ROTI John, antara makanan popular dijual pasar malam. Selalunya ia dimasak oleh anak muda sebagai menambah pendapatan kerana penyediaannya mudah, ringkas dan cepat.
Disebabkan ramai suka makanan ringan ini menjadikan roti John menjadi pilihan segenap lapisan usia. Aromanya yang menusuk hidung membangkitkan selera sesiapa saja.
Bagi mereka yang ingin mencuba masak sendiri, ia bukanlah menu yang susah untuk disediakan,
Roti John dengan bahan utama roti panjang lebih menyelerakan dengan salutan telur di bahagian luar dan bertambah enak dilapisi daging cincang, sayur-sayuran, cili sos, lada hitam dan mayonis.
Selebriti masakan, Cef Yang Jamil, berkongsi resipi ringkas menyediakan roti John yang bukan hanya mudah, tetapi menjimatkan serta menyelerakan.
Bagi mereka yang tidak menggemari daging, intinya boleh menggunakan ayam yang dipotong kecil atau ikan yang diasingkan tulangnya.
Mengikut sejarah, roti John dikenali kerana roti panjang itu berasal dari Barat dan sos tomato yang digunakan di dalamnya.
Dalam versi Malaysia, roti John dikenali kerana peniaganya yang berasal dari Tanjung Kling mengkomersilkan resipi rotinya sekitar tahun 1976 dan ditokok tambah sandwic telur, berintikan sardin dan lain-lain.
Bahannya
1. Dua keping roti ban
2. Sedikit mentega
3. Daging cincang - dikisar atau dicincang halus
4. Sebiji bawang besar
5. Sedikit garam
6. Dua biji telur ayam
7. Sedikit sos lada hitam
8. Bahan untuk salad - lobak merah, kobis dan timun
Cara menyediakannya:
1. Bawang besar diracik halus.
2. Untuk salad, lobak merah, timun dan kobis diparut halus.
3. Masukkan telur ke dalam daging cincang yang sudah direbus.
4. Campurkan telur dengan bawang besar yang sudah dipotong.
5. Letakkan sedikit mentega di tengah kuali leper, rata ke seluruh kuali.
6. Masukkan daging yang akan dijadikan inti dalam Roti John.
7. Roti dibelah dua dan letakkan di atas inti yang diletakkan memanjang di dalam kuali leper. Biarkan seketika.
8. Bahagiannya kepada dua bahagian.
9. Selepas roti kekuningan, terbalikkan roti.
10. Hiaskan roti dengan sos yang diisi ke dalam plastik.
11. Lapiskan dengan mayonis dan sos lada hitam.
12. Hiaskan salad ke atas lapisan mayonis, sos cili dan sos lada hitam.
13. Roti dicantumkan. Hiaskan dengan salad.
14. Potong empat bahagian memudahkan dimakan.