingkan kesihatan.

Berita Harian X